Hari ini dalam sejarah, tuan aku telah mengisytiharkan aku sebagai 'mati tanpa kebumi'. Selepas tuanku mengambil gambarku buat kali terakhir, aku dimasukkan ke dalam tong sampah.
Aku telah berkhidmat untuk tuanku selama bertahun-tahun. Kadang aku meragam juga, minta dimanja. Tuan aku terpaksa mengeluarkan aku dari komputer dan memasukkanku semula beberapa kali. Nampak jelas tuan aku sayangkan aku.
Malam tadi tuan aku bekerja dari rumah selama 6 jam lamanya. Dari pukul 12 pagi ke pukul 6 pagi. Tuan aku hanya tidur selama 2 jam. Aku kasihankan tuan aku. Aku pun berkhidmat seperti biasa tanpa sebarang ragam.
Sesampainya aku di pejabat tuanku, aku dimasukkan dan dikeluarkan berkali-kali. Bukan saja di komputer tuanku malah di komputer-komputer kawan sepejabat tuanku. Kenapakah tuanku bertindak sebegitu? Adakah tuanku tak sayangkan aku lagi hingga sanggup membiarkan aku di komputer orang lain?
Tuan aku membawa aku berjumpa seorang lelaki. Aku dimasukkan pula ke komputer lelaki itu. Selepas beberapa minit, aku melihat muka tuanku berubah menjadi muram. Sedang kami menaiki lif, tuanku menangis semahunya sambil dipujuk kawannya yang kebetulan menaiki lif juga.
Tahulah aku kini, aku sudah rosak. Dokumen yang disimpan di dalam badanku tidak dapat dikembalikan lagi. Tuanku sedih sebab deadline untuk laporan tuanku adalah hari ini. Tuanku hanya mampu menangis dan memujuk hatinya sambil membuat semula kerja-kerjanya.
Wahai tuanku, aku hanyalah benda yang dicipta manusia. Aku membantu bila diperlukan dan bila badanku mampu bekerja. Lepas aku rosak, tak adalah nilainya aku buatmu. Ingatlah wahai tuanku, tiada benda yang kekal di dunia ini. Betapa kuatpun usahamu, tetaplah yang maha berkuasa menentukan outputnya. Pasti ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku. Sabar itu besar ganjarannya Inshaallah.
Selamat tinggal wahai tuanku. Terima kasih di atas memori ini. Di sebalik setiap kesusahan pasti ada kesenangan menyusul, Inshaallah.
No comments:
Post a Comment