Thursday 29 October 2015

Tips beli rumah 'second hand/subsale'-SELEPAS


APA NAK BUAT SELEPAS MEMBELI RUMAH?

BUATLAH 3 PERKARA INI:


1) Bayar ansuran bulanan kepada bank

Untuk rumah 'second hand/subsale', bayaran ansuran bulanan akan bermula selepas kita mendapat kunci dari tuan rumah. Bermula dari bayaran pertama dan seterusnya, sila pastikan kalian menyimpan setiap bukti pembayaran dan penyata pembiayaan. Kalau bayaran ansuran dibuat melalui penolakan gaji, sila simpan salinan penyata gaji setiap bulan sebagai rujukan. Kalau kalian nampak ada yang tak kena, cepat-cepat hubungi atau pergi ke bank untuk mendapatkan penjelasan. 

Pengalaman aku membayar ansuran bulan pertama (secara penolakan gaji) memang memeritkan. Bank menolak lebih dari yang sepatutnya sebanyak RM600+. Bila aku tanyakan kepada pegawai bank, jawapannya mudah: mereka menerima arahan untuk 'full disbursement' selepas 10 haribulan. Mengikut polisi bank, semua pembiayaan yang 'full disbursement' selepas 10 haribulan akan mula ditolak ansuran pertama pada bulan berikutnya. Di antara tarikh 'full disbursement' dan ansuran pertama itu, bank telah mengenakan caj keuntungan sebanyak RM600+ kepada aku. 

Kecewa betul bila nasib kita ditentukan oleh polisi yang memihak kepada bank semata-mata. Manalah aku boleh tentukan bilakah tarikh 'full disbursement' akan dibuat, bukan? RM600+ itu besar nilainya. Tapi rezeki Allah itu luas. Kebetulan pada bulan itu juga aku mendapat 'claim' yuran keahlian MIA aku sebanyak RM850. Alhamdulillah. Tapi aku tetap akan ingat permainan bank dengan aku sampai bila-bila. Sebab itu aku nasihatkan kalian agar sentiasa peka dengan setiap bayaran dan caj yang dikenakan. Jangan ambil mudah!

2) 'Renovate' atau 'repair'?


Kalian boleh memilih samada mahu membuat 'renovation' atau sekadar 'repair' apa-apa yang patut. Ini bergantung kepada bajet dan juga keperluan kalian. Kalau kalian mahu tinggal di rumah itu, seeloknya rumah itu di'renovate' sebelum diduduki. Kalau kalian berniat mahu menyewakan saja rumah tersebut, maka 'repair' saja bahagian-bahagian yang sudah uzur. Tak perlulah kita 'renovate' beria-ia tapi sudahnya rumah tidak dijaga dengan baik oleh penyewa.

3) Menukar nama pemilik untuk semua bil berkaitan

Kalian perlu menukar nama pemilik untuk bil air, elektrik, pembetungan dan cukai taksiran. Untuk cukai tanah, penukaran nama dah dibuat semasa proses membeli rumah sebelumnya. Setakat hari ini, proses aku menukar nama adalah seperti berikut:

1. Bil air-Syabas

Aku pergi ke Syabas cawangan Petaling Jaya. Aku diminta menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Bekalan Air, yang memerlukan seorang saksi. Aku minta bantuan mak untuk menjadi saksi aku. Mak pun kena tandatangan perjanjian tersebut.

Butir-butir bayaran yang aku bayar:

Deposit = RM100

Duti setem = RM20

Caj proses duti setem + GST = RM2.20

Jumlah = RM122.20

Boleh rujuk laman web Syabas yang berikut untuk proses dan dokumen yang diperlukan:
http://www.syabas.com.my/consumer/new-application-and-registration-domestic#1


2. Bil elektrik - TNB

Aku pergi ke Kedai Tenaga di Subang Jaya, sebab staf di Kedai Tenaga UTC Pudu maklumkan kepada aku bahawa rumah di Puchong diuruskan oleh TNB Subang Jaya, bukan TNB Kuala Lumpur. Aku ikut sajalah, nak buat macam mana.

Butir-butir bayaran yang aku bayar:

Deposit = RM250

Duti setem = RM10

Caj proses duti setem + GST = RM3.20

Jumlah = RM263.20

Boleh rujuk laman web TNB yang berikut untuk proses dan dokumen yang diperlukan:

https://www.tnb.com.my/residential/my-tnb-account/

Nota:

Kalau kalian nak buat 'renovation', sila rujuk dengan staf TNB untuk pemasangan kabel baru atau pengalihan kabel. Sebab hanya staf/kontraktor yang berdaftar saja yang boleh pasang atau ubah kedudukan kabel TNB.

3. Bil cukai taksiran-MPSJ

Aku pergi ke ibu pejabat MPSJ di Subang Jaya (berdekatan dengan Kedai Tenaga Subang Jaya).

Tiada bayaran dikenakan.

Boleh rujuk laman web MPSJ yang berikut:

4. Bil pembetungan-Indah Water

Aku pergi ke kaunter Indah Water di UTC Pudu.

Tiada bayaran dikenakan.

Boleh rujuk laman web Indah Water yang berikut:

http://www.iwk.com.my/customer


Alhamdulillah aku berjaya berkongsi dengan kalian tips-tips membeli rumah 'second hand/subsale'. Semoga ianya bermanfaat buat kalian. Mungkin ada sedikit butir-butir yang aku tertinggal atau tidak cukup terkini, maafkan aku ya. Sama-sama kita kongsi ilmu yang berguna, Inshaallah.

Buat renungan kita bersama:

- Beli rumah merupakan komitmen terbesar dalam hidup kita. Pastikan kita membuat 'research' selengkapnya. Jangan malu bertanya kepada pakar hartanah, pegawai bank, peguam, jurunilai, saudara atau kawan yang lebih berpengalaman. Google saja tentang tips atau panduan membeli rumah, pasti akan keluar blog-blog 'sifu' hartanah mahupun orang biasa. Ambillah sedikit masa untuk membacanya. Inshaallah banyak manfaatnya.

- Apapun usaha kita, ingatlah bahawa kalau bukan rezeki kita, pasti segala yang dirancang takkan menjadi. Begitu juga halnya dengan proses membeli rumah. Apapun pengalaman membeli rumah memang sangat menyeronokkan. Jangan terlalu 'stress' ya! Senyum dan Inshaallah semuanya akan baik-baik sahaja.

- Tentang pembiayaan dari bank, aku rasa kita semua sama. Tak suka sebenarnya sistem berhutang. Tapi kita tak punya banyak pilihan untuk membeli rumah. Kita usaha niatkan pembelian rumah itu sebagai asbab untuk kita berlindung, bekerja dan beribadah kepada Nya. Kalau disewakan pun, Inshaallah bermanfaat pula kepada orang lain, syaratnya janganlah sampai membebankan mereka. Wallahua'lam.

Terima kasih pada yang sudi membaca post-post aku. Salam.


Tips beli rumah 'second hand/subsale'-SEMASA

APA NAK BUAT SEMASA MEMBELI RUMAH?

BUATLAH 7 PERKARA INI:-

1) Buat carian dan 'survey' prospek rumah idaman

Ada banyak cara untuk kita membuat carian dan 'survey' prospek rumah idaman. Antara laman web yang berguna adalah:


Kalian boleh pilih samada nak membeli melalui agen atau 'direct' dengan tuan rumah. Bagi aku, kalau kalian malas nak fikir banyak, lebih selamat memilih membeli melalui agen. Tapi, pastikan agen yang menjual itu datang dari syarikat hartanah yang bagus. 

Pengalaman aku, agen dari Rescom yang jual rumah yang aku beli memang terbaik. Mereka ada segala prosedur dan dokumen yang lengkap untuk menguruskan pembelian rumah kita. Malah agen itu siap tolong aku menawar harga dengan tuan rumah. Aku kira kami semua hanya mahukan 'win-win situation' sebenarnya.

'Filter' semua rumah yang kalian nak. Lepas itu buat 'appointment' dengan agen/tuan rumah untuk melihat keadaan rumah. Ini adalah langkah yang paling penting. Kenapa? Sebab masa inilah kita berhak melihat segenap sudut rumah, membuka paip, melihat saluran air, bumbung, siling, dapur dan sebagainya untuk memastikan kita membeli rumah yang elok keadaannya, sesuai dengan bayaran yang kita akan buat.

Semak juga kawasan persekitaran lokasi rumah untuk ciri-ciri seperti kemudahan pengangkutan awam, lebuhraya, sekolah, masjid dan sebagainya. Aku dulu siap buat carian Google untuk lihat samada kawasan rumah tersebut pernah kena banjir atau pernah menjadi lokasi jenayah. Penting beb! Sebab ini melibatkan komitmen yang besar, seumur hidup kita.

2) Bayar deposit kepada tuan rumah

Selepas kita membuat pilihan rumah yang berkenan di hati, agen/tuan rumah akan meminta duit deposit 10%  dari harga rumah. Kalau membeli melalui agen, deposit dipecahkan kepada dua bahagian:

-2.5% dibayar selepas 'confirm' hendak beli rumah

-7.5% dibayar selepas perjanjian jual beli ('Sales and Purchase agreement-SnP') ditandatangani.

NOTA PENTING:

a) Pastikan kalian dan tuan rumah/agen bersetuju secara hitam putih untuk deposit 2.5%  dipulangkan semula, sekiranya kalian gagal mendapat pembiayaan dari bank. Kalau tak, deposit 2.5% itu mungkin hangus beb! Ada agen/tuan rumah yang takkan beritahu tentang hal ini (agen/tuan rumah yang tak jujur).


b) Simpan segala bukti pembayaran (contohnya slip deposit tunai dan resit dari agen) dengan baik. Tangkap gambar sebagai 'backup'. 'Protect' diri kita dan jangan mudah percayakan sesiapa pun. Kita bukan bercakap tentang jumlah tunai yang kecil di sini, faham?

c) Walaupun kita boleh membuat pengeluaran KWSP untuk pembelian rumah, pihak KWSP mahu melihat dokumen pindah hak milik kepada pembeli baru, iaitu hanya apabila pejabat tanah sudah 'update' nama kita sebagai pemilik baru rumah tersebut. Maka kita tetap perlu menyediakan duit tunai 'in advance' untuk membayar deposit rumah. 

Tentang dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pengeluaran KWSP, Alhamdulillah peguam aku telah menyediakan segala dokumen yang diperlukan. Aku hanya perlu hantar dokumen-dokumen tersebut kepada KWSP sahaja, sebelum KWSP akhirnya mengkreditkan duit ke dalam akaun simpanan aku dalam masa 3 hari sahaja.

Boleh rujuk laman web KWSP berikut untuk panduan pengeluaran:

3) Semak nilai pasaran rumah idaman

Selepas kita membuat pilihan rumah yang berkenan di hati, cepat-cepat pergi ke bank dan minta senarai panel jurunilai hartanah ('panel valuer') mereka. Kenapa mesti panel? Sebab bank akan terima nilai yang diberikan tanpa banyak soal. Bukan senang untuk menjadi 'panel valuer' OK. Setiap bank ada ciri-ciri tertentu untuk memilih 'panel valuer'.

Dari senarai itu, kita boleh memilih 'panel valuer' yang boleh memberikan nilai pasaran tertinggi untuk rumah idaman kita itu. Tahu tak kenapa nilai pasaran ini penting? Sebab bank akan beri pembiayaan berdasarkan nilai pasaran, bukan nilai yang tuan rumah tetapkan.

Contohnya:

Harga rumah ditetapkan oleh tuan rumah = RM340,000

Nilai pasaran yang diberi oleh 'panel valuer' = RM330,000

Pembiayaan yang akan diberikan oleh bank (90% dari RM330,000) = RM297,000

Kalau bank bagi pembiayaan sebanyak 90% dari RM340,000 = RM306,000

Jadi perbezaannya adalah (RM306,000 - RM297,000) = RM9,000

Kalian kena 'top-up' lagi RM9,000, faham?

Maknanya deposit yang kalian kena bayar sebenarnya adalah = RM43,000*

*RM34,000 (10% dari RM340,000) + RM9,000

Jangan tanya kenapa bank buat macam itu. Samada bank sentiasa mahu menang dalam apa saja transaksi atau sebab rumah 'second hand/subsale' telah ada nilai pasarannya sendiri, tak macam rumah yang baru dibina. Kedua-dua sebab pun logik.

Bagaimana nak selesaikan masalah ini?

Samada kalian menawar harga dengan tuan rumah ATAU cuba dapatkan 'panel valuer' yang boleh berikan nilai yang sedikit tinggi.

Aku telah menggunakan kedua-dua cara di atas. Tapi masih kena 'top-up', sebab tuan rumah tak mahu mengurangkan lagi harga menjadi lebih rendah. Perit juga tapi entah kenapa aku tetap tegar mahukan rumah itu. Wallahua'lam.

Nota

Kalian kena bayar yuran 'panel valuer'. Bukan bank yang bayar, ya. 'Panel valuer' yang aku gunakan adalah syarikat Azmi and Co. 

4) Mohon pembiayaan dan tunggu 'Offer letter'

Isi segala borang dan sediakan dokumen yang perlu, selepas kalian 'finalize' nilai pasaran dan nilai pembiayaan. Hantar permohonan kepada beberapa bank. Dalam masa 1-2 minggu kalian akan mendapat keputusan samada pembiayaan dah diluluskan atau tidak.

Kalau lulus, kalian akan dapat 'Offer letter' dari bank. Baca terma-terma dan bertanyalah kepada pegawai bank jika ada perkara yang tak berapa difahami. Itu hak kita sebagai pengguna. Selepas semuanya jelas, kalian boleh menandatangani 'Offer letter' itu dan teruskan dengan proses seterusnya iaitu 'Sales and Purchase agreement-SnP'.

Nota:

Jumlah pembiayaan aku adalah termasuk insuran MRTA. Masa aku uruskan pembiayaan, aku terlepas pandang tentang insuran ini. Rupanya ada beza antara MRTA dan MLTA. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang insuran berkaitan pembiayaan hartanah bolehlah merujuk ke laman-laman web ini:

'Study' betul-betul tentang insuran ini. Rujuklah kepada saudara atau kawan kalian yang buat bisnes insuran. Inshaallah mereka boleh bantu kalian. 

5) Tandatangani 'Sales and Purchase agreement-SnP'

Sebelum proses ini berlaku, kalian sudah kena pilih peguam yang mahu digunakan untuk menguruskan proses 'Sales and Purchase agreement-SnP' ini. Macam aku, aku pilih peguam yang dicadangkan oleh agen yang menjual rumah itu. Senang cerita. Tak ada masalah pun kalau kalian ada peguam yang dikenali. Boleh saja menggunakan khidmat mereka.

'Sales and Purchase agreement-SnP' ini adalah perjanjian antara pembeli dan penjual rumah.

Bagi kes rayuan rumah berstatus 'low cost', pastikan ada klausa yang menyebut perjanjian akan terbatal dan duit akan dipulangkan semula jika rayuan tidak berjaya. Peguam aku ada memasukkan klausa ini dalam 'Sales and Purchase agreement-SnP' aku. 

