Sunday, 17 January 2016

Allah bekerja dengan caraNya yang tersendiri

Seperti bulan-bulan sebelumnya sejak aku mula membayar pembiayaan rumah, aku selalunya akan agak 'kering' pada hujung bulan. Bulan ini aku 'kering' habis.

Puncanya, bajet aku lari akibat perlu membayar kos pengangkutan dan parkir untuk pergi ke kelas pada hujung minggu. Selain itu, aku juga membayar beberapa perbelanjaan tambahan yang bersifat sikit-sikit lama-lama menjadi bukit.

Lalu dahi aku berkerut berhari-hari bila memikirkan tentang duit. Dengan kenaikan tambang LRT, aku bakal 'muflis' jika aku topup kad Touch n Go nanti. Baki kad sekarang tidak mencukupi untuk perjalanan sehingga hujung minggu ini. Aduhai sedihnya memikirkan tentang duit.

Beep..beep...beep...

Mesej Whatsapp masuk, dari kawan sepejabat. Dia meminta tolong aku temankannya ke Nu Sentral untuk membeli jam buat suaminya. Paling penting, dia mahu menggunakan kad kredit aku untuk membuat pembayaran, sebab harganya yang agak mahal. Rancangan kami, menaiki LRT ke sana pada waktu makan tengahari.

Dalam hati aku sudah pening. Makan tengahari apakah yang murah di sana nanti? Kad Touch n Go aku bakal digunakan, bermakna bakinya akan berkurang. Ughhh. Rasa miskinnya saat ini.

Sesampainya kami di sana dan kawanku selesai membuat pembayaran untuk jam suaminya, kawanku bersuara:

"Fairuz makan sushi?"

Aku menjawab ringkas, masih buntu memikirkan keadaanku yang kekeringan.

"Makan. Kenapa?"

"Wxxx nak makan Sakae Sushi. W'xxx dah niat nak belanja Fairuz. Jom!"

Jumlah bil sushi RM90. Purata seorang makan RM45. Ditambah pula pencuci mulut aiskrim kelapa Sangkaya RM3.40 seorang.

Kawanku membayar separuh dari bil kad kreditnya secara tunai. Separuh lagi lepas kami dapat gaji. Bermakna aku kini mempunyai tunai di tangan. Boleh aku gunakan untuk top-up kad Touch n Go. Boleh makan. Dapat gaji nanti aku bayarlah bil kawanku itu melalui M2U.

Allah beri aku lebih dari yang aku mampu fikirkan. Di saat aku kerisauan, Allah hadirkan bantuanNya. Dari kemungkinan tak makan, aku makan makanan berharga RM45 secara percuma. Dari hanya beberapa puluh ringgit tunai di tangan, aku kini memiliki beberapa ratus ringgit di dalam poketku. Nampak ringkas tapi kesannya menusuk jiwa aku yang sedia lemah ini.

Berlagak makan mahal-mahal? