Saturday 11 July 2015

Dedikasi buat sahabat "All Single Ladies"

Malam ini saya ingin berkongsi akan pentingnya kita memiliki sahabat yang setia di sisi saat susah dan senang. Walaupun mereka tak akan pernah setanding dengan keluarga, kehadiran mereka buat kita rasa lengkap dan sentiasa dihargai.


Pernahkah anda terfikir bahawa insan-insan yang muncul menjadi sahabat kita itu telah ditakdirkan oleh Allah untuk mengenali kita dan menjadi sebahagian dari rutin hidup kita? Itu adalah apa yang saya fikirkan, kerana mereka yang saya gelarkan sebagai sahabat kini adalah asalnya bukan begitu rapat dengan saya. Kami kawan satu fakulti di universiti yang sama. Selepas habis belajar, kami membawa haluan sendiri. Selepas beberapa tahun, kami sama-sama masih bujang dan selalu cuba memenuhi jemputan walimatul urus sahabat yang lain (walaupun hati ada rasa sentap dan malas sebab masih belum berpunya). Hinggalah kami berjumpa semuanya serentak di meja yang sama di majlis seorang sahabat lain di Taman Melati. Selepas itu kami bagaikan tak boleh terpisah lagi.


Bermula dari situ kami mula mengatur perjumpaan-perjumpaan seterusnya. Aktiviti pertama kami adalah trip ke Port Dickson sambil BBQ. Kemudian ke Bukit Fraser. Seterusnya ke Miri dan Brunei. Selanjutnya ke Siem Reap, Cambodia. Tahun 2015 hingga ke tarikh ini saja, sudah kami lakukan trip ke Langkawi, Pulau Pinang, Kuala Selangor dan Melaka. Itu belum ditambah segala perbualan di dalam Whatsapp Group yang bersifat harian, dengan seribu macam topik. Tapi kebiasaannya topik kami adalah fesyen, artis (Wak Doyok, Che Ta, Ungku Ismail), adik-adik masing-masing yang sudah kahwin sedang kami belum pun ada calon, motivasi kerja, luahan perasaan dan sesi soal jawab.


Tipulah kalau dalam bersahabat semuanya indah. Adakala konflik melanda. Sentap sana, sentap sini. Rajuk sana, rajuk sini. Perlukan sedikit masa untuk memulihkan rasa hati. Selepas itu kami kembali bertanya khabar dan mulakan rutin perbualan kami, macam biasa. Kalau dikenangkan, ada di antara kami yang memang susah sangat hendak mencari calon yang sesuai untuk dibuat suami. Ada saja keluhan tentang insan-insan yang pernah muncul di hati. Kadang diiringi tangisan dan kata membenci diri sendiri. Saat itu sahabat-sahabat saling memberi kata semangat. Walau diri kami sendiri masih berteka-teki akan nasib jodoh sendiri. Sudahnya sesi sedih pada awalnya bertukar jadi sesi bergelak tawa dan membuat lawak pula. Itulah sahabat. Masa senang dikongsi bersama. Masa susah dibantu seadanya.


Buat sahabatku, terima kasih yang tak terhingga kerana sentiasa ada. Kalian adalah anugerah Allah yang sangat bernilai. Kalian baik, pemurah, anak yang baik dan taat kepada ibu bapa dan sanggup berkorban untuk masa depan yang lebih bermakna. Allah masih belum membuka mata hati mana-mana jejaka untuk melihat betapa berharganya diri kalian. Semoga kita lebih menghargai saat-saat kita bersama, keluarga yang setia di sisi kita dan saat-saat indahnya menjadi gadis. Belum perlu memikirkan izin suami untuk keluar melancong. Belum perlu memikirkan untuk memberi susu kepada anak. Belum perlu memikirkan soal rumahtangga. Semoga Allah memudahkan urusan kita. Amin.

Saya abadikan gambar-gambar kami di bawah ini:

Bertemu kembali selepas habis belajar dan terus bersama


Kami berenam-susah nak dapat peluang begini


Rutin bersama-Walimatulurus sahabat-sahabat lain
Nota: Seorang daripada kami telah pun berkahwin pada tahun 2014 yang lepas. Tapi dia masih berada dalam Whatsapp group kami, sebab dia telah bersama kami dari awal kami bertemu, iaitu semasa dia masih bujang lagi. Buatnya, saya doakan semoga rumahtangganya sentiasa dilimpahi rasa cinta dan sayang kerana Allah. Inshaallah.

Sahabat itu seseorang yang tidak pernah mengecewakan anda. Seorang yang bertepuk tangan paling keras dan tak pernah mentertawakan mimpi-mimpi anda. Seseorang yang mengerti anda, kadang lebih dari anda sendiri. Seseorang yang bisa menyimpan rahsia dan selalu ada di saat-saat tersulit-Anonymous


KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...