Selepas kalian menandatangani 'Sales and Purchase agreement-SnP', dua bayaran sudah perlu dilakukan:

a) 7.5% bayaran kepada agen/tuan rumah

b) yuran guaman untuk 'Sales and Purchase agreement-SnP'

Tunai di tangan sangat-sangat penting. Sebab lagi cepat kalian bayar lagi tinggi peluang kalian untuk 'push' peguam buat kerja. Ada orang cakap jangan bayar penuh, selagi proses belum habis. Terpulang. Ada betulnya juga. Peguam yang aku ambil iaitu Zainal Ithnin & Partners, Alhamdulillah terbaik perkhidmatannya. Lepas saja aku tandatangani 'Sales and Purchase agreement-SnP', aku bayar terus semua bil guaman mereka.

Nota:
Jangan lupa untuk menawar harga dengan pihak peguam ya. Minta diskaun serba sedikit tak salah pun, betul?

6) Tandatangani 'Loan/Financing agreement'

Pihak bank akan tanya samada kalian hendak menggunakan peguam yang sama dengan peguam 'Sales and Purchase agreement-SnP' atau menggunakan peguam lain. Aku memilih untuk menggunakan peguam yang sama dengan 'Sales and Purchase agreement-SnP', sebab mahu urusan yang lebih lancar. Senang sebab mereka sudah ada segala maklumat yang diperlukan.

'Loan/Financing agreement' ini adalah perjanjian antara pembeli rumah dan pemberi pembiayaan iaitu bank.

Lepas tandatangani 'Loan/Financing agreement', kalian perlu pula membayar yuran guaman untuk memproses 'Loan/Financing agreement' itu. 

Nota:
Jangan lupa untuk menawar harga dengan peguam, terutama sekali jika kalian menggunakan peguam yang sama untuk kedua-dua perjanjian, macam yang aku lakukan.

7) Dapatkan kunci rumah dari tuan rumah dan periksa keadaan rumah

Biasanya pihak peguam yang akan menghubungi kita untuk memaklumkan yang kunci rumah sudah boleh diambil. Pastikan kalian memaklumkan kepada peguam supaya jangan buat 'full disbursement' kepada tuan rumah selagi kalian belum puas hati dengan keadaan rumah. Aku pernah terbaca di beberapa blog, ada tuan rumah meninggalkan banyak perabot mereka di rumah dan menyebabkan pembeli terpaksa pula mengupah lori untuk mengeluarkan perabot tersebut. Alhamdulillah tuan rumah yang aku beli meninggalkan rumah dalam keadaan kosong.

Jumpa di post terakhir tentang tips beli rumah 'second hand/subsale' Inshaallah!


Tuesday 27 October 2015

Tips beli rumah 'second hand/subsale'-SEBELUM

APA NAK BUAT SEBELUM MEMBELI RUMAH? 

BUATLAH 4 PERKARA INI:-

1) Jawab soalan-soalan berikut:

a) KENAPA nak beli rumah?

Untuk duduk sendiri, untuk disewakan kepada orang lain atau untuk dijual selepas harganya naik (sebagai pelaburan)? Soalan ini sangat penting sebab ianya akan menentukan lokasi dan jenis rumah yang akan kita beli.

Jalan selamat, pilihlah rumah yang boleh digunakan untuk kesemua sebab di atas.

b) Di manakah LOKASI rumah tersebut?

Kalau nak duduk sendiri, perlukah berdekatan dengan rumah ibu bapa kita? Adakah rumah itu perlu berdekatan dengan stesen LRT, tempat kerja, sekolah, atau universiti, untuk kemudahan kita sendiri nanti?

Kalau nak sewakan, adakah rumah itu berdekatan dengan stesen LRT, universiti/kolej atau sekolah? Kebiasaannya kita boleh menyewakan samada kepada orang bujang yang sudah bekerja (lebih stabil kewangannya) atau pelajar universiti('hot market', tapi sedikit leceh terutama bila mereka bercuti semester).

c) Rumah JENIS apakah yang kita mahukan?

Ada orang suka rumah teres dua tingkat. Ada juga yang suka rumah teres setingkat. Ada juga yang sukakan apartmen atau kondo sebab mahukan 'privacy' dan keselamatan. Kalau kita beli untuk disewakan, mungkin flet pun dah cukup. Janji dapat kutip duit sewa dan dapat sedikit untung, yang boleh di'roll' untuk membeli rumah lain, mungkin.

Kalau kalian ingin membeli rumah berstatus 'low cost', perlu diingatkan yang ada syarat dari segi pendapatan bulanan individu atau isi rumah. Macam di Selangor, syarat untuk pembeli rumah berstatus 'low cost' adalah berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan (setakat tahun 2014). Kalau pendapatan kalian lebih dari yang ditetapkan, kalian perlu membuat rayuan kepada lembaga perumahan negeri, contohnya Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Terpulang. Macam aku, walaupun aku dah 'survey' beberapa rumah apartmen, sudahnya aku pilih rumah teres setingkat, atas sebab praktikal untuk masa hadapan(tak perlu naik turun tangga) dan senang mengemas. Disebabkan rumah teres setingkat itu berstatus 'low cost', aku terpaksa membuat rayuan (diuruskan oleh peguam) kepada LPHS. Tempoh rayuan aku diluluskan adalah dalam masa 2 bulan. 

2) Adakah kita layak dan mampu untuk membeli rumah?

'Layak' bermakna kita tidak di'blacklist' oleh bank. Mungkin kita telah berjaya membayar hutang sedia ada dengan lancar dan rekod kredit kita bagus.

Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana kalian boleh mendapatkan rekod kredit CCRIS, bolehlah merujuk ke blog ariffshah.com.

'Mampu' bermakna selepas ditolak hutang bank untuk rumah nanti, kita masih mampu untuk membayar belanja-belanja asas seperti makanan, pengangkutan dan belanja kecemasan. Sudah pastilah kita harus berjimat nanti, sebab bajet kita akan berkurang dengan jumlah yang agak besar.

Bersediakah kita?

Untuk membuat kira-kira bayaran deposit, pembiayaan bank, bayaran bulanan, yuran guaman dan duti setem bolehlah merujuk ke laman web berikut:


Aku dah menggunakan kalkukator di laman web itu dan memang terbukti sangat membantu untuk aku membuat bajet duit pendahuluan yang diperlukan. 

3) Jenis pembiayaan untuk membeli rumah

Selepas pasti yang kita layak untuk membuat pembiayaan, kita bolehlah memilih dari mana kita nak dapatkan pembiayaan. Kebiasaannya ada beberapa sumber pembiayaan seperti berikut:

1) Tunai

Wow kayanya kita! Tapi tak mustahil hehe. Tapi setakat ini susah nak jumpa orang beli rumah pakai tunai 100%, lebih-lebih lagi dengan harga rumah sekarang yang melampau-lampau tingginya.

Tapi, kita masih memerlukan tunai untuk membayar duit deposit. Sebabnya, begitu jarang sekali bank mahu memberikan pembiayaan 100% untuk pembelian rumah 'second hand/subsale'. Antara sumber tunai yang boleh kita gunakan adalah pengeluaran KWSP, simpanan sendiri dan pinjaman dari ahli keluarga.

2) Bank

Boleh 'download' aplikasi iMoney untuk pengguna Android. Di dalam aplikasi itu ada senarai bank-bank dan kadar keuntungan masing-masing. Boleh juga pergi ke laman web bank-bank tersebut untuk mendapatkan maklumat.


3) Pembiayaan dari organisasi tempat kita bekerja

Aku ambil pembiayaan dari sumber ini(aku kerja dengan Maybank). Sebab aku buat keputusan membeli rumah teres lebih kepada untuk kegunaan sendiri, walaupun boleh juga disewakan atau dijual nanti. Kadar keuntungan ditetapkan pada 3.5% dan bayaran bulanan dilakukan melalui potongan gaji.

