Friday, 18 March 2016

Refleksi dari majlis pernikahan

Pagi ini aku ke majlis pernikahan sepupu lelaki di Kepong. Walaupun sepupuku baru saja kehilangan ayahnya(Pak Teh), syukur segalanya berjalan dengan lancar. Aku kira hanya keluarga mereka yang betul-betul merasai kesan kehilangan tunggak utama keluarga mereka. Kami sebagai saudara-mara hanya mampu menyokong dari segi moral dan masa. Hari ini hari mereka. Esok lusa mungkin hari kami pula.

Majlis nikah berlangsung sekitar pukul 10.30 pagi. Jurunikah menerangkan bahawa bagi negeri Selangor, sudah tiada lagi konsep wang hantaran. Yang tinggal cuma mas kahwin yang mesti bernilai minimum RM300. Konsep ini sama seperti yang digunapakai di negeri Kelantan. Jika keluarga pengantin lelaki sudah bersetuju mahu memberikan RM10,000 sebagai mas kahwin, samada wang itu semuanya menjadi milik isteri atau digunakan oleh keluarga untuk menanggung kos majlis tidak memberi kesan apa-apa. Tetap akan diumumkan mas kahwinnya RM10,000.

Selain daripada itu aku kira biasalah, soalan tentang rukun nikah, lafaz Taklik dan peringatan tentang hukum Zihar. Selesai saja sesi akad nikah, sepupuku membuat solat sunat.

Kalau dahulu aku ada juga sedih terkenangkan nasib diri yang belum juga bernikah. Kali ini aku rasa biasa saja. Lagipun dah banyak kali aku tengok sesi akad nikah orang. Dah lali haha. Nak tahu apa yang aku rasa sebenarnya semalam?

Perkahwinan bukan hanya sebab mahu menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan. Perkahwinan menaikkan taraf kedua-dua lelaki dan perempuan ke tahap yang lebih tinggi, berbanding mereka yang berzina dan tiada matlamat jangka panjang.

Walaupun secara jujur aku sudah tak berapa fikir tentang anak jika ditakdirkan berkahwin(umur sudah tak berapa muda), pasangan yang berkahwin kebiasaannya pasti akan mahukan anak. Rasanya itu adalah fitrah. Orang kata lambang cinta. Hmm. Aku tak faham, maklumlah tak pernah berkahwin. Haha. Untuk mendapatkan anak yang baik, nak tak nak ibu bapa harus baik. Bukanlah harus jadi seperti ustaz dan ustazah. Sekurang-kurangnya harus menjaga solat dan tahu asas halal haram.

Selain itu, aku sudah nekad. Jika ada jodoh aku nanti, jika ada rezeki cukuplah aku dapat adakan sesi nikah, bunga api buluh(orang Melaka mesti tahu. Serius aku sangat impikan momen ini) dan kompang gendang sambil selawat(ini tak ada pun tak apa tapi aku suka jika ada). Pelamin format photo booth dah cukup baik. Mekap dan baju untuk nikah dan sanding saja. Pakej fotografi paling asas, tiada outdoor pun aku tak kisah(aku dah rancang mahu ambil dengan Abu, kawan sekolah aku).

Hantaran cukup dengan makanan, telekung dan pakaian yang akan dipakai kelak. Beg tangan, kasut tak perlu. Aku pakai beg sekolah saja setiap hari. Hehe. Mas kahwin? Secukup rasa. Nak bagi lebih pun aku syukur saja. Jemputan? Jika ada rezeki, aku mahu menjemput anak-anak Darul Fuqaha. Tak mengapalah jika tak berjodoh dengan si yatim piatu itu. Dia tetap berjasa sebab secara tak langsung telah mengilhamkan yang aku harus berkongsi rezeki dengan insan-insan yang senasib dengannya. Wallahua'lam.

Yang penting bukan majlisnya tetapi hal ehwal selepas majlis. What lies ahead is far more important. Majlis sebenarnya sekadar untuk memaklumkan, berkongsi rezeki dan memohon doa dari orang ramai.

Semoga setiap pasangan yang bernikah sedar tanggungjawab sebenar mereka. Semoga yang belum bernikah akhirnya bernikah jua. Semoga yang tidak mungkin bernikah dikurniakan kebahagiaan lain pula. Amin.

No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...