Dalam sebuah hubungan yang tidak berjaya, adalah penting untuk tetap memiliki nilai kemanusiaan. Bayangkan diri kita di tempatnya. Bagaimanakah kita mahu dilayan? Wajar bagi kita berusaha untuk mengurangkan impak negatif dari keputusan kita.
Bagaimana jika kita tidak peduli? Angkuh meninggalkan si dia tanpa sebarang makluman. Fikir kita, pedulikan saja nasibnya. Suatu hari nanti dia akan faham dan teruskan kehidupan. Diri kita lebih penting.
Kasihan. Akibat sikap mementingkan diri kita, orang yang menyayangi kita sepenuh hati kini terkapai-kapai mencari jawapan. Hidup bertemankan air mata. Keliru setiap masa. Ambil masa yang lama untuk mendapatkan kekuatan. Bergelut dengan 1,001 rasa. Merelakan, namun masih wujud kekesalan. Memaafkan, namun masih ada kemarahan. Berharap agar masa cepat berlalu. Kerana hanya masa mampu mengubah segalanya.
Belajarlah untuk berkomunikasi secara berkesan. Terus terang jika tidak mahu meneruskan. Semasa belum mendapatkan, segala usaha dilakukan. Bila mahu ditinggalkan, sepatah haram pun tiada dimaklumkan. Ingatlah, kita tidak tahu bagaimana si dia mendoakan kita. Doa yang baik atau sebaliknya. Yang pasti, ada bonus dari Allah bagi doa orang yang teraniaya.
Semoga kita tidak menganiaya orang lain. Lebih penting lagi, kita tidak menganiaya diri kita sendiri, dan keturunan kita di masa hadapan. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment