Aku ini tak rupawan langsung. Dari kecil aku dah mangli dengan gelaran kicap Tamin, Fair and Lovely, jongang dan anoreksia. Bila dewasa aku masih tak rupawan, tapi kurang sikit jongang dan tidak lagi layak digelar anoreksia sebab aku sudah jadi plus size haha.
Menginjak ke umur 32 tahun akhir bulan ini, aku tiba-tiba ingin berkongsi pengalaman tentang cinta dan kenapa akhirnya cinta kepada Allah jua yang kekal abadi.
Masa sekolah aku bersih. Tak pernah terfikir nak bercinta. Masuk universiti tahun ketiga ada senior datang mendekati. Terkejut juga sebab kalian sedia maklumlah bahawa aku ini bab rupa dan tingkahlaku memang out haha. Berkenalan sekejap, aku buat keputusan tak mahu teruskan. Aku anak sulung, punya tanggungjawab besar. Tapi kami tetap berhubung. Ada unsur tarik tali dan akhirnya si dia kahwin dengan orang lain. Aku menjeruk rasa selama 5 tahun.
Tak lama selepas itu, ayah aku mahu mengenalkan aku dengan anak kepada kawannya. Seorang jurutera. Wah, hebat profail si dia. Lepas bertukar-tukar gambar, tak ada progress. Rupanya kawan ayah aku buat U-turn, konon nanti hubungan aku dan anak dia akan 'panas'.
Melepas seorang jurutera. Hehe.
Kawan aku pula memperkenalkan kawannya kepada aku. Cikgu Bahasa Inggeris. Tinggi dan besar orangnya sebab si dia merupakan pemain ragbi. First date kami dalam gelap, aku terkial-kial main boling di Mid Valley. Serius pelik. Aku pula betul-betul 'kopak' masa itu, jadi nampak seakan-akan aku 'mengepau' duit si dia. Lepas dari itu khabar berita yang aku dapat hanyalah berkaitan jualan Al-Quran terjemahan oleh dia. Dah agak dah. No progress. Haha.
Pada tahun 2012 aku mula bekerja di Mybank. Hari pertama masuk bekerja, mataku sudah tertancap kepada seseorang. Dipendekkan cerita, aku meluahkan rasa kepadanya dan menunggu balasan selama hampir 4 tahun. Tahun lepas (2015) dia akhirnya membalas, dengan berkahwin dengan perempuan lain yang cantik dan putih, tak hitam dan tembam macam aku. Sekarang aku buat tak nampak saja si dia di pejabat. Dah tak teruna! Haha.
Dalam tahun 2014, dalam usaha menghilangkan rasa kepada si Mybanker di atas, tiba-tiba terkeluar cadangan mengenalkan aku kepada anak seorang lagi kawan ayah aku. Guru sekolah rendah agama, bekas pelajar pondok di Indonesia. Siap ada resume berserta dengan gaji dan gambar. Pendiam yang amat. Berlawanan dengan aku yang cepat juga bertegur sapa dengan orang.
Kenangkan keluarganya berlatarbelakangkan bidang kewangan dan alim belaka, aku buat keputusan untuk terima. Walaupun gaji si dia 3 kali ganda rendah dari aku dan si dia pendiam macam tiada mulut huhu. Kali ini aku dan mak berbincang hingga ke tahap meletakkan kadar hantaran. Alih-alih, tuan punya badan menarik diri dengan alasan tak bersedia.
Malas cakap lebih-lebih, telefon pintar yang aku guna sekarang adalah hasil melepaskan segala kekeliruan dari perbuatan si dia yang kebudak-budakan walaupun umur sudah 30an. Aku dan Aini ke Digital Mall mencari telefon tersebut. Hehe.
Sudah habiskah kisah-kisah aku itu? Belum. Sekitar November tahun lepas aku berkenalan secara kebetulan dengan si dia, seorang cat lover. Jauh lebih muda dari aku 7 tahun. Berpersonaliti unik dan agak wild, aku teruja nak berkenalan dengannya. Alamak, terlebih kenal pula. Sudah jatuh cinta. Tapi entah di mana silapnya kami, akhirnya terputus jua. Malas aku nak jelaskan kesan pasca putusnya hubungan itu sebab perit sangat. Bayangkan cat lover dan anak yatim piatu, kriteria yang memang aku idamkan dari dulu tapi terlepas begitu sahaja. Sabar sahajalah.
Nampak tak ironinya diri aku dan kisah-kisah aku di atas? Aku yang tak rupawan dan kasar macam jantan ini diuji dengan macam-macam ragam manusia bergelar lelaki. Aku berusaha tak? Rasanya berusaha. Tapi semuanya terletak di tangan Allah S.W.T juga akhirnya. Aku tak tulis pun kisah sebenar tentang emosi aku menghadapi setiap insiden. Hanya Allah dan insan yang rapat saja tahu.
Cintalah pada manusia sekuat mana pun. Tetap yang kekal abadi hanyalah cinta kepada Allah. Bila kecewa kita cari Allah. Hanya Allah yang sudi mendengar luahan hati kita. Manusia belum tentu.
Subhanallah Walhamdulillah WalaIlahaillallah Allahuakbar.
Cinta Allah sajalah yang sejati dan kekal abadi. Allahu.