Kelebihannya adalah bayaran bulanan diselaraskan mengikut kenaikan gaji, jadi tempoh pembayaran balik menjadi singkat iaitu lebih kurang 22 tahun. 

Kekurangannya? Tak merasalah aku naik gaji beb! Tak mengapalah. Fikir jangka panjang (nak memujuk hati kononnya haha). Lagi satu, kalau aku berhenti kerja, kadar keuntungan bertukar menjadi sama macam di pasaran, maka bayaran bulanan akan menjadi lebih tinggi berbanding sekarang sebanyak RM600 ke RM700(banyak tu!). 

Jadi, adakah itu bermakna aku tak boleh berhenti kerja sampai pencen? Wallahua'lam.

4) Duit deposit(10% dari harga rumah) + yuran guaman + yuran jurunilai rumah

Kalau kita beli rumah 'second hand/subsale' memang duit tunai kena ada dalam tangan. Menggunakan kalkulator di laman web Loanstreet itu, kita boleh buat bajet jumlah tunai yang kita kena sediakan.

Hmmmm...aku tak pasti dengan orang lain. Tapi setakat pengalaman aku sendiri dan 'feedback' dari agen-agen hartanah, kalau rumah yang kita nak beli itu berharga lebih kurang RM300, 000 ke atas, memang nak tak nak kita terpaksa meminjam duit ahli keluarga terlebih dahulu.

Sebabnya? Untuk memastikan kelancaran segala urusan kita nanti. Contohnya, agen atau tuan rumah akan meminta tunai 10% deposit sebaik saja kita 'confirm' mahukan rumah dan 'confirm' dapat pembiayaan dari bank/organisasi bekerja.

Masa nak tandatangan perjanjian 'Sales and Purchase ('S & P agreement-SnP') dengan tuan rumah, peguam dah minta bayaran mereka beserta duti setem. Jumlahnya bukan sedikit. Mencecah RM10,000 pun ada, bergantung kepada harga rumah yang dibeli.

Jangan lupa juga yuran jurunilai rumah yang boleh mencecah ribuan ringgit juga. Jurunilai diperlukan sebab jumlah pembiayaan dari bank akan bergantung kepada nilai pasaran rumah, bukan nilai yang tuan rumah tetapkan. Aku akan jelaskan dalam post seterusnya OK.

Yuran guaman untuk perjanjian pembiayaan ('Loan/Financing agreement') dari bank pun kena bayar juga. Ribuan ringgit juga. Fuhh...pening tak? Memang pening beb.

Akhir sekali, kena pula membayar kos-kos untuk tukar nama segala bil seperti air, elektrik dan pembetungan yang boleh mencecah ratusan ringgit.

Aku mengaku, aku meminjam duit mak aku untuk membayar semua kos-kos di atas. Ada juga yang aku boleh bayar sendiri, tapi mak aku cakap masukkan saja semuanya dalam jumlah pinjaman. Senang nanti nak dibuat kiraan bayaran balik kepada mak aku. Tengok? Tak ada benda percuma beb dalam dunia ini! Haha.

Hutang dengan mak memang aku rekodkan dengan teliti berserta butiran bayaran balik menggunakan duit pengeluaran KWSP, bonus dan bayaran bulanan. Prinsip mak, beli rumah memang kena berkorban. Mak berkorban duit simpanannya untuk menolong aku. Aku berkorban membayar balik hutang Maybank dan mak. Tapi Inshaallah semua ini berbaloi untuk manfaat jangka panjang.

Kita jumpa di post seterusnya Inshaallah!


Monday 26 October 2015

Pengenalan: Tips beli rumah 'second hand/subsale'

Seperti yang dijanjikan, tibalah masanya untuk aku kongsi tips membeli rumah 'second hand/subsale'. Tips-tips ini akan aku bahagikan kepada beberapa post. 

Jangan risau, Inshaallah aku cuba pastikan post-post itu ringkas tapi padat.

Sebagai panduan, berikut adalah senarai post-post yang berkenaan dengan tips tersebut:


-Perkongsian tentang persediaan SEBELUM membeli rumah



-Perkongsian tentang prosedur SEMASA membeli rumah



-Perkongsian tentang prosedur SELEPAS membeli rumah


Selamat membaca! Mulakannya di sini!


Saturday 24 October 2015

Mak aku nyawa aku

Semalam aku bawa mak berjalan lagi. Mak nak beli tudung jenama D'Haja kegemarannya di Shah Alam. Sebelum ke sana, kami sempat singgah menjenguk perkembangan 'renovation' rumah aku (teringat yang aku masih berhutang post tentang membeli rumah huhu).

Disebabkan mak yang mengeluarkan duit untuk 'renovation' (walaupun aku kena bayar juga kemudiannya, bukan percuma ya kawan-kawan), aku membiarkan saja mak berceloteh dengan kontraktor tentang kerja-kerja yang masih berbaki. Hanya sesekali aku menyampuk bila diminta memberikan pendapat. Lagipun aku tak ada pengalaman tentang 'renovation'. Biarlah mak saja yang bercakap.

Lepas itu kami terus menuju ke Shah Alam. Semasa kami sampai di sana, hujan mula turun dengan begitu lebat. Alhamdulillah, selepas berhari-hari jerebu dan panas, hujan begini memang rahmat buat warga Shah Alam. Aku tinggalkan mak di depan kedai, sementara aku mencari 'parking'. Selepas 4 kali pusing kawasan, barulah aku jumpa 'parking space' yang dekat dengan kedai D'Haja. Mak akhirnya membeli sehelai saja tudung yang berkenan di hatinya.

Penat? Memang penat sebab dari awal pagi aku tak berehat. Memberi makanan kepada kucing-kucing sebanyak 5 ekor, membasuh sangkar mereka, membasuh dan menyidai baju, sesekali melayan anak buah, masak hati lembu berempah dan lain-lain kerja kecil lagi. Lepas Zuhur pula harus membawa mak berjalan. Hmmmm....

Tapi aku sentiasa cuba meletakkan diri aku di tempat mak. Selepas berpuluh tahun mak membanting tulang demi anak-anak, apalah sangat sumbangan aku yang menjadi 'driver' dan 'maid' di rumah ini. Banyak mana pun kerja yang aku buat, tak terlawan kerja-kerja yang mak dah buat untuk membesarkan kami semua.

Bagi mak, anak-anak adalah nyawanya. Kerjanya hanya untuk anak-anak. Bukan untuk pangkat dan harta benda. Keringat mak hanyalah untuk melihat anak-anaknya membesar menjadi orang yang berguna. Sebab itu mak banyak menyokong kerja-kerja 'charity' aku sekarang. Mak gembira bila aku sedar tanggungjawab kepada masyarakat. Mak cuba untuk menyumbang seadanya. Bila aku nak buat 'car boot sale' pun mak antara orang pertama yang menyokong aku.

Sekarang mak dah tak pernah menyebut nak bermenantukan jejaka itu. Aku rasa mak mungkin dah tahu apa yang terjadi, atau mak punya naluri kuat yang anaknya sudah 'move on' sepenuhnya. Aku jarang kongsi dengan mak benda-benda sedih. Sebab aku tak nak mak sedih atau risau.

Biarlah aku berkongsi saat gembira saja dengan mak. Kalau mak nak kongsi benda sedih dengan aku tak mengapa. Aku sanggup dengar, walaupun aku tak menangis depan mak. Aku nampak kuat depan mak. Sebab aku nak mak juga kuat. Aku nak mak kuat dan bahagia selama-lamanya. 

Aku mungkin susah nak jadi anak yang sempurna. Anak yang baik dan menjaga ibu bapanya. Tapi aku doa semoga Allah mudahkan urusan aku, supaya aku boleh menjaga mak dan ayah sehingga masa kami dijemput olehNya.

