Tuesday, 2 February 2016

Kenapa aku masih solat walaupun liat

Salam. Post kali ini khas untuk bercakap tentang solat. Dan aku akan fokus kepada solat yang wajib iaitu solat 5 waktu sahaja. Solat sunat mungkin di post lain Inshaallah.

Bilakah kita belajar tentang solat sebenarnya? Seingat aku dari tadika aku dah tahu tentang solat. Bermula darjah 1 mak ayah aku dah suruh solat. Sampai saja umur aku 9 tahun (darjah 3) ayah aku dah mula tayang tali pinggang atau rotan bila kami adik-beradik liat nak solat.
Masa sekolah menengah, aku dihantar ke sekolah agama. Solat berjemaah dan bacaan Al-Quran memang elemen wajib di sekolah. Masuk matrik dan universiti kehidupan semakin bebas. Tapi aku masih solat. Syukur kawan-kawan baik-baik belaka.

Masuk alam pekerjaan solat jadi liat. Bukan tak nak, tapi kesibukan kerja menyebabkan solat jadi aspek kedua. Aku masih ingat, umur lingkungan 24-27 tahun aku kerja macam nak mati. Solat masih buat tapi di hujung waktu atau bila lapang.

Bermula umur 28 tahun, graf kesibukan kerja aku mula menurun. Keluarga dan kawan-kawan jadi nombor 1. Aku juga mula mencari-cari peluang untuk pergi menuntut ilmu agama di seminar-seminar dan kuliah agama. Solat pun agak terjaga.

Hingga sekarang aku tetap paksa diri aku untuk solat. Tak dinafikan kadang-kadang aku terlepas juga. Tapi sedaya-upaya aku usaha menggantikan solat yang aku tertinggal itu. Sebab aku rasa macam hutang bank aku takut tak bayar, tapi hutang Allah aku buat tak tahu. Mentang-mentang hutang solat tak ada interest. Solat juga buat aku rasa macam ada tali dengan Allah. Bila tak solat atau solat lambat, rasa macam terputus tali itu.

Hidup memang berterusan setiap hari walaupun kita tak solat. Rezeki tetap ada. Tak ada sikit pun yang kurang. Tapi aku pegang konsep 'sendiri mahu ingatlah'. Banyak rezeki Allah beri pada kita. Allah minta kita solat, puji Dia, minta dengan Dia, kita buat sajalah. Allah tak zalim pada hambaNya. Kalau ada masalah kita boleh bercakap dengan Dia 24 jam. Allah tak macam bos kita, kawan kita bahkan mak ayah kita yang ada masa tidur dan tak boleh melayan kita. Allah sentiasa ada untuk kita.

Menulis seperti di atas nampak macam senang, bukan? Cuba buat dulu dan rasakannya. Rasakan kewujudan Allah dalam hati kita. Besar bezanya bercakap atau menulis dengan membuat sendiri.

Yang membezakan orang Islam dengan orang bukan Islam adalah solat. Jom usaha cukupkan solat kita! Inshaallah kita boleh. Jangan mudah putus asa. Aku doakan hati kita lembut sentiasa. Amin.

No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...