Siang tadi aku menemankan mak melawat jiran lama kami di hospital. Aku difahamkan jiran kami itu kini tidak boleh berjalan, akibat obesiti dan penyakit-penyakit yang datang bersama obesiti itu. Bertahun sudah kami tidak berjumpa, sungguh hari ini aku melihat besarnya hikmah dalam setiap kejadian.
1) Tiada siapa boleh tentukan hari esok
Dari tiga orang anak jiran itu, anak kedua dahulunya paling pandai dan menyerlah. Sekarang anak kedua itu tidak bekerja, namun hikmahnya beliaulah yang menjaga ibunya sepenuh masa di hospital. Anak ketiga kini menjadi tunggak keluarga kerana ayah mereka juga sakit yang memerlukan rawatan berterusan. Alhamdulillah anak itu kini pengurus di syarikatnya dan masih mampu membantu keluarga.
2) Jaga kesihatan hari ini untuk masa depan
Tubuh kita ini adalah amanah Allah. Memang seronok makan apa saja di usia muda, kerana badan kita masih kuat. Bila usia meningkat, kesan dari tabiat kita semasa muda mula dirasai.
Obesiti bukan benda kecil. Ia datang dengan segala macam penyakit. Tanyalah mana-mana doktor pun, jawapannya tetap sama. Marilah kita berusaha untuk menjaga pemakanan dan bersenam secara rutin dari sekarang. Selebihnya biarlah Allah yang menentukan nasib kita di masa hadapan. Kita cuba kawal apa yang kita ada dahulu. Inshaallah kita boleh.
3) Bantuan pasti ada, carilah ia
Dalam menampung kos perubatan dan sara hidup, kita pasti lelah terutama jika ketua keluarga sakit dan tidak bekerja. Usahakan mencari saluran-saluran untuk mendapatkan bantuan seperti zakat, elaun kebajikan dan sebagainya. Jangan putus asa. Inshaallah dimudahkan olehNya. Syaratnya jujur dan bersabar sedikit.
4) Sediakan payung sebelum hujan
Semasa muda eloklah jika kita telah membeli sebuah rumah untuk berteduh di usia emas. Jika mampu lagi, ambillah insuran untuk seluruh keluarga buat perlindungan. Kita takkan tahu apa yang bakal berlaku, tapi kita boleh usaha untuk mengurangkan beban di hari tua. Selebihnya Allah lebih tahu.
5) Sentiasa ingat pada Allah
Susah senang jangan sesekali lupakan Allah. Inshaallah urusab hidup kita mudah walaupun banyak cabaran.
No comments:
Post a Comment