Wednesday 30 September 2015

Malaysia Boleh!

Sedang berjalan menuju ke LRT Plaza Rakyat, mataku tertancap pada seorang lelaki yang sangat aku cam mukanya. Kenapa? Sebab lelaki itu mukanya pernah 'viral' meminta duit untuk pulang ke kampung. Dijajanya laporan polis yang menyatakan bahawa begnya telah dicuri lantas duitnya telah habis semuanya. Sudah ramai orang memberikan sebahagian rezeki mereka kepadanya atas dasar simpati.

Aku semakin menghampirinya.

"Kak, nak beli tiket bas?"

Aku menjelingnya sambil menunjukkan isyarat tidak mahu.

Lalu aku mengalihkan pandangan ke balai polis yang berada di dalam bangunan UTC Pudu. Balai polis itu sungguh dekat dengan lokasi lelaki itu menjalankan segala kegiatannya.

Lantas aku terfikir:

Malaysia Boleh!

Saturday 26 September 2015

Kenapa kita tidak patut membandingkan diri kita dengan orang lain

Acapkali kita disuruh jangan membandingkan kehidupan kita dengan orang lain terutama sekali melalui post-post di laman sosial. Di samping ianya boleh membuatkan kita rasa 'down', sebenarnya tak ada siapa (kecuali mereka yang tidak matang atau yang dikuasai emosi) yang akan post benda negatif dan bersifat amarah.

Tak percaya? Mari aku cuba singkap hasil pemerhatian aku. Sebab aku dulu suka membandingkan hidup aku dan orang lain juga, hinggalah aku sampai ke tahap hari ini. Tahap sudah mangli dan mudah untuk 'move on'. Biasanya melalui pengalaman sendiri dan kawan-kawan.

1) Pasangan romantik baru kahwin

Post-post semuanya #tilljannah, bahagia berdua, bahagia masak setiap hari dll.

Jarang antara mereka yang post seperti:

"Baru lepas kena sound dengan bucuk manja. Sebab lupa salam mak mertua"

Atau seperti:

"Benci sangat perangai sayang baby yang pengotor nak mampus dan pemalas phuiii".

Sebab apa?

Baru kahwin, bukan? Harus manis semuanya dan malu jika orang luar tahu. Hakikatnya yang aku faham dari cerita orang yang dah kahwin, 'marriage is not all sweetness 24 hours'. Ada gembira dan ada juga duka. Macam orang lain juga.

2) Pasangan mempunyai anak

Post-post bersyukur diberikan anugerah terindah dari Allah. Tiada lagi gambar ibu bapa. Hanya gambar anak.

Jarang antara mereka yang post seperti:

"Malam tadi tak tidur langsung sebab anak aku menangis melolong. Rimas!"

Atau post seperti:

"Baru lepas pukul anak sebab degil gila. Ini mesti ikut perangai belah mak/ayah dia. Degil semacam"

Satu, sebab sayang kepada anak melebihi segala rasa penat dan marah.

Dua, bab anak ini sensitif sebenarnya. Tak elok banyak sangat bercerita. Biarlah gambar comel mereka saja menghiasi wall. Sekurang-kurangnya boleh menceriakan diri sendiri dan orang lain juga.

3) Si bujang yang kaya dan melancong sepanjang tahun

Sepanjang tahun, post mereka penuh dengan gambar dan status 'check in' di seantero dunia. Ada juga status mengumpul harta bertimbun. Maklumlah belum punya komitmen pasangan dan anak.

Jarang antara mereka yang post:

"Dah satu dunia aku melancong. Hidup aku begitu juga. Tetap bujang trang tang tang"

Atau post seperti:

"Penatlah berharta ni. Banyak sangat duit pun tak ada guna kalau tak ada keluarga"

Sebenarnya melancong dan mengumpul hartalah rezeki yang Allah bagi kepada mereka sebagai ganti pasangan dan anak. Kalau tidak, pastilah mereka akan rasa lebih 'down' dengan sikap sesetengah masyarakat yang menilai mereka hanya dari status perkahwinan.

Kita semua mahukan bahagia. Tapi Allah lebih tahu bahagia itu bagaimana untuk setiap hambaNya.

Lirik lagu ini aku sangat suka hayati:

Bukan sengaja aku merahsiakan cinta
Tapi curiga kau kan tersalah sangka
Kerana kita rasa bangga bila dipuja
Dan rasa keji bila dihina
Kerana kita menolak segala bencana
Dan asyik bergembira dengan nikmatnya
Sedangkan semua ini adalah takdirnya
Dan kita harus bersyukur sentiasa

Artis: Kumpulan Damasutra
Tajuk lagu: Seribu Bayangan

Jalan terus! Rock woo!

Adios!

Friday 25 September 2015

Resepi puding roti kukus bersama sos kastard

-Puding-

Bahan-bahan
4-5 keping roti
1/2 tin susu pekat manis#
1/2 cawan air#
1 sudu marjerin/butter*
2 biji telur*
1 sudu esen vanila#
Buah-buahan kering; peach, prune, kismis etc

Cara memasak
1) Carik-carikkan roti di dalam bekas yang hendak dikukus. Basahkan sedikit dengan air dan asingkan.
2) Dalam bekas lain-Pukul bahan bertanda * (marjerin/butter dan telur) hingga agak-agak kembang.
3) Masukkan bahan bertanda # (susu pekat manis dan air) ke dalam bekas di no 2 dan kacau sebati.
4) Masukkan adunan ke dalam bekas roti. Jangan sampai roti tenggelam.
5) Taburkan buah-buahan kering di atasnya.
6) Kukus selama 30-45 minit.

Nota:
1) Saya tidak menggunakan gula sebab sudah cukup manis (kalau tak mahu manis boleh dikurangkan lagi ya). Jika anda guna susu segar, mungkin perlu tambah sedikit gula.

2) Jika anda tiada pengukus, bolehlah menggunakan periuk nasi yang ada penapis tu. Kawan serumah saya dulu guna periuk nasi saja untuk buat puding roti.

-Sos kastard-

Bahan-bahan
3/4 tin susu sejat
1 sudu besar tepung kastard
1/4 cawan air(boleh gunakan tin susu sejat yang dah kosong)
1-2 sudu besar gula mengikut kesesuaian rasa manis

Cara memasak
1) Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan panaskan di atas api sederhana besar.
2) Kacau sehingga anda dapatkan kepekatan yang diinginkan. Jangan terlalu pekat ya. Padamkan api dan biarkan sejuk seketika.

Cara menghidang
Boleh dimakan semasa suam mahupun sejuk. Ikut selera masing-masing.

4 cara Allah makbulkan doa-doa kita

Tadi aku cakap dengan mak nak pinjam beg tangan yang warna 'Mustard'. Mak cakap ambil saja bila-bila nak.

Buat pengetahuan, mak aku memang pandai bergaya, tak macam aku. Aku kalau keluar ke mana-mana, macam askar atau budak sekolah saja lagaknya, walaupun umur dah macam mak budak(berangan).

Mak sempat bertanya:

"Ko nak pi kenduri kahwin sape, Kak Long?"

Aku jawab:

"Saja je cakap nak pinjam. Tak ada nak pergi kenduri sape-sape. Batch cy sume dah kawin. Tinggal yang kertu macam cy"

Seraya itu mak menjawab:

"Allah makbulkan doa kita melalui 4 cara:

1) 'Immediately' (mak aku cakap English woiii, aku tak ubah sebutir pun)

2) Melalui benda lain yang kita perlu, bukan yang kita hendak

3) Ditangguhkan hingga kita bersedia

4) Ditangguhkan hingga ke akhirat

Aku diam. Malas komen lebih. Sebab memang aku tahu ianya betul 100%.

Sambung makan roti canai dan minum air Nescafe.

Aku terkenang insan yang tiada nikmat seperti yang aku ada

Lebih kurang pukul 2 petang tadi, aku dan mak bertolak ke bandaraya Kuala Lumpur. Sebab aku menemankan mak membeli belah di pasaraya Sogo. Pasaraya Sogo dulunya merupakan tempat aku dan kawan sekampus melepak dan membeli barang keperluan, selain pasaraya Mydin. Biasanya kami akan membeli kasut dan pakaian di Sogo manakala alatulis di Mydin.

Entah kenapa hari ini aku banyak berfikir. Sambil berjalan di dalam Sogo aku terfikir:

"Apakah yang sedang orang 'homeless' lakukan, di saat aku membeli-belah begini? Saat aku mencari barang keperluan rumah, mereka tak punya rumah pun buat berteduh".

"Apakah yang anak-anak yatim lakukan di saat aku menemankan mak membeli beg dan kasut, sedangkan mereka tak punya sesiapa untuk membantu mereka membuat pilihan beg dan kasut?"

Betapa bertuahnya aku tapi apakah yang telah aku sumbangkan untuk mereka yang tak seperti aku?

Alhamdulillah selama ini aku diinspirasikan oleh insan-insan hebat seperti Syed Azmi(Free Market), Papa Hero(Kakimotongfanclub), Georgie(Furry  Friends Farm), Raja Shamri(Third Force), Puspa Rani (Malaysian Independent Animal Rescue) dan lain-lain. Merekalah antara insan-insan yang mengajar aku bahawa dunia ini bukan hanya kita saja penghuninya. Maka sebab itu setiap kali aku mendapat nikmat, aku pasti terkenangkan pihak-pihak yang dekat di hati mereka yang hebat ini, iaitu anak yatim, 'homeless', orang miskin atau yang ditimpa bencana dan haiwan-haiwan terbiar.

Aku tak sebaik mana. Serba-serbi kurang. Tak alim. Banyak dosa. Tapi serius aku tak boleh tengok atau fikir betapa sukarnya hidup bagi sesetengah orang. Seboleh daya aku cuba bantu seadanya. Paling kurang aku doakan segala kebaikan buat mereka.

Harapnya kalian juga begitu. Kita sama-sama berdoa agar dunia ini menjadi medan kita berbakti kepada masyarakat, buat bekal di akhirat. Bukan hanya menjadi medan menuai kekayaan semata-mata.

Seseorang pernah mengingatkan aku:

Wang itu biarlah menjadi alat. Alat untuk bersedekah, mengembara demi ilmu dan pengalaman dan menunaikan kehendak keluarga. Bila wang menjadi alat, kita akan merasa cukup dan tenang.

Wang tidak boleh dijadikan matlamat. Bila wang dijadikan matlamat maka sampai bila pun kita tidak akan merasa cukup. Kerana kehendak kita sentiasa berubah-ubah dan meningkat setiap masa. Dan kita akan merasakan tanpa wang hidup kita sengsara, akibat sebahagian kehendak kita tak dapat dipenuhi.

Wallahua'lam.

Monday 21 September 2015

Budi bahasa lebih penting dari harta dan pangkat

Hari ini aku berdepan dengan dua kejadian yang membuat aku terfikir: Adakah kemajuan teknologi dan kepantasan bekerja menyebabkan kita hilang nilai budaya dan budi bahasa?

Kejadian pertama di dalam LRT. Di stesen Pudu, sebaik pintu tren dibuka, beberapa orang pekerja warga asing meluru masuk. Mereka tidak tahu ada seorang wanita Malaysia hendak keluar. Aku pun tak tahu sebenarnya, walaupun wanita itu di sebelah aku. Tiba-tiba wanita itu bersuara kuat separa menjerit:

"Ke tepi sikit boleh tak? Aku nak keluar ni!"

Pekerja warga asing itu terkulat-kulat memberikan laluan. Aku terfikir adakah kerana mereka warga asing, maka halal kita bertempik di telinga mereka? Di manakah "Tumpang lalu?" atau "Excuse me?". Atau aku saja yang terlebih fikir? Entahlah.

Kejadian kedua berlaku di pejabat aku. Bermula hari ini, sebuah pengeluar kuih bulan ternama membuat promosi kuih bulan mereka. Kami sebagai staf sudah tahu segala senarai kuih-kuih bulan yang dijual dan diberikan diskaun sehingga 30% melalui iklan di portal kami.  Suatu yang pasti: Kuih bulan dengan inti durian 'Musang King' memang tiada diskaun. Dan aku rasa kalian pun boleh faham kenapa, iaitu durian tersebut mahal harganya.

Sedang aku menunggu kawanku memilih kuih kegemarannya, tiba-tiba kedengaran seorang wanita di sebelahku bersuara kuat:

"Apa? Musang king tak ada diskaun? Kenapa? Mulalah aku nak marah ni! Check semula please."

Pekerja yang melayannya hanya mampu menggeleng kepala, tanda mengiyakan memang tiada diskaun untuk kuih bulan jenis itu.

Pertama: Iklan di portal sudah memaklumkan segala butir diskaun yang ada. Ianya sudah di'fix'kan dari awal.

Kedua: Fahami strategi bisnes peniaga juga, bukan hanya selera kita. Fikir jika kita di tempat peniaga itu. Dibandingkan dengan tahun lepas, tahun ini promosi kurang hebat, mungkin kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Ketiga: Jaga reputasi kita dan syarikat. Budi bahasa itu penting. Tak bermakna kita ada duit kita boleh bercakap dan buat apa saja.

Aku masih ingat suatu kisah di zaman universiti. Pensyarah kami kecewa dengan sikap sebahagian pelajar yang meniru di dalam ujian. Kata-kata beliau aku simpan sampai sekarang:

"Ada jutaan malah bilion orang bijak pandai di dunia ini. Yang membezakan mereka hanyalah nilai-nilai seperti budi bahasa dan sifat amanah".

Jumpa lagi di posting seterusnya Inshaallah.

Sunday 20 September 2015

'Divert' kekecewaan kita kepada sesuatu yang positif

Aku manusia biasa. Bujang pula. Walau aku nampak bersahaja, menghabiskan masa dengan keluarga dan kawan-kawan ada masa  hati aku tersangkut juga dengan orang yang aku sangka dialah orangnya.

Malangnya, hati manusia itu bukan kita yang pegang. Berapa lama pun aku simpan perasaan, apa cara pun aku luahkan, kalau hatinya tak dibuka untuk aku, tak mungkin berlaku apa-apa, bukan?

Lebih malang(aku tak pasti terma ini betul atau tidak), bila insan yang alim, pemalu dan kelihatan baik itulah yang keras hatinya menolak permintaan aku. Keras tanpa sebarang balasan ya atau tidak. Semalang-malang(lagi sekali aku tak pasti terma ini betul atau tidak) aku adalah bila aku perlu bersabar melihatnya hampir setiap hariku. Melihatnya dan mencuba membuang segala rasa. Melihatnya dan berlagak seperti tiada apa yang telah berlaku.

Jadi, di post ini aku cuba merawat segala duka dengan menaikkan semula 'self-esteem' aku yang telah jatuh sebelum ini. Aku nak senaraikan apakah keistimewaan aku(suka hati kalau kalian nak kata aku riak atau takbur atau ujub atau apa saja).

Aku sebenarnya sangat istimewa sebab:

1) Aku senyum manis. Pernahlah beberapa orang cakap macam ini pada aku. =)

2) Aku berhati lembut. Aku tak boleh tengok orang atau binatang susah. Cepat leleh.

3)Aku tinggi (dan besorrrrrrr hahah). Kalau kurus sikit lagi boleh setanding model. Model berjerawat dan bergigi besar. Hoho

4) Aku ada ibu bapa lagi. Siap boleh manja-manja, minta mereka teman ke sesetengah tempat. Orang lain mungkin dah tiada ibu bapa.

5)Aku ada pekerjaan yang tetap di syarikat yang besar. Walaupun minat aku tak sama dengan pekerjaan aku, aku masih bersyukur. Rezeki semua Allah bagi.

6)Aku sudah pun membeli sebuah rumah kecil di lokasi yang dekat dengan rumah ibu bapaku. Rumah itu aku beli dengan 'housing loan' dari syarikat dengan kadar 'profit' rendah dari pasaran. Alhamdulillah. Rumah itu boleh diduduki ataupun disewakan. Memang aku beli untuk 'dual purpose'.

7) Aku tak pernah 'give up' dalam setiap apa yang aku buat. Aku memang kuat sangat menangis. Tapi lepas itu aku akan bangun dan sambung semula. Aku akan habiskan apa yang aku dah mulakan.

8) Aku ada Allah untuk aku mengadu. Tak semua benda aku cerita pada keluarga dan kawan. Aku suka bercakap-cakap dengan Allah. Sebab aku percaya Allah itu ada dan sentiasa mendengar.

9) Aku rajin memberi pendapat dan nasihat kepada sesiapa yang memerlukannya. Walaupun ada yang tersalah faham dengan niat aku. Tak apa, Allah faham.

10) Aku menghormati perbezaan pendapat dan telah belajar untuk menerima semua orang seadanya. Bukan senang nak capai tahap hari ini. Aku rasa lebih tenang sekarang.

11) Aku suka kucing! Kucing buat hati aku tenang dan mengajar aku supaya bersabar. Kucing suka membuang air kecil dan besar bersepah-sepah, tumpahkan air minuman, terbalikkan bekas makanan. Kena pula bersihkan kawasan sekitar sangkar mereka selalu, supaya bersih dari kuman. Bukan semua orang boleh buat macam aku. Alhamdulillah.

Cukuplah dahulu. Benda negatif memang menyesakkan fikiran. Cara paling baik adalah 'divert' aura negatif itu kepada benda positif yang boleh memotivasikan diri.

Tukar segala rasa cinta dan ingin mempunyai itu kepada perkara lain. Semakin cinta semakin banyak menulis. Semakin rindu semakin banyak bercakap dengan Allah. Semakin kecewa semakin banyak bersedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Inshaallah semuanya baik-baik saja. Jumpa lagi di posting seterusnya.  Aku bercadang nak post tentang pengalaman membeli rumah. Tapi kena kumpulkan segala bahannya dahulu. Inshaallah.

Saturday 19 September 2015

Bila diberikan nikmat "glamor" sebentar

Malam ini aku nak mengimbau sedikit kenangan bila post aku di FB di'viral'kan. Post itu berkaitan aku dan ayah menaiki LRT bersama-sama pada suatu pagi. Entah kenapa hati aku rasa sayu semacam maka lahirlah post itu.

Aku memang dah mula rasa semacam bila jumlah "Likes" melebihi 50 (banyak lah bagi aku yang tak "glamor" ini hoho) . Tambahan pula "likers" kali ini banyak yang aku tak biasa nampak mereka "Like" apa-apa pun yang aku post. Aku bukanlah kemaruk "Likes" pun. Yang lebih penting sebenarnya adalah mesej yang aku nak sampaikan itu.

Post asal di FB aku

Esoknya aku di'tag' oleh dua orang makcik aku di page Oh!Media. Katanya aku dah "glamor", "kipidap" dan "dongibab". Oh rupanya post aku telah sampai kepada "Admin" Oh!Media. Aku tak tahu nak kata apa, cuma aku kecewa sebab post itu hanya tinggal ayat-ayat sahaja, tanpa gambar ayah aku. Lebih kepada tak "feeling"lah sebenarnya. Hehehe.


Aku di'tag' oleh salah seorang makcik aku


Tapi aku juga perasan sesuatu: Tak ada kredit diberikan kepada aku. Aku kira ini tidak bagus dari segi etika penulisan. Selepas meminta pendapat guru blog aku Kak Zaila, aku pun menghantar emel kepada pihak Oh!Media. Alhamdulillah semuanya selesai dan esoknya Oh!Media telah meletakkan kredit kepada aku.


Komunikasi emel antara aku dan pihak Oh!Media


Aku ada dedikasikan satu post di FB susulan pengalaman aku jadi "glamor". Panjang juga post itu. Ramai kawan-kawan menyokong minat menulis aku. Kak Zaila juga membuat satu post mengucapkan tahniah kepada aku dan mengingatkan pelajar yang lain agar mengambil serius isu plagiat.

Post panjang di Fb aku susulan kes selesai 

Post dari Kak Zaila 


Dari semua pengalaman ini, aku belajar sesuatu yang penting: Aku perlu terus menulis. Kerana itulah minat aku. Alhamdulillah aku juga dah membuat satu page di FB bertajuk Mudahnya Belajar Akaun. Inshaallah  aku akan "invite" kalian bila page itu sudah sedia untuk dibuka.

Jika ada impianmu yang masih tergantung, capailah segera. Kerana hidup ini terlalu pendek untuk kita habiskan dengan bertangguh-tangguh dan banyak bertanya. 

Just do it!

Friday 18 September 2015

Bila kehabisan duit di hujung bulan

Hari ini aku berpeluang merasai keperitan mengeluarkan duit dari akaun bank. Kenapa perit? Sebab duit di dalam akaun cuma tinggal puluhan ringgit.

Disebabkan malu aku terpaksa menunggu masa yang tiada orang di mesin ATM. Kalau ada orang di belakang aku pasti aku menjelingnya tajam. Rasa macam penjenayah pun ada huhu.

Kenapa malu? Sebab aku nak keluarkan duit puluhan ringgit saja, bukan ratusan atau ribuan. Itupun jenuh aku memastikan berapa ringgit yang aku boleh keluarkan. Sebab aku pernah beberapa kali berasa malu bila orang nampak baki akaun aku tak mencukupi. Malu yang teramat-amat. Huhu.

Situasi begini beberapa kali juga terjadi pada aku. Meskipun aku bekerja di bank, ada ketika perbelanjaan aku begitu hampir mengatasi pendapatan. Aku ada hutang, juga komitmen kepada ibu bapa. Akulah 'best example' orang yang makan gaji. Bila bergaji baru dapat makan. Bila tak ada gaji tak adalah makanan.

Apapun aku sangat menghargai pengalaman sebegini. Sebab aku akan faham peritnya hidup orang yang mungkin gajinya lebih rendah dari aku. Kalau aku hujung bulan baru begini, orang lain? Mungkin ada yang belum pun pertengahan bulan sudah berbaki puluhan ringgit saja dalam akaun mereka.

Bila duit sedikit aku jadi lebih redha dengan rezeki. Beli apa yang perlu saja. Sedekah setakat termampu. Jika tak mampu, sedekah saja dengan doa. Mungkin aku belum sesuai menjadi si kaya yang pemurah. Biarlah aku menjadi si biasa-biasa dahulu.

Semoga kita tetap tegar bergantung harap hanya pada Allah S.W.T. Kerana Allah lah saja yang maha memberi rezeki. Wallahua'lam.

Jumpa lagi di post seterusnya Inshaallah.

Thursday 10 September 2015

Rasa "down" dan rendah diri? Cubalah tips-tips ini

Apa nak buat bila kita rasa 'insecure' dan rendah diri?

Pernah rasa 'down' tak bila tengok orang lain lebih dari kita? Tak kisahlah dari segi rupa paras, taraf sosial, pangkat dan kekayaan. Setiap kali kita tengok orang yang lebih dari kita, mulalah kita menuduh diri sendiri yang hina, hodoh, malas, bodoh, tak patut lahir dan sebagainya. Pernah tak?

Aku jawab dulu ya. Pernah dan masih rasa. Tak pernah hilang pun rasa itu.

Tapi tahu tak yang kita boleh kawal ia?

Kenapa nak kena kawal?

Sebab apa pun jadi kita tetap kena teruskan hidup. Betul tak? Kita kena kerja, makan dan minum, melayan kerenah ahli keluarga dan kawan-kawan dan sebagainya, setiap hari. Tiba-tiba kita nak kena 'carried away' dengan rasa 'down' dan 'insecure' ini, hmmm...

Aku tak sempurna tapi aku cubalah juga kongsi cara aku kawal rasa itu. Walaupun kadang-kadang terpeleot juga! Manusia wehh..biasalah..😆. Tips-tips ini pun aku kumpul dari orang lain juga.

1) Apakah objektif/kemahuan kita?
Kita nak apa sebenarnya? Nak jadi bos? Nak ada Master, PHD? Nak gaji tinggi? Nak kahwin? Atau kita tak nak jadi apa-apa? Cukup sekadar menjadi diri kita yang 'enjoy' selalu.

2) Kenapakah kita nak capai objektif/kemahuan itu?
Adakah sebab kita cemburu dengan orang lain? Atau adakah kita memang rasa diri kita tak ada perubahan dari dulu sampai sekarang? Adakah kita akan dapat sesuatu dari pencapaian itu contohnya keluarga dan kawan kita puji kita melangit?

3) Bagaimanakah kita nak capai objektif/kemahuan itu?
Kita ada 2 cara utama:

1. Kita "look up ward"-Kita cuba sehabis daya untuk jadi setaraf atau lebih dengan mereka; atau

2. Kita "look downward"-Kita tengok orang yang  kurang daripada kita. Supaya kita bersyukur dan mula terima diri kita seadanya.

"Look upward"-Mula tambah kemahiran lain seperti Master, PHD atau kemahiran macam menjahit, bertukang, bahasa asing dan lain-lain. Dengan harapan kita akan berjaya "upgrade" diri kita.

"Look downward"-Mula turun padang buat aktiviti "charity". Maksud aku bukan setakat derma duit tapi derma MASA. Pergi tengok orang tua yang tak ada anak jaga, anak yatim yang asyik tanya mana mak ayah mereka, orang cacat yang asyik fikir kenapa mereka dilayan "second class" dalam komuniti. Mudah-mudahan kita akan "accept" diri kita dan pupuk kasih sayang pada orang lain.

Cara-cara lain pun boleh seperti pergi melancong, sertai "marathon" atau "cycling", pergi "hiking" dan sebagainya. Janji ianya boleh buat kalian gembira dan rasa ada pencapaian yang bermakna. Lebih baik jika kalian boleh "share" pengalaman dalam blog atau FB.

4) Bilakah kita kena buat semua cara di atas?
Ikutkan aku, sekarang! Tapi kalau kalian rasa perlukan masa untuk menangis dan lain-lain sekurang-kurangnya mulakanlah merancang. Pastikan kalian betul-betul buat apa yang dah dirancang itu ya!

Aku pun emosi juga pagi ini. Sebab itu aku menulis haha. Boleh juga mengalirkan cas-cas negatif kepada tulisan. Semoga sedikit sebanyak dapat bantu kalian yang ada isu "down" atau " insecure".

Adios!

Tuesday 8 September 2015

Kisah kecemasan di dalam LRT

Lebih kurang pukul 6.40 petang tadi aku keluar dari pejabat untuk pulang ke rumah. Macam biasa, aku menaiki LRT aliran Seri Petaling. Alhamdulillah aku berjaya menaiki LRT yang kurang padat isinya. Aku memilih untuk berdiri di suatu sudut berhampiran pintu LRT, sebab aku berniat nak sambung baca buku "Who Moved My Cheese". Jumaat ini ada sesi "Book Club" yang mana kami akan berdiskusi tentang buku itu.

Sedang aku membaca, aku terdengar bunyi hentaman dari dalam LRT. Rupanya ada seorang perempuan sedang kekejangan dan melanggar pintu LRT, lalu jatuh terlentang. Aku dah takut sebab dia jatuh dekat dengan aku. Ah sudah, meleleh pula air liur bercampur darah dari mulutnya. Lagilah aku takut.

Seorang lelaki India cuba mendapatkan bantuan.

"Ada doktor tak di sini? Tolong tengokkan dia, please".

Aku spontan bertanyakan perkara yang sama kepada penumpang di bahagian berdekatan aku.

Malangnya tiada respon yang kami terima.

Lelaki India itu pantas meluru ke arah perempuan itu dan merasa nadinya. Masih bernyawa. Dua lagi lelaki(seorang Melayu dan India) cuba menenangkan keadaan.

"Kita turun di sini. Jom!" ajak seorang dari mereka.

"Ya, kita bawa dia ke hospital" balas yang lainnya.

Aku yang takut asalnya tak mahu ikut mereka. Tetapi bila pintu LRT terbuka dan mereka sudah menariknya keluar, aku terpandang telefon bimbit perempuan itu di atas lantai. OK, aku kena ikut juga nampaknya. Aku kutip telefon itu dan dengan pantas melompat keluar dari LRT.

Aku tengok perempuan itu masih meliuk lentok dan tak boleh bercakap sepatah pun. Seorang dari kami mengepungnya, takut-takut dia bangun dan berlari ke arah trek LRT. Seorang lagi berusaha keras memanggil kakitangan stesen LRT dan juga menelefon talian kecemasan untuk memohon ambulans dihantar dengan segera.

Seorang perempuan Cina rupanya telah mengutip selipar perempuan itu. Dia menawarkan minyak angin tapi kami menolak dengan baik. Alhamdulillah perempuan itu mula bertenang dan cuba bercakap sepatah dua. Katanya nama dia "Malissa".  Dia betul-betul keliru dan tak tahu apa yang dia cakapkan. Contoh bila kami tanya "Awak duduk mana?" Dia menjawab "Entah. Alah yang ada online tu. Boleh download". Lepas itu dia menggaru-garu kepalanya. Bila kami tanya "Yang nama Mama dalam handphone kamu ni mak kamu ke?" Dia jawab "Ya. Kenapa ya? Kenapa nak cari dia?".

Alhamdulillah kami dapat tahu ambulans sedang dalam perjalanan. Rupanya pihak polis juga datang untuk melihat keadaan sebenar. Mereka lega bila kami beritahu ambulans sedang dalam perjalanan.

Kebetulan juga kawan serumah perempuan itu turun dari LRT selepas kami dan ternampak dia dikerumuni oleh kami. Akhirnya kakitangan stesen mengajak mereka pergi ke sebuah bilik untuk menunggu ambulans. Kawan serumahnya sempat mengadu dengan aku.

"Kak, dia ni degil orangnya. Datang dari Sabah/ Sarawak (baru kenal). Bukan kali ini saja dia sakit macam ni. Dia memang makan ubat. Tapi bila kami tanya dia tak pernah cakap dia sakit apa".

Aku hanya mampu balas "Dik, bukan semua orang boleh cerita masalah mereka. Mungkin dia tak nak menyusahkan kamu semua. Lepas ini kamu tanya betul-betul dengan doktor apa penyakit dia ya".

Akhirnya aku menarik nafas lega dan meneruskan perjalanan pulang menaiki LRT seterusnya. Sempat aku berbincang perihal perempuan itu dengan salah seorang lelaki yang turut membantunya. Semoga dia sembuh dari penyakitnya. Inshaallah.

Aku belajar beberapa benda dari pengalaman ini:
1) Kita orang Malaysia memang prihatin, tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa. Jika kita kekalkan dengan momentum begini, Inshaallah tak ada siapa boleh pecah-belahkan kita.

2) Kalau kita berjaya akses telefon bimbit orang yang cedera itu, cari nama keluarga terdekatnya seperti "Mama" atau "Abah". Bukan yang namanya seperti "My Dear" atau "Baby" yang belum tentu apa hubungannya dengan dia.

3) Cub belajar teknik-teknik mengawal keadaan dan rawatan awal yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa. Contohnya semasa dia jatuh, ada yang mencadangkan dibaringkan terlentang, tapi ada pula yang menyuruh disandarkan pada dinding. Aku pun tak pasti yang mana yang betul.

Selain itu, salah seorang dari kami ada meminta perempuan itu meneka bilangan jari yang ditunjukkan. Mulanya dia tak boleh langsung jawab. Lepas beberapa minit bila ditanya sekali lagi, dia sudah boleh meneka dengan tepat.

4) Cubalah bantu semua orang seadanya. Kita bantu orang hari ini, Inshaallah orang lain bantu kita di kemudian hari.

Alhamdulillah di atas semua pengalaman ini. Aku sudahi ia dengan membelanja kucing-kucing di LRT Bukit Jalil makan "wet food". Benarlah, bahagia itu membahagiakan.

Inshaallah kita jumpa di post yang lain lepas ini ya.

Saturday 5 September 2015

Maybank Global CR Day 2015-Group Finance

Salam. Aku teruja untuk hari ini. Seawal pukul 5.45 pagi aku dah bangun dari tidur. Kemudian pukul 6.30 pagi aku "morning brisk walk" ke rumah Siew Foong. Lalu kami berdua berjalan pula ke rumah Ms Tay kerana Ms Tay yang akan memandu ke lokasi aktiviti CSR kami iaitu SK Seri Selangor.

SK Seri Selangor pada pandangan aku adalah sekolah yang dikategorikan bertuah. Kebanyakan pelajarnya dikatakan 'anak orang senang' dan boleh bertutur bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik. Setakat pemerhatian aku dari tahun lepas (ini kali kedua kami di sini), mereka tiada masalah dari segi pengajaran dan pembelajaran. Kalau ada pun keperluan ianya bersifat khusus seperti memerlukan sistem PA dan sistem kalis bunyi untuk bilik audio video.

Jika dibandingkan dengan anak-anak aku di Darul Fuqaha, aku rasa ada banyak perbezaan lebih-lebih lagi motivasi untuk cemerlang. Di sini pelajarnya seakan sudah bermotivasi dengan sendiri dan suka bersaing. Anak-anak Darul Fuqaha sebahagiannya masih perlu diberikan semangat dan dorongan, sesuatu yang giat diusahakan oleh kami. Inshaallah kami akan cuba sedaya upaya.

Apapun suatu perkara yang aku tak boleh nafikan walau di sekolah mana pun aku pergi: "Kids will always be kids". Seronok melayan kerenah mereka. Sangat jujur, bijak tapi sedikit nakal dalam cara mereka yang tersendiri. Melayan mereka selalu membuatkan aku digeletek emosi dan membuat aku gembira dan senyum sendiri.

Hari ini aku menjadi salah seorang juri untuk "Power Point presentation". Bertuah sekali pelajar zaman sekarang, didedahkan dengan teknologi dalam pembelajaran dari awal. Tajuk yang mereka bentangkan adalah "Cara-cara menyimpan wang". Kebanyakan kumpulan mempamerkan "presentation slide" yang sangat kreatif dan kandungan yang praktikal. Sebahagian mereka sangat yakin semasa bercakap walaupun ada juga yang timbul tenggelam suaranya. Ada juga yang "lost" habis dan akibat kesian, kami terpaksa meminta mereka "repeat" dari awal. Barulah jelas hala tujunya haha.

Selain "Power Point presentation", ada juga aktiviti lain seperti " Mini Treasure Hunt", "Telematch", "Cake Decorating", "Umbrella Decorating" dan Mencanting Batik. Aktiviti seperti membuat "sound proofing" dari kotak telur untuk bilik audio video dan Sukaneka Rakyat telah dilakukan lebih awal bermula 15/8/2015 yang lalu.

Aktiviti CSR kami tamat pada pukul 12.30 petang. Aku sempat membelek gambar-gambar di "hashtag" Maybank #maybankcrday2015, #maybankcares dan #mymaybank. Rata-rata mereka seronok meluangkan masa melakukan kerja-kerja sosial. Semoga momentum ini kekal dan dapat dilanjutkan kepada lebih banyak golongan yang lebih memerlukan dan dinilai sebagai ibadah juga di sisiNya Inshaallah.

Boleh layan sedikit gambar yang aku ambil semasa di sana tadi. Disebabkan aku post menggunakan applikasi Blogger, aku tak boleh nak letak "caption" dalam setiap gambar. Aku letak "caption" di sini saja tau:

Gambar no 1-"Banner"  kami tahun ini

Gambar no 2- Hasil dari "Umbrella Decorating"

Gambar no 3- Aktiviti "Telematch"

Gambar no 4-"Power point presentation"

Gambar no 5- Bilik audio video yang telah siap dibuat "sound proofing" menggunakan kotak telur.

Tahniah dan terima kasih buat semua!

Jumpa lagi di post seterusnya. Inshaallah.





Thursday 3 September 2015

Aku dan penyakit resdung/sinusitis

Hari ini aku cuti sakit. Puncanya sudah masuk hari ketiga aku mengalami simptom "fatigue" iaitu terlalu mengantuk sepanjang hari. Dua hari sebelumnya aku terpaksa tidur di surau beberapa kali akibat tidak tahan mengantuk. Mengantuk ini jenis degil tak boleh diubah. Kenapa? Minum kopi, bersenam ringan dan berbual-bual dengan kawan sepejabat juga tidak berjaya menghilangkan rasa mengantuk itu. Klimaksnya pagi tadi aku tertidur semasa hendak menggosok baju kerjaku. Lepas itu aku tidur sekali lagi di atas sofa.

Aku memang ada resdung, atau bahasa saintifiknya sinusitis. Kali ini hidung aku terasa sangat kering dan agak sukar untuk bernafas. Aku sudah pun mendapatkan "referral letter" dari klinik di pejabat semalam dan sedang berkira-kira untuk ke hospital Jumaat nanti. Tapi aku tak sangka simptom-simptomnya bertambah teruk dan terpaksa bergegas ke Hospital Gleneagles, Jalan Ampang pada hari ini juga. Syukur ayah bercuti pada hari ini kerana aku terpaksa meminta ayah membawa kereta kerana aku terlalu mengantuk. 

Doktor pakar yang merawatku namanya Dato' Dr. Mohd Husni Ahmad ("Ear, Nose and Throat surgery"). Untuk memudahkan cerita, aku gelarkan beliau sebagai Dr Husni. Seorang kawan sepejabat yang mencadangkan aku pergi mendapatkan rawatan dengan Dr Husni. Katanya beliau seorang doktor yang bagus dan kawanku itu telah sembuh sepenuhnya. 

Hasil carian aku di "Google" juga menunjukkan beliau seorang yang disegani pesakitnya dan rendah diri. Selepas bertemu empat mata dan merasai sendiri sesi rawatan dari beliau, aku memang bersetuju dengan komen-komen mereka. Beliau aku simpulkan sebagai seorang yang sangat komited dengan kerjayanya dan amanah. Aku tak mahu menuduh sebarangan tapi kalian pasti pernah berhadapan dengan situasi doktor-doktor di hospital swasta memujuk atau memaksa kalian untuk membuat pembedahan serta-merta, yang kosnya menelan ribuan ringgit. Dr Husni bukan sahaja menerangkan penyakit aku dengan panjang lebar, malah menyatakan yang pembedahan hanya akan dilakukan jika penyakit aku terlalu kronik dan tiada ubat yang boleh membantu menyembuhkannya.

