Fairuz Yasmin binti Ramli.
Itulah nama penuh yang diberikan oleh ibu bapa saya selepas saya lahir ke dunia pada 30 Mac 1984. Sejak itu nama itu saya gunakan tanpa sebarang singkatan. Malah alamat emel saya pun menggunakan nama penuh saya itu. Fairuz bermakna batu permata yang berwarna biru firus, manakala Yasmin bermakna bunga melur. Terasa betapa bernilai sekali diri saya dengan nama ini. Alhamdulillah!
Dari kecil saya memang tak pernah berpisah dengan ibu bapa. Hanya setahun saya membawa diri belajar di kolej matrikulasi di Perlis. Seingat saya, hanya dua kali saya pulang ke rumah kami di Kuala Lumpur semasa cuti semester. Selain dari itu saya hanya belajar di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor sahaja. Pendidikan tertinggi setakat ini adalah Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Malaya (UM). Buat masa sekarang, saya masih bersusah-payah cuba menghabiskan baki dua subjek akhir ACCA (Association of Chartered Certified Accountants), yang saya duduki secara sambilan. Pada masa yang sama saya sedang dalam proses menghantar borang kepada MIA (Malaysian Insititute of Accountants), untuk mendapatkan taraf akauntan bertauliah, hasil dari kelulusan akademik dari UM dan pengalaman kerja selama 8 tahun.
Saya ini tidaklah pandai pun. Sederhana sahaja orangnya. Dari kecil saya sudah tahu yang saya bukan jenis yang tak perlu baca buku untuk lulus peperiksaan, atau kita biasa gelarkan sebagai genius. Hikmah dari hakikat ini adalah saya sedar diri, dan sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu kejayaan. Saya telah banyak kali gagal dalam beberapa subjek ACCA yang dikatakan "killer papers". Orang lain setakat sekali menduduki peperiksaan dan terus saja lulus. Saya? Seingat saya, saya pernah memegang rekod mengulangi peperiksaan satu subjek yang sama sebanyak tujuh kali! Tambah memeritkan adalah hakikat yang saya membayar kos peperiksaan yang tujuh kali itu dalam mata wang Pound Sterling, dengan duit sendiri. Kemuncak kegembiraan saya adalah apabila saya lulus dengan markah minimum (50 markah sahaja) dan saya telah membelanja kawan sepejabat makan kek. Bagi kami pelajar ACCA, 50 markah itu umpama mendapat markah penuh iaitu 100 markah. Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya hati saya pada masa itu.
Itulah kisah perjuangan saya yang belum selesai. Alhamdulillah, saya diberikan seorang majikan yang baik dan selalu memberi inspirasi. Beliaulah yang menasihatkan saya bahawa kita tidak perlu terkejar-kejar dalam mengusahakan sesuatu, hanya kerana ingin bersaing dengan orang lain. Persaingan sihat itu perlu tapi tidak perlu sampai menganiayai diri sendiri. Hanya kita yang memahami kemampuan diri kita sendiri. Inshaallah saya akan berusaha menghabiskan apa yang dah saya mulakan. Saya ada masa sehingga tahun 2018 untuk menghabiskan baki dua subjek akhir itu. Buat masa sekarang saya ingin fokus kepada misi menulis dan menyampaikan ilmu serta pengalaman sahaja. Melalui blog ini, saya akan kongsikan tentang ilmu perakaunan, pengalaman dan tips peribadi (melancong, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain), sebahagian karya kreatif (contohnya puisi pendek) dari saya dan sedikit produk jualan dari perniagaan yang masih di peringkat bertatih (akan dimaklumkan di dalam post yang akan datang). Doakan misi-misi saya ini berjaya.Amin. Saya juga mendoakan agar anda semua dimudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat, Inshaallah. Ayuh berusaha! Allah bersama-sama kita!