Semalam ayah meminta aku membayar segala bil-bilnya secara online. Telah lama aku mencadangkan supaya bil-bil bulanan ayah dibayar secara online, tapi ayah lebih suka membayar secara fizikal di pejabat pos. Apabila ayah sendiri yang meminta aku membuat pembayaran online, hatiku berdetik "Ayah sudah penatkah? Terukkah demam ayah baru-baru ini, hingga ayah tidak lagi larat ke pejabat pos?"
Minggu ini aku bermalam di rumah keluarga. Aku kurang tenang kerana seseorang, maka aku mahu mendapatkan ketenangan dengan melihat ayah dan mak setiap hari. Tahun ini menyaksikan aku beria-ia cuba membuka hati dengan cinta baru. Akhirnya aku terjelepuk di dinding seorang diri, menyedari suatu hakikat yang paling penting: Tiada seorang lelaki pun bisa menyayangi aku seperti ayah di dunia ini.
Ayah membelikan aku jajan ketika kecil. Ayah mendukung aku di bahu bila aku berebut dengan adik mahu didukung. Ayah mengikat rambut aku lebih lembut dari mak aku. Ayah sentiasa menyediakan duit untuk aku membayar yuran sekolah, tanpa aku ketahui lelahnya ayah mencari rezeki.
Ayah sentiasa mengajar aku yang ilmu lebih penting dari pakaian cantik. Ayah mengingatkan aku dalam hidup ini budi bahasalah yang paling penting. Ayah menunjukkan pada aku bahawa kita harus kasihkan haiwan, makhluk Allah selain manusia.
Hingga kini suatu perkara masih tak berubah: Aku anak ayah. Muka aku fotostat ayah. Dalam diri aku seakan ada ayah. Ayahlah satu-satunya lelaki yang menerima aku tanpa curiga. Ayahlah yang tak pernah berjanji seluas dunia lalu pergi menjauh. Ayahlah yang kurang berkata-kata tapi murni hatinya jauh menusuk jiwa.
Ayah, saya sayang ayah. Saya cinta ayah. Ayahlah cinta pertama dan terakhir saya. Syukur ke hadrat Allah yang menganugerahkan insan yang mulia seperti ayah di sisi.
Semoga aku mampu berbakti untuk kedua-dua orang tuaku hingga akhir nafas. Amin.
No comments:
Post a Comment