Aku titipkan sebahagian pesanan mak yang akan aku sentiasa ingat:

1) Nak cari jodoh, carilah orang yang sayangkan kita lebih dari kita sayangkan dia. Inshaallah dia akan jaga kita sampai bila-bila.

2) Jangan lewatkan solat. Nanti ular besar ketuk kita di akhirat(betul ke tentang ular besar itu?)

3) Mak memang mahir mengira gaji dan duit yang kami mesti beri kepadanya setiap bulan. Nampak macam mak berkira dengan kami. Tapi aku tahu, mak tak pernah nak gunakan duit yang anak-anak beri sesuka hati. Mak main kutu sebagai simpanan. Itu sajalah cara mak nak pastikan kami dan dia menyimpan. Nak melabur dan sebagainya mak tak pandai dan tak percaya pun yang orang lain boleh tolong jagakan duit mak.

4) Kaya macam mana pun kalau tak solat tak perlulah kita nak bangga sangat. Harta dunia tak bawa ke mana pun. Tua nanti ke kubur juga.

Mak dah berumur. Mak sakit lutut. Mak selalu minta kami urut badannya atau cabut ubannya. Kadang permintaan mak pelbagai dan datang pada saat kami sedang penat. Tapi kami usahakan juga memenuhi permintaan mak. Tanpa mak siapalah kami. Kerana doa mak aku berada pada kedudukan hari ini. Tak kaya. Tapi ada bahagia. Ada cinta. Ada belas ihsan. Semoga aku terus dapat berbakti kepada mak dan ayah sampai bila-bila. Amin.

Monday 19 October 2015

Seminar "The Lost Kingdom of Andalus"

Hari minggu yang lepas (17-18 Oktober 2015) aku telah pergi ke seminar ' The Lost Kingdom of Andalus', anjuran iMuslim. 

Bagi yang tak tahu, Andalus adalah nama lama kepada Sepanyol atau Spain atau Espan'a. Era pemerintahan Islam di Andalus adalah sebelum era pemerintahan Islam di Turki(Constantinople/Istanbul).

Bagi kalian yang belum mengenali siapakah iMuslim, berikut adalah infonya:

Laman web: http://www.imuslim.my
FB: iMuslim
IG: imuslimmy

'Speaker' untuk seminar ini adalah Dr Waleed Hakeem(Sheikh Waleed). Kalian boleh mengenali Sheikh Waleed dan belajar ilmu dari beliau di FB: Dr. Waleed Hakeem.

OK, mari aku kongsikan sedikit ilmu sepanjang seminar itu. Sebelum itu, kalian perlu tahu yang aku tak mencatat nota terperinci sepanjang seminar. Kenapa? Sebab topiknya adalah sejarah Andalus. Bila belajar sejarah, kita kena mendengar dan menikmati perjalanan ceritanya, bukan mencatit nota.

Maka, terimalah perkongsian kerdil aku tentang 800+ tahun Andalus,  dipecahkan kepada 8 topik utama:

1) Zaman sebelum Islam-Iberia(sebelum tahun hijrah iaitu 575 B.C -711 A.D)

2) Pembukaan Andalus oleh Tariq Ibn Ziyad (1-92H)

3) Perluasan kuasa kerajaan Islam Andalus(92-137H)

4) Andalus di bawah empayar Umayyah(137-422H)

5) Andalus sebagai sebuah kerajaan bebas(422-478H)

6) Andalus di bawah empayar Al-Murabitoun(478-543H)

7) Andalus di bawah empayar Al-Muwahidoun(544-608H)

8) Penjajahan semula oleh Kristian(608-897H)

Kupasan lanjutnya adalah seperti berikut:

1) Zaman sebelum Islam-Iberia(sebelum tahun hijrah iaitu 575 B.C -711 A.D)

Iberia adalah sebuah gugusan yang terdiri dari 3 buah negara: Andalus, Portugal dan Andorra.

Pada zaman ini, Iberia pernah dikuasai oleh Rom(206-418 B.C). Jerman pula menakluk Andalus bermula pada 418-711 B.C, selepas kejatuhan Rom.

2) Pembukaan Andalus oleh Tariq Ibn Ziyad (1-92H)

Sebelum Andalus, Islam telah menakluk negara-negara Teluk, Iraq, Persia, Syria, Mesir dan Afrika Utara. Andalus berjaya dikuasai oleh Islam melalui Tariq Ibn Ziyad.

Bermula dengan Tangier, Tariq mara menguasai Toledo dan Cordoba. Dibantu gabenor Musa Ibn Nusair, Tariq menguasai pula Medina-Sidonia, Seville dan Mertolla.

3) Perluasan kuasa kerajaan Islam Andalus(91-137H)

Anak kepada Musa, Abd Aziz pula menguasai Ja'en, Murcia, Granada, Sagunto, Evora, Santare'm dan Coimbra.

Pada tahun 96H, Islam menguasai seluruh Iberia, selepas mendapatkan Portugal. Abd Aziz memerintah dan menjadikan Seville sebagai ibu negara. Pada tahun 98H, Cordoba pula dijadikan sebagai ibu negara.

Bermula tahun 98H, Islam berjaya menguasai selatan Perancis, Barcelona dan Narbonne. Berlakunya perang kaum di kalangan orang Islam.

4) Andalus di bawah empayar Umayyah(137-422H)

Era empayar Umayyah bermula selepas Abd Rahman Ad-Dakhil mengisytiharkan dirinya sebagai 'Amir Cordoba.

Pada zaman ini, banyak berlakunya pertukaran pemimpin di kalangan bani Umayyah.

1- Abd Rahman Ad-Dakhil
2-Hisham Ibn Abd Rahman
3-Al-Hakam I
4-Abd  Rahman II
5-Muhammad I
6-Al-Mundhir
7-Abdullah Ibn Muhammad
8-Abd Rahman III
9-Al- Hakam II
10-Hisham II( nama sebenarnya Al-Mansour)
11-Abd Rahman Ibn Al-Mansour
12-Muhammad II
13-Hisham II (sekali lagi)
14-Sulaiman II
15-Abd Rahman IV
16-Abd Rahman V
17-Muhammad III
18-Hisham III

Pada zaman Abd Rahman Ad-Dakhil memerintah, Masjid Cordoba telah dibina di atas tapak sebuah gereja.

5) Andalus sebagai sebuah kerajaan bebas(422-478H)

Pada zaman ini tiada pemerintahan dari mana-mana khalifah. Setiap wilayah ada konflik masing-masing. Contohnya, pada tahun 429H, kerajaan Islam di Granada berperang dengan kerajaan Islam di Seville.

Tetapi perang dengan Kristian tetap berlaku contohnya semasa kerajaan Islam di Bedajouz, Seville dan Granada meminta bantuan Al-Murabitoun untuk menentang Alfonso VI di Castile pada tahun 477H.

6) Andalus di bawah empayar Al-Murabitoun(478-543H)

Al-Murabitoun merupakan kerajaan Islam di Utara Afrika. Andalus di bawah Al-Murabitoun diketuai oleh:

1-Yusuf ibn Tashfin
2-Ali Ibn Yusuf(Anak kepada Yusuf Ibn Tashfin)

Pada zaman ini masjid-masjid di Toledo telah dijadikan gereja, kerana Kristian berjaya menguasai Toledo dan orang Islam menjadi minoriti di sana.

Zaman ini diakhiri dengan Al-Muwahidoun mengambil-alih Seville, Afrika Utara (yang awalnya milik Al-Murabitoun) dan seluruh Iberia.

7) Andalus di bawah empayar Al-Muwahidoun(544-608H)

Walaupun Al-Muwahidoun bermula dengan banyak kemenangan seperti di Bedajouz, Almeria, Murcia dan Valencia, mereka akhirnya dikalahkan oleh Kristian. Bermula dari situlah kita menyaksikan Islam semakin jatuh di Andalus.

8) Penjajahan semula oleh Kristian(608-897H)

Bermula era Mohammed Ibn Alahmr yang dilihat tunduk kepada Kristian, Islam terus luput dari Iberia. Contohnya, Portugal menjadi milik Kristian sepenuhnya pada tahun 646H.

Pada tahun 896H kerajaan Islam di Granada menyerah diri kepada Kristian dan menandatangani Perjanjian Granada.

Pada tarikh 1 Rabiulalawal tahun 897H (2 Januari 1492) kerajaan monarki Katolik, Raja Ferdinand II dan Permaisuri Isabella mengambilalih Granada. Granada merupakan wilayah terakhir yang bertukar milik kepada Kristian.

Selepas itu tiada lagi Islam di Andalus, sehingga kini.

Apakah punca kekalahan Islam di Andalus secara umum?

1) Masalah perkauman yang memecahbelahkan mereka (contohnya Berber (tentera Islam dari Afrika) melawan tentera Islam dari Arab.

2) Tamakkan: hasil rampasan perang, pangkat dan kekayaan.

3) Orang muda yang lalai dengan hiburan.

4) Sanggup bekerjasama dengan musuh(Kristian) demi mendapatkan kuasa dan pangkat.

Apakah pengajaran dari semua ini?

1) 'History repeats itself'. Lihat saja di sekeliling kita dan belajar darinya.

2) Belajar dan belajar ilmu tak kira ilmu dunia, agama mahupun kemahiran-kemahiran. Jangan leka dengan hiburan yang melalaikan.

Sedikit tips (dalam bahasa Inggeris) dari Sheikh Waleed:

1) Good leaders are good readers.

2) Know where you are taking your religion from. It is going to build your soul, the most important of all.

3) Put these countries in your bucket list trip, as they teach you the most about living as Muslims:

1. Makkah/Madinah
2. Spain
3. Japan
4. Turki

Sekian saja perkongsian kerdil aku. Sebenarnya sangat banyak input yang aku dapat dari seminar itu. Tapi bak kata Sheikh Waleed, cukuplah kita memahami hanya kisah-kisah yang signifikan dan mempunyai pengajaran saja.

Macam biasa aku belanja sikit gambar sepanjang seminar:

Gambar 1: Jadual kami untuk kedua-dua hari

Gambar 2: Buku berisi input-input penting, yang aku gunakan untuk post ini.

Gambar 3: Peserta digalakkan membawa anak atau ibu bapa. Tapi kena pandai kawal anak supaya tak mengganggu fokus pembelajaran peserta-peserta lain.

Gambar 4: Sheikh Waleed sedang mengajar.

Gambar 5: Muka 'excited' nak masuk kelas. Alhamdulillah sukses. Hehe.

Moga perkongsian kerdil aku ini bermanfaat Inshaallah. Tentang orang Kristian, kita tak harus bermusuh sesuka hati dengan mereka. Ada antara mereka yang baik, malah lebih baik dari orang Islam sendiri. Moga mereka beroleh hidayah. Dan kita juga, moga terus kekal dengan Islam. Amin.

Friday 16 October 2015

Tips menjaga kebersihan tandas awam

Dari kecil kita dah dihidangkan dengan kempen menjaga kebersihan tandas awam. Terdapat juga pertandingan tandas terbersih di sebahagian tempat di negara kita.

Beberapa tahun yang lepas aku ke Bandung, Indonesia. Dibandingkan dengan negara kita, rakyat di sana secara fizikalnya kelihatan susah. Tapi di semua tandas yang aku singgah, kesemuanya bersih. Begitu juga semasa aku ke Siem Reap, Cambodia. Tandasnya juga bersih.

Hasil dari pemerhatian aku bertahun-tahun, kita ada masalah:

1) Kita mahu bersih, tapi hanya untuk kita.

Orang lain tak penting. Bila kita nampak ketulan tahi tak habis dipam, kita marah dan pergi ke tandas lain. Sedangkan kalau kita tolong pam(sambil tutup mata dan hidung), ramai lagi orang boleh menggunakan tandas itu. Kita tunggu makcik 'cleaner' pula yang datang pam. Sebab? Sebab dia golongan 'cleaner' dan kita pula golongan profesional. Tahi tetap sama-sama busuk juga!

2) Kita rasa 'superior' berbanding orang lain. Contohnya, kakitangan Non-Muslim di pejabat aku pernah mengadu tandas kami selalu basah dan licin.

Walaupun mereka tak cakap 'direct' aku faham. Sebahagian kakitangan Muslim main sembur saja air paip dalam tandas. Tak tahu nak lap. Ada pula yang ambil wuduk di paip. Siap ada gayung bertulis "Untuk wuduk".  Masing-masing tak mahu ke surau di tingkat 11.

Bila orang 'sound' kita rasa sensitif. Kita kata mereka tak faham kita. Sedang kita tak fikir pun kebajikan mereka yang mungkin boleh terjatuh akibat kita menyembur air merata-rata. Mereka adalah kawan kita juga, bukan?

Maka, apakah solusinya?

1) Fikirkan orang lain juga. Jangan hanya aku, aku dan aku. Kita hidup bermasyarakat.

2) Kebersihan sebahagian dari iman. Tandas juga perlu bersih. Bukan hanya tandas di rumah kita, malah di mana-mana pun.

3) Bayangkan makcik 'cleaner' itu saudara mara kita. Ya, itu kerja mereka tapi bukankah bagus kita memudahkan urusan mereka?

Buat makcik cleaner:

Andalah wira negara.

Jangan ingat yang bayar cukai pendapatan saja wira negara OK!

Bayar cukai tapi kena bayar tol juga. Bayar cukai tapi kena juga ambil insuran sebab hospital kerajaan tak boleh menampung semua rakyat.

Kita sebenarnya sama. Fizikalnya saja terlihat lebih profesional dan ada-ada.

Aku ingatkan diri sendiri juga. Peace!

Sunday 11 October 2015

Car Boot Sales-Bukit Mahkota

Fuhhhh...hari ini aku bangun seawal pukul 5.15 pagi. Sebab? Sebab aku kena temankan kawan aku Hafsah berniaga di Car Boot Sales (CBS) Bukit Mahkota. Secara rasminya bisnes mula pukul 7.00 pagi, jadi kami bertolak ke Bukit Mahkota dari rumah Hafsah di Sungai Besi lebih kurang pukul 6.15 pagi.

Semasa kami sampai, orang lain dah pun ramai yang membuka but mereka. Ada yang menjual baju, buku, kasut, mesin taip, basikal, piring hitam, baldi, tilam, tudung 'you name it!'. Syaratnya mudah saja-wajib barangan terpakai dan tak boleh berniaga makanan/minuman. Sebab apa? Sebab dah ada beberapa peniaga 'authorized' yang menjual makanan dan minuman.

Pada kadar sewa tapak serendah RM10 dan konsep tapak 'first come first serve', CBS memang merupakan platform yang sesuai untuk mula berniaga. Mana taknya, modal kalian hanya barangan 'preloved', sewa tapak, peralatan untuk 'presentation' barang jualan seperti tikar, 'clothes/shawls/shoes rack' dan sejumlah air liur untuk bercakap dengan bakal pembeli. Hehe.

