Thursday, 29 October 2015

Tips beli rumah 'second hand/subsale'-SELEPAS


APA NAK BUAT SELEPAS MEMBELI RUMAH?

BUATLAH 3 PERKARA INI:


1) Bayar ansuran bulanan kepada bank

Untuk rumah 'second hand/subsale', bayaran ansuran bulanan akan bermula selepas kita mendapat kunci dari tuan rumah. Bermula dari bayaran pertama dan seterusnya, sila pastikan kalian menyimpan setiap bukti pembayaran dan penyata pembiayaan. Kalau bayaran ansuran dibuat melalui penolakan gaji, sila simpan salinan penyata gaji setiap bulan sebagai rujukan. Kalau kalian nampak ada yang tak kena, cepat-cepat hubungi atau pergi ke bank untuk mendapatkan penjelasan. 

Pengalaman aku membayar ansuran bulan pertama (secara penolakan gaji) memang memeritkan. Bank menolak lebih dari yang sepatutnya sebanyak RM600+. Bila aku tanyakan kepada pegawai bank, jawapannya mudah: mereka menerima arahan untuk 'full disbursement' selepas 10 haribulan. Mengikut polisi bank, semua pembiayaan yang 'full disbursement' selepas 10 haribulan akan mula ditolak ansuran pertama pada bulan berikutnya. Di antara tarikh 'full disbursement' dan ansuran pertama itu, bank telah mengenakan caj keuntungan sebanyak RM600+ kepada aku. 

Kecewa betul bila nasib kita ditentukan oleh polisi yang memihak kepada bank semata-mata. Manalah aku boleh tentukan bilakah tarikh 'full disbursement' akan dibuat, bukan? RM600+ itu besar nilainya. Tapi rezeki Allah itu luas. Kebetulan pada bulan itu juga aku mendapat 'claim' yuran keahlian MIA aku sebanyak RM850. Alhamdulillah. Tapi aku tetap akan ingat permainan bank dengan aku sampai bila-bila. Sebab itu aku nasihatkan kalian agar sentiasa peka dengan setiap bayaran dan caj yang dikenakan. Jangan ambil mudah!

2) 'Renovate' atau 'repair'?


Kalian boleh memilih samada mahu membuat 'renovation' atau sekadar 'repair' apa-apa yang patut. Ini bergantung kepada bajet dan juga keperluan kalian. Kalau kalian mahu tinggal di rumah itu, seeloknya rumah itu di'renovate' sebelum diduduki. Kalau kalian berniat mahu menyewakan saja rumah tersebut, maka 'repair' saja bahagian-bahagian yang sudah uzur. Tak perlulah kita 'renovate' beria-ia tapi sudahnya rumah tidak dijaga dengan baik oleh penyewa.

3) Menukar nama pemilik untuk semua bil berkaitan

Kalian perlu menukar nama pemilik untuk bil air, elektrik, pembetungan dan cukai taksiran. Untuk cukai tanah, penukaran nama dah dibuat semasa proses membeli rumah sebelumnya. Setakat hari ini, proses aku menukar nama adalah seperti berikut:

1. Bil air-Syabas

Aku pergi ke Syabas cawangan Petaling Jaya. Aku diminta menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Bekalan Air, yang memerlukan seorang saksi. Aku minta bantuan mak untuk menjadi saksi aku. Mak pun kena tandatangan perjanjian tersebut.

Butir-butir bayaran yang aku bayar:

Deposit = RM100

Duti setem = RM20

Caj proses duti setem + GST = RM2.20

Jumlah = RM122.20

Boleh rujuk laman web Syabas yang berikut untuk proses dan dokumen yang diperlukan:
http://www.syabas.com.my/consumer/new-application-and-registration-domestic#1


2. Bil elektrik - TNB

Aku pergi ke Kedai Tenaga di Subang Jaya, sebab staf di Kedai Tenaga UTC Pudu maklumkan kepada aku bahawa rumah di Puchong diuruskan oleh TNB Subang Jaya, bukan TNB Kuala Lumpur. Aku ikut sajalah, nak buat macam mana.

Butir-butir bayaran yang aku bayar:

Deposit = RM250

Duti setem = RM10

Caj proses duti setem + GST = RM3.20

Jumlah = RM263.20

Boleh rujuk laman web TNB yang berikut untuk proses dan dokumen yang diperlukan:

https://www.tnb.com.my/residential/my-tnb-account/

Nota:

Kalau kalian nak buat 'renovation', sila rujuk dengan staf TNB untuk pemasangan kabel baru atau pengalihan kabel. Sebab hanya staf/kontraktor yang berdaftar saja yang boleh pasang atau ubah kedudukan kabel TNB.

3. Bil cukai taksiran-MPSJ

Aku pergi ke ibu pejabat MPSJ di Subang Jaya (berdekatan dengan Kedai Tenaga Subang Jaya).

Tiada bayaran dikenakan.

Boleh rujuk laman web MPSJ yang berikut:

4. Bil pembetungan-Indah Water

Aku pergi ke kaunter Indah Water di UTC Pudu.

Tiada bayaran dikenakan.

Boleh rujuk laman web Indah Water yang berikut:

http://www.iwk.com.my/customer


Alhamdulillah aku berjaya berkongsi dengan kalian tips-tips membeli rumah 'second hand/subsale'. Semoga ianya bermanfaat buat kalian. Mungkin ada sedikit butir-butir yang aku tertinggal atau tidak cukup terkini, maafkan aku ya. Sama-sama kita kongsi ilmu yang berguna, Inshaallah.

Buat renungan kita bersama:

- Beli rumah merupakan komitmen terbesar dalam hidup kita. Pastikan kita membuat 'research' selengkapnya. Jangan malu bertanya kepada pakar hartanah, pegawai bank, peguam, jurunilai, saudara atau kawan yang lebih berpengalaman. Google saja tentang tips atau panduan membeli rumah, pasti akan keluar blog-blog 'sifu' hartanah mahupun orang biasa. Ambillah sedikit masa untuk membacanya. Inshaallah banyak manfaatnya.

- Apapun usaha kita, ingatlah bahawa kalau bukan rezeki kita, pasti segala yang dirancang takkan menjadi. Begitu juga halnya dengan proses membeli rumah. Apapun pengalaman membeli rumah memang sangat menyeronokkan. Jangan terlalu 'stress' ya! Senyum dan Inshaallah semuanya akan baik-baik sahaja.

- Tentang pembiayaan dari bank, aku rasa kita semua sama. Tak suka sebenarnya sistem berhutang. Tapi kita tak punya banyak pilihan untuk membeli rumah. Kita usaha niatkan pembelian rumah itu sebagai asbab untuk kita berlindung, bekerja dan beribadah kepada Nya. Kalau disewakan pun, Inshaallah bermanfaat pula kepada orang lain, syaratnya janganlah sampai membebankan mereka. Wallahua'lam.

Terima kasih pada yang sudi membaca post-post aku. Salam.


No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...