Bila berhadapan dengan doktor begini, aku rasakan berbaloi jika kita membayar mereka ratusan malah ribuan ringgit. Sebab mereka bukan sahaja berilmu, malah penuh dengan sifat empati. Kita bukan sengaja hendak sakit. Kita juga bukan suka-suka mahu pergi ke hospital swasta yang mahal harganya. Tidak kiralah jika bil kita dibayar oleh majikan sekalipun, kita pastinya mengharapkan perkhidmatan yang terbaik dari mereka. Setakat ini Dr Husni menepati ciri-ciri yang aku selaku pesakit harapkan. Selepas keputusan "CT scan" aku keluar nanti, aku akan tahu adakah penyakit aku ini serius atau tidak, dan apakah jenis rawatan yang akan diberikan. Inshaallah dari semasa ke semasa aku akan "update" perkembangan rawatan aku. Kalau benar-benar bagus dan sembuh, aku akan cadangkan kepada kalian pula ya! =)

Aku kongsikan sedikit info/tips dari sesi rawatan aku tadi:

1) Sinus dan hidung adalah 2 perkara berbeza. Sinus adalah 8 rongga/ruang di bahagian muka dan kepala kita. Hidung pula adalah...hmm...hidunglah, bukan? Kedua-duanya boleh saling berkaitan jika hidung kita bermasalah contohnya tulang hidung bengkok dan menyumbat hidung, maka kotoran akan merebak ke bahagian sinus. Bila kotoran berkumpul terjadilah "infection" dan "inflammation".

2) Polyps adalah daging yang tumbuh di dalam hidung. Kena periksa betul-betul dengan kamera samada ada polyps atau tidak. Doktor kata bentuknya macam buah anggur. Dalam kes aku, doktor pakar dari hospital swasta yang lain menyuruh aku menjalani pembedahan untuk membuang polyps. Tapi Dr Husni tadi tunjukkan pada aku yang aku sebenarnya tiada polyps di dalam hidung. 

Jika ragu-ragu atau tidak pasti, sila dapatkan "second opinion" dari hospital lain. Ianya boleh menjimatkan wang dan juga masa. Kadanga-kadang pembedahan yang dilakukan tak menyembuhkan penyakit pun. Puncanya mungkin doktor salah diagnos atau sengaja menakut-nakutkan kita yang kurang ilmu perubatan ini. Jadi berhati-hati ya, lebih-lebih lagi jika anda menggunakan duit sendiri untuk membayar bil perubatan. Sakitnya itu di sini $$$$$.

3) Beritahu doktor jika anda sakit semasa doktor memasukkan ubat atau kamera ke dalam hidung. Pohon beliau untuk lebih berhati-hati semasa melakukan prosedur tersebut. Dr Husni ternyata sangat berhati-hati dan lembut bila memasukkan ubat dan kamera ke dalam hidung aku. Jauh berbeza dengan doktor sebelum ini yang main jolok saja besi ke dalam hidung aku. Meleleh-leleh air mata aku menahan sakit.

4) Berikan maklumat berkaitan ubat-ubatan dan rawatan yang pernah kita ambil kepada doktor. Sebab ia akan membantu doktor membuat keputusan rawatan bagaimana lagi yang harus dilakukan kepada kita. Contohnya, Dr Husni menyuruh aku membawa keputusan "CT scan" dari hospital yang sebelum ini untuk dia bandingkan dengan keputusan terkini nanti. Aku juga dapat info baru tentang ubat "Oxy-nase" yang sebenarnya tidak boleh digunakan setiap hari kerana ianya akan menjadikan hidung membengkak lebih teruk. Ubat "Oxy-nase" itu aku dapati dari klinik di pejabatku sebelum ini.

5) Jangan melawan arus semasa doktor sedang melakukan rawatan. Maksudnya kita mesti lembutkan badan dan bacalah doa/zikir atau selawat semasa doktor merawat. Inshaallah kita tidak akan merasa terlalu sakit semasa doktor memasukkan jarum atau ubat ke dalam hidung atau badan kita. Doktor lebih tahu apa yang baik untuk kita pada ketika itu. 

Syukur Alhamdulillah, ayah ada di sisi saat aku memerlukan bantuan untuk pergi ke hospital. Bila aku fikirkan semula, Allah memang meletakkan kita di apa juga situasi kita dengan segala hikmahnya. Walaupun aku masih "single" di umur 30an, aku masih punya ibu dan ayah untuk mengadu nasib. Aku juga punya kerjaya di syarikat yang mampu membayar bil perubatan aku sebagai staf mereka. Aku tidak kaya tetapi aku ada semuanya yang asas untuk hidup. Maka aku harus berusaha keras untuk membalas jasa ibu dan ayah. Melayan kehendak mereka bila mereka perlukan aku. Mendoakan kesejahteraan mereka sentiasa. Juga berusaha untuk membuat kebaikan kepada semua orang di sekeliling aku, tanpa mengira agama dan bangsa. Inshaallah aku cuba sedaya upaya. 

Jumpa lagi di post berikutnya. Aku doakan kita semua sihat dan dapat beribadah kepadaNya. Amin.

Dedikasi puisi-puisi hasil karya sendiri di Instagram

Salam. Untuk post kali ini aku teruja nak maklumkan:

Aku sudah memadam semua gambar-gambar di Instagram dan menggantikannya dengan gambar-gambar mengandungi puisi-puisi dan kata-kata hikmah. Puisi-puisi itu adalah karya aku sendiri ("Cik Fairuz") manakala kata-kata hikmah yang aku ambil, ada kredit disertakan di dalam setiap gambar.


Kalian boleh "follow" aku di Instagram berikut:




Berikut ini "sample" post-post aku di Instagram. Kalau kalian suka melayan puisi-puisi pendek dan ringkas, bolehlah melawat Instagram aku ya!









Kalau diizinkanNya, aku berniat untuk membuat post-post berkaitan "Accounting", sebab aku suka sebenarnya nak kongsi ilmu. Tapi aku sedang menelaah post-post dari luar negara yang super kreatif dan mudah difahami untuk aku jadikan inspirasi dan idea. Sebab? Aku sendiri bosan bila membaca tentang "Accounting" yang banyak menggunakan terma-terma teknikal.Betul bukan? Doakan usaha aku ini berjaya ya!


KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...