Setakat pembacaan dan pemerhatian aku, berikut tips yang aku boleh kongsikan:

1) Daftar awal dengan 'organizer'. Google saja 'Car Boot Sales Malaysia'. Macam-macam tempat ada. Pilih saja ikut kesesuaian kalian.  Kalau setakat mahu belajar berniaga, boleh pilih lokasi yang dekat dengan rumah. Kalau mahu jualan 'masyuk' boleh cari lokasi yang 'hot' macam Kota Damansara dan Shah Alam. Tapi jangan lupa kira kos minyak dan tol kalian pula OK! ☺

2) Sediakan duit sewa tapak sebanyak RM10-20, bergantung kepada lokasi dan 'organizer'. Biasanya 'organizer' akan kutip samada di kaunter mereka atau ada orang mereka yang akan 'round' kutip duit sewa tapak itu. Penjual akan diberi tiket/kupon sebagai bukti bayaran dan dibenarkan berniaga.

3) Ada sesetengah lokasi tak benarkan penjual membawa payung atau khemah. Pandai-pandailah kalian cari 'spot' bawah pokok yang redup. Kalau datang cepat Inshaallah dapat tempat yang elok dan strategik.

4) Sediakan duit kecil untuk memulangkan baki duit pembeli nanti. Kalau ada kawan 'banker' boleh minta tolong mereka tukarkan duit. Hehehe(Nampak sangat 'this banker' dah biasa buat). Kalian pergi sendiri ke bank pun apa salahnya kan.

5) Untuk menetapkan harga barang jualan, pilih samada:
a) Nak 'let go' tak kira harga (contoh 3 barang RM10, 1 barang RM5 dll); atau

b) Letak harga mahal sikit dan benarkan bakal pembeli menawar harga. Pastilah kalian dah 'set' minimum harga yang kalian sanggup jual kepada pembeli. Takkanlah kasut atau baju mahal-mahal kalian beli tapi nak jual RM1 pula, bukan? Apapun terpulang pada niat kalian OK!

6) Murahkanlah senyuman dan rajinlah bersembang dengan bakal pembeli dan jiran-jiran di tepi kalian. Untung-untung dapat tips bisnes dari mereka yang berpengalaman. Manalah tahu, kan.

7) Tips terakhir tapi paling penting: Jangan malu! Tak ada salahnya menjual barang terpakai dan membuka gerai kecil-kecilan, terutamanya yang baru nak berjinak-jinak berniaga. Inshaallah ada rezeki kalian nak dapat duit lebih. Peminat barangan 'preloved' ini lain macam sikit kerenahnya tapi sekali mereka dah hendak, mereka akan buat bagi jadi.

Akhir kalam, moga perkongsian ini bermanfaat Inshaallah. Boleh layan gambar-gambar kami:

Gambar 1: Tuan punya but- Pn Hafsah dan suaminya En Fazuddin. Skema sikit ayat bila nak kenalkan tuan bisnes hehehe.

Gambar 2: Barang jualan Hafsah dan suami. Bukan calang-calang jenama OK! Murah-murah woooo... Ada Poplook, bawal batu, 'inner' baju,  'shawls' dll. Tapi kena pastikan saiz kalian sama dengan tuan punya barang ya.

Gambar 3: Selfie dengan Hafsah sambil menayang Air Jagung Klebang yang kebetulan buka gerai di sebelah kami. Sedap! RM2 sahaja.

Thursday 8 October 2015

Coretan picisan untuk diri dan insan yang diuji

Orang cakap kita kena post perkara positif saja di blog. Post yang positif akan membuatkan pembaca ceria, bersemangat dan ingin kembali ke blog kita. Di post-post sebelum ini aku telah cuba memberikan sisi positif aku seadanya. Untuk post ini (harapnya ini satu-satunya) aku memilih untuk mencoretkan sedikit bahagian hidup aku yang tak berapa gembira. Nanti kita lihat samada aku berjaya mencungkil sisi positif dari kisah aku ini.

Aku antara golongan gadis bujang yang dah menjangkau umur 30an. Sebahagian masyarakat melihat kami sebagai spesis yang 'picky' dan banyak sangat kriteria dalam pencarian jodoh. Aku tak pasti tentang orang lain, tapi aku memang tak setuju dengan pandangan mereka. Kenapa? Mari aku ceritakan.

Aku masuk bekerja di Mybank pada pertengahan tahun 2012. Selain keterujaan untuk memulakan kerjaya di tempat baru, hari pertama aku dimulakan dengan pandangan mataku terlihat sebuah susuk tubuh yang mengubah hidup aku, hinggalah ke saat ini. Ia adalah susuk tubuh seorang jejaka kurus, tinggi, berjambang halus dan berkulit cerah. Jejaka itu aku sentiasa lihat samada di dalam lif atau di surau. Riak wajahnya tenang. Terlalu tenang. Hinggakan aku membuat keputusan untuk mendekatinya. 

Ogos 2012, aku memberinya hadiah sebuah buku. Bagi aku, buku adalah suatu yang terlalu istimewa. Tak ada benda yang lebih bernilai dari buku untuk aku. Jadi kalian boleh agak betapa istimewanya jejaka ini di mata aku. Lepas itu wujudlah senyuman dan sedikit perbualan antara kami.

Ogos 2013, setahun berlalu, aku mula merasakan sudah tiba masanya untuk meluahkan perasaan. Ustaz Azhar Idrus cakap tak salah perempuan memulakan langkah terlebih dahulu, asalkan niatnya baik untuk berkahwin. Aku memilih untuk meluahkan rasa melalui emel. Malangnya sang jejaka tidak membalas, malah seakan menjauhkan diri. Senyuman dan teguran yang pernah ada sebelum ini bertukar menjadi sepi.

Oktober 2014, aku nekad mencuba lagi. Sebab aku lihat sang jejaka mula tersenyum kembali. Tapi rupanya senyumannya hanyalah senyuman. Mata kerap bertentang tetapi tanpa sebarang bicara. Kalau terjumpa, sang jejaka tak kekok mendekati tapi bicaranya mati. Hanya senyuman menjadi medium komunikasi.

Oktober 2015, aku akhirnya menerima berita bahawa sang jejaka telah menjadi pengantin baru. Sahabat handainya mendoakan kebahagiaannya di laman FB. Dan aku yang menanti hanya mampu menangisi nasib diri di surau pejabat kami. Menangis sambil bertanyakan ribuan soalan. Kenapa aku mesti mengenali dan mencintai, sedang akhirnya aku yang kecewa sendiri? Mengapa aku terlalu rendah di sisinya hingga tak ada langsung balasan? Mengapa orang lain mudah melepaskan sedang aku lelah mencuba? Bukan aku tak pernah cuba melupakan sebelum ini. Malah aku pernah nekad untuk berkahwin dengan pilihan keluarga. Itupun tidak menjadi akibat calonnya menarik diri di saat akhir dengan alasan tidak bersedia.

Aku perlukan masa untuk melepaskan. Seperti lagu Indonesia "Sakitnya tuh di sini", memang ada rasa sakit yang teramat di dalam hati aku. Sakit hati dengan sikap sang jejaka yang tegar tak membalas walau dengan penolakan. Sakit hati kenapa aku tegar mencintai. Sakit hati kenapa dia yang aku lihat soleh dan pemalu boleh memberikan impak 'knock-out' kepada diri aku. Adakah kerana aku tak cukup solehah dan indah di matanya? Mungkin. Aku memang tak baik mana. Tapi...entahlah. 4 tahun yang sungguh tidak produktif buat aku. Hingga kini aku masih mencari hikmah di sebalik semua ini. Orang kata setiap insan yang hadir dalam hidup kita pasti ada sebab atau pengajarannya. Entahlah. 

Kalian yang masih memilih untuk menilai kami sebagai cerewet:

Bersyukur dahulu kalian sudah bertemu insan yang mencintai kalian sepenuh hati. Sesudah itu jangan menilai kami seolah-olah kami yang memilih jalan hidup begini. Hanya kerana kalian bahagia berdua, tak semestinya kami bahagia juga jika berdua. Tak dinafikan, agak sukar untuk kami cuba mencari bahagia dengan cara lain, sebab naluri manusia memang mahu berdua dan punya zuriat. Kalian punya jalan yang lurus. Kami punya jalan yang bengkang-bengkok. Tapi destinasi akhir kita tetap sama: kematian. 

