Hari ini aku berdepan dengan dua kejadian yang membuat aku terfikir: Adakah kemajuan teknologi dan kepantasan bekerja menyebabkan kita hilang nilai budaya dan budi bahasa?
Kejadian pertama di dalam LRT. Di stesen Pudu, sebaik pintu tren dibuka, beberapa orang pekerja warga asing meluru masuk. Mereka tidak tahu ada seorang wanita Malaysia hendak keluar. Aku pun tak tahu sebenarnya, walaupun wanita itu di sebelah aku. Tiba-tiba wanita itu bersuara kuat separa menjerit:
"Ke tepi sikit boleh tak? Aku nak keluar ni!"
Pekerja warga asing itu terkulat-kulat memberikan laluan. Aku terfikir adakah kerana mereka warga asing, maka halal kita bertempik di telinga mereka? Di manakah "Tumpang lalu?" atau "Excuse me?". Atau aku saja yang terlebih fikir? Entahlah.
Kejadian kedua berlaku di pejabat aku. Bermula hari ini, sebuah pengeluar kuih bulan ternama membuat promosi kuih bulan mereka. Kami sebagai staf sudah tahu segala senarai kuih-kuih bulan yang dijual dan diberikan diskaun sehingga 30% melalui iklan di portal kami. Suatu yang pasti: Kuih bulan dengan inti durian 'Musang King' memang tiada diskaun. Dan aku rasa kalian pun boleh faham kenapa, iaitu durian tersebut mahal harganya.
Sedang aku menunggu kawanku memilih kuih kegemarannya, tiba-tiba kedengaran seorang wanita di sebelahku bersuara kuat:
"Apa? Musang king tak ada diskaun? Kenapa? Mulalah aku nak marah ni! Check semula please."
Pekerja yang melayannya hanya mampu menggeleng kepala, tanda mengiyakan memang tiada diskaun untuk kuih bulan jenis itu.
Pertama: Iklan di portal sudah memaklumkan segala butir diskaun yang ada. Ianya sudah di'fix'kan dari awal.
Kedua: Fahami strategi bisnes peniaga juga, bukan hanya selera kita. Fikir jika kita di tempat peniaga itu. Dibandingkan dengan tahun lepas, tahun ini promosi kurang hebat, mungkin kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Ketiga: Jaga reputasi kita dan syarikat. Budi bahasa itu penting. Tak bermakna kita ada duit kita boleh bercakap dan buat apa saja.
Aku masih ingat suatu kisah di zaman universiti. Pensyarah kami kecewa dengan sikap sebahagian pelajar yang meniru di dalam ujian. Kata-kata beliau aku simpan sampai sekarang:
"Ada jutaan malah bilion orang bijak pandai di dunia ini. Yang membezakan mereka hanyalah nilai-nilai seperti budi bahasa dan sifat amanah".
Jumpa lagi di posting seterusnya Inshaallah.
No comments:
Post a Comment