Thursday, 8 October 2015

Coretan picisan untuk diri dan insan yang diuji

Orang cakap kita kena post perkara positif saja di blog. Post yang positif akan membuatkan pembaca ceria, bersemangat dan ingin kembali ke blog kita. Di post-post sebelum ini aku telah cuba memberikan sisi positif aku seadanya. Untuk post ini (harapnya ini satu-satunya) aku memilih untuk mencoretkan sedikit bahagian hidup aku yang tak berapa gembira. Nanti kita lihat samada aku berjaya mencungkil sisi positif dari kisah aku ini.

Aku antara golongan gadis bujang yang dah menjangkau umur 30an. Sebahagian masyarakat melihat kami sebagai spesis yang 'picky' dan banyak sangat kriteria dalam pencarian jodoh. Aku tak pasti tentang orang lain, tapi aku memang tak setuju dengan pandangan mereka. Kenapa? Mari aku ceritakan.

Aku masuk bekerja di Mybank pada pertengahan tahun 2012. Selain keterujaan untuk memulakan kerjaya di tempat baru, hari pertama aku dimulakan dengan pandangan mataku terlihat sebuah susuk tubuh yang mengubah hidup aku, hinggalah ke saat ini. Ia adalah susuk tubuh seorang jejaka kurus, tinggi, berjambang halus dan berkulit cerah. Jejaka itu aku sentiasa lihat samada di dalam lif atau di surau. Riak wajahnya tenang. Terlalu tenang. Hinggakan aku membuat keputusan untuk mendekatinya. 

Ogos 2012, aku memberinya hadiah sebuah buku. Bagi aku, buku adalah suatu yang terlalu istimewa. Tak ada benda yang lebih bernilai dari buku untuk aku. Jadi kalian boleh agak betapa istimewanya jejaka ini di mata aku. Lepas itu wujudlah senyuman dan sedikit perbualan antara kami.

Ogos 2013, setahun berlalu, aku mula merasakan sudah tiba masanya untuk meluahkan perasaan. Ustaz Azhar Idrus cakap tak salah perempuan memulakan langkah terlebih dahulu, asalkan niatnya baik untuk berkahwin. Aku memilih untuk meluahkan rasa melalui emel. Malangnya sang jejaka tidak membalas, malah seakan menjauhkan diri. Senyuman dan teguran yang pernah ada sebelum ini bertukar menjadi sepi.

Oktober 2014, aku nekad mencuba lagi. Sebab aku lihat sang jejaka mula tersenyum kembali. Tapi rupanya senyumannya hanyalah senyuman. Mata kerap bertentang tetapi tanpa sebarang bicara. Kalau terjumpa, sang jejaka tak kekok mendekati tapi bicaranya mati. Hanya senyuman menjadi medium komunikasi.

Oktober 2015, aku akhirnya menerima berita bahawa sang jejaka telah menjadi pengantin baru. Sahabat handainya mendoakan kebahagiaannya di laman FB. Dan aku yang menanti hanya mampu menangisi nasib diri di surau pejabat kami. Menangis sambil bertanyakan ribuan soalan. Kenapa aku mesti mengenali dan mencintai, sedang akhirnya aku yang kecewa sendiri? Mengapa aku terlalu rendah di sisinya hingga tak ada langsung balasan? Mengapa orang lain mudah melepaskan sedang aku lelah mencuba? Bukan aku tak pernah cuba melupakan sebelum ini. Malah aku pernah nekad untuk berkahwin dengan pilihan keluarga. Itupun tidak menjadi akibat calonnya menarik diri di saat akhir dengan alasan tidak bersedia.

Aku perlukan masa untuk melepaskan. Seperti lagu Indonesia "Sakitnya tuh di sini", memang ada rasa sakit yang teramat di dalam hati aku. Sakit hati dengan sikap sang jejaka yang tegar tak membalas walau dengan penolakan. Sakit hati kenapa aku tegar mencintai. Sakit hati kenapa dia yang aku lihat soleh dan pemalu boleh memberikan impak 'knock-out' kepada diri aku. Adakah kerana aku tak cukup solehah dan indah di matanya? Mungkin. Aku memang tak baik mana. Tapi...entahlah. 4 tahun yang sungguh tidak produktif buat aku. Hingga kini aku masih mencari hikmah di sebalik semua ini. Orang kata setiap insan yang hadir dalam hidup kita pasti ada sebab atau pengajarannya. Entahlah. 

Kalian yang masih memilih untuk menilai kami sebagai cerewet:

Bersyukur dahulu kalian sudah bertemu insan yang mencintai kalian sepenuh hati. Sesudah itu jangan menilai kami seolah-olah kami yang memilih jalan hidup begini. Hanya kerana kalian bahagia berdua, tak semestinya kami bahagia juga jika berdua. Tak dinafikan, agak sukar untuk kami cuba mencari bahagia dengan cara lain, sebab naluri manusia memang mahu berdua dan punya zuriat. Kalian punya jalan yang lurus. Kami punya jalan yang bengkang-bengkok. Tapi destinasi akhir kita tetap sama: kematian. 

Kalian yang masih belum berzuriat meski telah berkahwin:

Aku doakan kalian tabah menghadapi dugaan ini. Kalaulah ada tingkat kebahagiaan dan berpasangan itu dilihat lebih bahagia dari membujang, sungguh kalian sangat bertuah berbanding kami yang masih bujang. Kalian ada tempat untuk mengadu 24 jam. Yang perempuan ada suami sebagai pelindung. Kami si bujang perempuan, suka tak suka, hendak tak hendak ,terpaksa berdikari dan menjadi kuat seperti juga lelaki. 

Kalian mungkin akan cakap untung menjadi bujang kerana boleh bergerak bebas, tanpa meminta izin suami. Ketahuilah dalam banyak masa kami bergerak bebas itu, kami tetap perempuan yang perlu menjaga maruah diri dan keselamatan. Kami meminta izin juga, biasanya dari ibu dan ayah. Jadi kita sebenarnya sama saja sebagai perempuan. 

Apapun kita semuanya ada teman mengadu 24 jam yang sama, iaitu Allah. Aku cuba untuk 'reconnect' semula hubungan aku dengan Allah. Aku pasti kalian jauh lebih faham dan lebih baik dari aku. Sama-samalah kita berdoa untuk diberikan kekuatan buat berhadapan dengan segala ujian dari Allah. Kalau kita rasa masalah kita besar, kita jenguk-jenguklah kehidupan orang miskin, orang pelarian seperti Rohingya dan Syria dan orang yang sakit kronik. Pasti kita akan rasa masalah kita itu kecil saja berbanding mereka dan kita akan lebih bersyukur. 

Lagu "Pergi" oleh Aizat Amdan terngiang-ngiang dalam minda aku. Meleleh habis beb! Aku anggap semuanya telah ditentukan. Kawan aku menasihatkan aku begini: 

Bila adanya kesedihan dan kehilangan, pasti ada berita baik menanti. Tenang saja. Menangislah bila rasa perlu. Sementara itu bersabar menanti berita baik itu. 

Wallahua'lam. Jumpa lagi di post seterusnya Inshaallah. 

No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...