Kalian yang masih belum berzuriat meski telah berkahwin:

Aku doakan kalian tabah menghadapi dugaan ini. Kalaulah ada tingkat kebahagiaan dan berpasangan itu dilihat lebih bahagia dari membujang, sungguh kalian sangat bertuah berbanding kami yang masih bujang. Kalian ada tempat untuk mengadu 24 jam. Yang perempuan ada suami sebagai pelindung. Kami si bujang perempuan, suka tak suka, hendak tak hendak ,terpaksa berdikari dan menjadi kuat seperti juga lelaki. 

Kalian mungkin akan cakap untung menjadi bujang kerana boleh bergerak bebas, tanpa meminta izin suami. Ketahuilah dalam banyak masa kami bergerak bebas itu, kami tetap perempuan yang perlu menjaga maruah diri dan keselamatan. Kami meminta izin juga, biasanya dari ibu dan ayah. Jadi kita sebenarnya sama saja sebagai perempuan. 

Apapun kita semuanya ada teman mengadu 24 jam yang sama, iaitu Allah. Aku cuba untuk 'reconnect' semula hubungan aku dengan Allah. Aku pasti kalian jauh lebih faham dan lebih baik dari aku. Sama-samalah kita berdoa untuk diberikan kekuatan buat berhadapan dengan segala ujian dari Allah. Kalau kita rasa masalah kita besar, kita jenguk-jenguklah kehidupan orang miskin, orang pelarian seperti Rohingya dan Syria dan orang yang sakit kronik. Pasti kita akan rasa masalah kita itu kecil saja berbanding mereka dan kita akan lebih bersyukur. 

Lagu "Pergi" oleh Aizat Amdan terngiang-ngiang dalam minda aku. Meleleh habis beb! Aku anggap semuanya telah ditentukan. Kawan aku menasihatkan aku begini: 

Bila adanya kesedihan dan kehilangan, pasti ada berita baik menanti. Tenang saja. Menangislah bila rasa perlu. Sementara itu bersabar menanti berita baik itu. 

Wallahua'lam. Jumpa lagi di post seterusnya Inshaallah. 

Tuesday 6 October 2015

'Multi-tasking' di malam hari-MIA E-Learning & iMuslim

Asalnya malam ini aku merancang untuk isi borang MyPAC. Tapi entah kenapa segalanya macam tak menjadi hinggakan aku terpaksa menukar rancangan kepada membuat MIA 'E-learning' dan juga mendaftar untuk seminar 'The Lost Kingdom of Andalus' anjuran iMuslim. 

Untuk malam ini, aku berjaya menghabiskan lebih kurang 47 minit untuk 'E-learning'. Biasalah, segala info berkaitan akauntan bertauliah dan MIA diberikan dalam format 'E-learning'. Pengisiannya agak mudah difahami. Aku hanya mampu buat sampai ke pertengahan 'Part 1' sahaja. Secara keseluruhan, ada 3 modul yang perlu kami habiskan, dengan 'credit hours' sebanyak 4 jam. Fuhhh, bertabahlah Cik Fairuz! Aku belanja sikit 'screen shot' yang menunjukkan aku sudah habis mana-mana bahagian:



Tentang seminar 'The Lost Kingdom of Andalus'  pula...hmmm....aku bukanlah baik sangat. Sejak aku berhenti dari Usrah Suci aku dah tak pergi ke mana-mana kelas agama/usrah pun. Kuliah Zuhur di surau pun boleh dikatakan tak pergi juga. Lebih-lebih lagi bila kononnya aku nak membetulkan niat untuk ke surau supaya mendengar kuliah, bukan melirik kepada seseorang di saf depan (surau di pejabat aku tirainya berkain jarang dan sentiasa dibuka jika ada kuliah-kuliah). Seseorang itu pun sudah aku letakkan hampir di dalam 'Recycle bin'. Mudah-mudahan aku berjaya melupakan segala apa pun tentang dia. Inshaallah.

Oh berbalik kepada seminar tersebut, aku rindu nak pergi ke kelas agama. Itu saja. Rindu nak menyalin nota, mendengar cerita-cerita yang baru tentang Islam, perjuangan para Nabi dan lain-lain. Mudah-mudahan Allah mudahkan urusan aku nanti. Kalian pun doakanlah kita semua sentiasa diberikan hidayah dan petunjuk ya. Nah 'screen shot' pendaftaran aku untuk seminar itu:



Setakat aku mendaftar tadi, masih ada kekosongan tempat. Jomlah pergi sekali. Mana tahu kita boleh jumpa di sana. Inshaallah.

Kalian boleh tengok-tengok senarai kelas dan seminar anjuran iMuslim di sini.

Moga perkongsian aku yang sedikit ini bermanfaat. Inshaallah. Aku pun lemah juga.huhuhuhuuh




Saturday 3 October 2015

Aktiviti memandulkan(neuter/spay) kucing di SPCA Selangor

Hari ini aku dan ayah membawa Tiger ke SPCA Selangor yang beroperasi di Jalan Kerja Ayer Lama, Ampang Jaya. Tujuan kami adalah untuk memandulkan/mengkasi Tiger. Kalian yang mencintai kucing/anjing pasti bersetuju bahawa pemandulan/pengkasian adalah cara terbaik untuk mengawal 'overpopulation of stray animals'.

Ini adalah kali pertama kami ke sini. Kami difahamkan bangunan SPCA Selangor ini baru saja siap diroboh dan dibina semula baru-baru ini dengan rekabentuk yang sangat elegan. Memang cantik sangat dan sesuai untuk diletakkan haiwan-haiwan yang diselamatkan dan menunggu tuan baru mereka.

Bagi kalian yang berminat untuk mendapatkan kucing/anjing, memvaksinkan dan memandulkan kucing/anjing, bolehlah mendapatkan maklumat melalui laman web ini:

http://www.spca.org.my

Berikut adalah maklumat tentang prosedur pemandulan/pengkasian:

http://www.spca.org.my/what-we-do/spay-neuter-klinik-kembiri/locations-fees/

Kami difahamkan operasi di Cheras telah ditutup dan semua prosedur dibuat di Ampang Jaya sahaja sekarang. Kalau nak pastikan, bolehlah berhubung dengan staf SPCA melalui nombor yang diberikan di 'link' di atas.

Kos aku mandulkan Tiger cuma RM90. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

Aku memang sangat menggalakkan kalian untuk datang ke sini. Selain mandul dan vaksin, kalian boleh menjadi sukarelawan di sini, membeli barangan untuk 'charity' dan bermain dengan kucing/anjing yang ada di sini. Jangan risau, semuanya baik-baik dan manja belaka.

Boleh layan gambar-gambar semasa kami berada di sana ya!

Gambar1: Antara kedai makan yang sangat-sangat dekat dengan bangunan SPCA Selangor ini. Tak sampai 5 minit berjalan kaki hehe.

Gambar 2: Pintu masuk ke bangunan SPCA Selangor.

Gambar 3: Kaunter pendaftaran

Gambar 4: Antara ruang untuk bersantai sambil menunggu prosedur selesai.

Gambar 5: Papan tanda klinik kembiri

Gambar 6: Pintu utama untuk masuk ke bangunan SPCA Selangor.

Gambar 7: Tempat letak kereta yang terhad, dengan rekabentuk elegan.

Gambar 8: Anak-anak anjing yang comel sedang tidur. Geram juga aku tengok hoho.

Gambar 9: Antara staf SPCA Selangor yang melayan kami. Untunglah aku 'snap' gambar dia dan masuk pula dalam blog. 'Special' mungkin. Haha.

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...