Sunday, 30 August 2015

Kisah kasih dengan anak-anak syurga

Pengumuman: Ini merupakan post "throwback". Sebab peristiwa ini berlaku pada Sabtu yang lepas (22 Ogos 2015). Tetapi aku tetap mahu menulis tentangnya. Kerana insan-insan yang akan aku coretkan tentang mereka ini adalah terlalu istimewa. Baca dan kalian akan tahu kenapa.


Bermula Januari 2014 aku telah nekad untuk mendekatkan diri dengan aktiviti kesukarelawanan. Seorang diri saja. Ada beberapa lokasi maka aku pilih di Bangi, yang aku kira paling dekat dengan rumahku di Seri Petaling. Lokasi itu adalah Maahad Tahfiz Darul Fuqaha (aku gelarkan sebagai Fuqaha sahaja dalam post ini), Bangi. Kebanyakan murid di sana adalah anak yatim, yang kami gelarkan sebagai anak-anak. Kesemua pelajarnya adalah lelaki. Aktiviti ini dijalankan di bawah kelolaan sebuah NGO iaitu Teach For The Needs (TFTN). Bermula saat itu aku tidak menoleh ke belakang lagi. Apa pun jadi aku akan cuba luangkan masa beraktiviti di sana bersama beberapa orang lagi sukarelawan. 

Tahun 2014 menyaksikan aku berniat untuk fokus kepada anak-anak sekolah menengah. Namun kita hanya merancang, Allah jua menentukan. Aktviti kami terhenti sekejap tanpa sebarang komunikasi. Disebabkan aku hanya bertaraf sukarelawan, aku tiada idea kenapa aktiviti kami terkandas. Tapi bermula Jan 2015, TFTN Restart dilancarkan dan aktviti kami bermula semula. Akulah antara insan yang paling gembira sebab aku memang sangat-sangat rindukan anak-anak di Fuqaha. Dalam diam aku selalu teringatkan mereka dan mendoakan semoga mereka dilindungi olehNya dan beroleh kejayaan.

Tahun ini aku banyak melayan anak-anak sekolah rendah. Anak-anak sekolah rendah lasaknya Ya Allah. Tambahan pula semuanya lelaki. Perlukan kesabaran dan sedikit elemen nakal umtuk menangani kerenah mereka. Belum pernah aku sampai ke tahap "google" tips mengajar budak lelaki yang aktif macam mereka. Tapi itulah yang aku buat dan Alhamdulillah sedikit sebanyak aku berjaya menjadi kawan kepada mereka. Terharu bila mereka cam muka aku dan ingat nama aku. Aku bukanlah cikgu pun. Aku bermula "zero" dan pastilah suatu kepuasan buat aku bila berjaya mencipta "bonding" dengan anak-anak ini. 

Kadang-kadang kita berniat untuk mengajar mereka ilmu. Akhirnya kita sedar bahawa merekalah yang sebenarnya mengajar kita tentang kehidupan. Mereka anak yatim tapi mereka tetap tabah menjalani kehidupan. Mereka macam kita juga, punya rasa dan naluri. Secara luaran kita mungkin rasa mereka mahukan duit untuk menampung persekolahan, atau buku-buku untuk mereka baca. Tapi sebenarnya mereka mahukan kita berada di sisi mereka. Kita menjadi ikutan mereka. Menjadi tempat mereka bercerita, mengajarkan mereka membaca dan mengira, membelai mereka apa adanya. Tanpa ibu ayah, mereka seakan hilang punca. Tiada idola di depan mata. Maka kitalah yang sewajarnya menjadi idola mereka. Menunjukkan kepada mereka bahawa hidup ini walaupun tak mudah, tidaklah sehingga harus dihujani dengan air mata dan keluh kesah sentiasa.

Buat anak-anak yang aku kasihi, Allah tahu. Di sebalik senyuman mungkin tersembunyi kesedihan. Sementara aku masih ada hayat, Inshaallah aku cuba sebaik mungkin menjadi petunjuk jalan. Kita akan sama-sama bermain buat ayat, menyanyi lagu, makan coklat, baca sifir, bercerita tentang hantu, melayan rajuk kawan-kawan yang sensitif, segalanya yang perlu di dalam dunia kanak-kanak seperti kamu. Sebab kamu adalah anugerahNya yang istimewa. Teruskan tersenyum. Kerana dengan senyuman kamu, aku berjaya lari dari segala lelah kehidupan di dalam duniaku sendiri.

Aku sertakan sedikit gambar bersama mereka pada Sabtu lepas:

Menggalakkan kamu membuat ayat dalam bahasa Inggeris

Bersama kamu senyum kepuasan selepas tamatnya aktiviti

Syukur kepada Allah kerana membenarkan aku masuk ke dalam dunia kamu. Sungguh perancangan Allah itu setiap darinya adalah keajaiban. 

No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...