Tuesday, 8 September 2015

Kisah kecemasan di dalam LRT

Lebih kurang pukul 6.40 petang tadi aku keluar dari pejabat untuk pulang ke rumah. Macam biasa, aku menaiki LRT aliran Seri Petaling. Alhamdulillah aku berjaya menaiki LRT yang kurang padat isinya. Aku memilih untuk berdiri di suatu sudut berhampiran pintu LRT, sebab aku berniat nak sambung baca buku "Who Moved My Cheese". Jumaat ini ada sesi "Book Club" yang mana kami akan berdiskusi tentang buku itu.

Sedang aku membaca, aku terdengar bunyi hentaman dari dalam LRT. Rupanya ada seorang perempuan sedang kekejangan dan melanggar pintu LRT, lalu jatuh terlentang. Aku dah takut sebab dia jatuh dekat dengan aku. Ah sudah, meleleh pula air liur bercampur darah dari mulutnya. Lagilah aku takut.

Seorang lelaki India cuba mendapatkan bantuan.

"Ada doktor tak di sini? Tolong tengokkan dia, please".

Aku spontan bertanyakan perkara yang sama kepada penumpang di bahagian berdekatan aku.

Malangnya tiada respon yang kami terima.

Lelaki India itu pantas meluru ke arah perempuan itu dan merasa nadinya. Masih bernyawa. Dua lagi lelaki(seorang Melayu dan India) cuba menenangkan keadaan.

"Kita turun di sini. Jom!" ajak seorang dari mereka.

"Ya, kita bawa dia ke hospital" balas yang lainnya.

Aku yang takut asalnya tak mahu ikut mereka. Tetapi bila pintu LRT terbuka dan mereka sudah menariknya keluar, aku terpandang telefon bimbit perempuan itu di atas lantai. OK, aku kena ikut juga nampaknya. Aku kutip telefon itu dan dengan pantas melompat keluar dari LRT.

Aku tengok perempuan itu masih meliuk lentok dan tak boleh bercakap sepatah pun. Seorang dari kami mengepungnya, takut-takut dia bangun dan berlari ke arah trek LRT. Seorang lagi berusaha keras memanggil kakitangan stesen LRT dan juga menelefon talian kecemasan untuk memohon ambulans dihantar dengan segera.

Seorang perempuan Cina rupanya telah mengutip selipar perempuan itu. Dia menawarkan minyak angin tapi kami menolak dengan baik. Alhamdulillah perempuan itu mula bertenang dan cuba bercakap sepatah dua. Katanya nama dia "Malissa".  Dia betul-betul keliru dan tak tahu apa yang dia cakapkan. Contoh bila kami tanya "Awak duduk mana?" Dia menjawab "Entah. Alah yang ada online tu. Boleh download". Lepas itu dia menggaru-garu kepalanya. Bila kami tanya "Yang nama Mama dalam handphone kamu ni mak kamu ke?" Dia jawab "Ya. Kenapa ya? Kenapa nak cari dia?".

Alhamdulillah kami dapat tahu ambulans sedang dalam perjalanan. Rupanya pihak polis juga datang untuk melihat keadaan sebenar. Mereka lega bila kami beritahu ambulans sedang dalam perjalanan.

Kebetulan juga kawan serumah perempuan itu turun dari LRT selepas kami dan ternampak dia dikerumuni oleh kami. Akhirnya kakitangan stesen mengajak mereka pergi ke sebuah bilik untuk menunggu ambulans. Kawan serumahnya sempat mengadu dengan aku.

"Kak, dia ni degil orangnya. Datang dari Sabah/ Sarawak (baru kenal). Bukan kali ini saja dia sakit macam ni. Dia memang makan ubat. Tapi bila kami tanya dia tak pernah cakap dia sakit apa".

Aku hanya mampu balas "Dik, bukan semua orang boleh cerita masalah mereka. Mungkin dia tak nak menyusahkan kamu semua. Lepas ini kamu tanya betul-betul dengan doktor apa penyakit dia ya".

Akhirnya aku menarik nafas lega dan meneruskan perjalanan pulang menaiki LRT seterusnya. Sempat aku berbincang perihal perempuan itu dengan salah seorang lelaki yang turut membantunya. Semoga dia sembuh dari penyakitnya. Inshaallah.

Aku belajar beberapa benda dari pengalaman ini:
1) Kita orang Malaysia memang prihatin, tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa. Jika kita kekalkan dengan momentum begini, Inshaallah tak ada siapa boleh pecah-belahkan kita.

2) Kalau kita berjaya akses telefon bimbit orang yang cedera itu, cari nama keluarga terdekatnya seperti "Mama" atau "Abah". Bukan yang namanya seperti "My Dear" atau "Baby" yang belum tentu apa hubungannya dengan dia.

3) Cub belajar teknik-teknik mengawal keadaan dan rawatan awal yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa. Contohnya semasa dia jatuh, ada yang mencadangkan dibaringkan terlentang, tapi ada pula yang menyuruh disandarkan pada dinding. Aku pun tak pasti yang mana yang betul.

Selain itu, salah seorang dari kami ada meminta perempuan itu meneka bilangan jari yang ditunjukkan. Mulanya dia tak boleh langsung jawab. Lepas beberapa minit bila ditanya sekali lagi, dia sudah boleh meneka dengan tepat.

4) Cubalah bantu semua orang seadanya. Kita bantu orang hari ini, Inshaallah orang lain bantu kita di kemudian hari.

Alhamdulillah di atas semua pengalaman ini. Aku sudahi ia dengan membelanja kucing-kucing di LRT Bukit Jalil makan "wet food". Benarlah, bahagia itu membahagiakan.

Inshaallah kita jumpa di post yang lain lepas ini ya.

No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...