Semalam aku bawa mak berjalan lagi. Mak nak beli tudung jenama D'Haja kegemarannya di Shah Alam. Sebelum ke sana, kami sempat singgah menjenguk perkembangan 'renovation' rumah aku (teringat yang aku masih berhutang post tentang membeli rumah huhu).
Disebabkan mak yang mengeluarkan duit untuk 'renovation' (walaupun aku kena bayar juga kemudiannya, bukan percuma ya kawan-kawan), aku membiarkan saja mak berceloteh dengan kontraktor tentang kerja-kerja yang masih berbaki. Hanya sesekali aku menyampuk bila diminta memberikan pendapat. Lagipun aku tak ada pengalaman tentang 'renovation'. Biarlah mak saja yang bercakap.
Lepas itu kami terus menuju ke Shah Alam. Semasa kami sampai di sana, hujan mula turun dengan begitu lebat. Alhamdulillah, selepas berhari-hari jerebu dan panas, hujan begini memang rahmat buat warga Shah Alam. Aku tinggalkan mak di depan kedai, sementara aku mencari 'parking'. Selepas 4 kali pusing kawasan, barulah aku jumpa 'parking space' yang dekat dengan kedai D'Haja. Mak akhirnya membeli sehelai saja tudung yang berkenan di hatinya.
Penat? Memang penat sebab dari awal pagi aku tak berehat. Memberi makanan kepada kucing-kucing sebanyak 5 ekor, membasuh sangkar mereka, membasuh dan menyidai baju, sesekali melayan anak buah, masak hati lembu berempah dan lain-lain kerja kecil lagi. Lepas Zuhur pula harus membawa mak berjalan. Hmmmm....
Tapi aku sentiasa cuba meletakkan diri aku di tempat mak. Selepas berpuluh tahun mak membanting tulang demi anak-anak, apalah sangat sumbangan aku yang menjadi 'driver' dan 'maid' di rumah ini. Banyak mana pun kerja yang aku buat, tak terlawan kerja-kerja yang mak dah buat untuk membesarkan kami semua.
Bagi mak, anak-anak adalah nyawanya. Kerjanya hanya untuk anak-anak. Bukan untuk pangkat dan harta benda. Keringat mak hanyalah untuk melihat anak-anaknya membesar menjadi orang yang berguna. Sebab itu mak banyak menyokong kerja-kerja 'charity' aku sekarang. Mak gembira bila aku sedar tanggungjawab kepada masyarakat. Mak cuba untuk menyumbang seadanya. Bila aku nak buat 'car boot sale' pun mak antara orang pertama yang menyokong aku.
Sekarang mak dah tak pernah menyebut nak bermenantukan jejaka itu. Aku rasa mak mungkin dah tahu apa yang terjadi, atau mak punya naluri kuat yang anaknya sudah 'move on' sepenuhnya. Aku jarang kongsi dengan mak benda-benda sedih. Sebab aku tak nak mak sedih atau risau.
Biarlah aku berkongsi saat gembira saja dengan mak. Kalau mak nak kongsi benda sedih dengan aku tak mengapa. Aku sanggup dengar, walaupun aku tak menangis depan mak. Aku nampak kuat depan mak. Sebab aku nak mak juga kuat. Aku nak mak kuat dan bahagia selama-lamanya.
Aku mungkin susah nak jadi anak yang sempurna. Anak yang baik dan menjaga ibu bapanya. Tapi aku doa semoga Allah mudahkan urusan aku, supaya aku boleh menjaga mak dan ayah sehingga masa kami dijemput olehNya.
Aku titipkan sebahagian pesanan mak yang akan aku sentiasa ingat:
1) Nak cari jodoh, carilah orang yang sayangkan kita lebih dari kita sayangkan dia. Inshaallah dia akan jaga kita sampai bila-bila.
2) Jangan lewatkan solat. Nanti ular besar ketuk kita di akhirat(betul ke tentang ular besar itu?)
3) Mak memang mahir mengira gaji dan duit yang kami mesti beri kepadanya setiap bulan. Nampak macam mak berkira dengan kami. Tapi aku tahu, mak tak pernah nak gunakan duit yang anak-anak beri sesuka hati. Mak main kutu sebagai simpanan. Itu sajalah cara mak nak pastikan kami dan dia menyimpan. Nak melabur dan sebagainya mak tak pandai dan tak percaya pun yang orang lain boleh tolong jagakan duit mak.
4) Kaya macam mana pun kalau tak solat tak perlulah kita nak bangga sangat. Harta dunia tak bawa ke mana pun. Tua nanti ke kubur juga.
Mak dah berumur. Mak sakit lutut. Mak selalu minta kami urut badannya atau cabut ubannya. Kadang permintaan mak pelbagai dan datang pada saat kami sedang penat. Tapi kami usahakan juga memenuhi permintaan mak. Tanpa mak siapalah kami. Kerana doa mak aku berada pada kedudukan hari ini. Tak kaya. Tapi ada bahagia. Ada cinta. Ada belas ihsan. Semoga aku terus dapat berbakti kepada mak dan ayah sampai bila-bila. Amin.
No comments:
Post a Comment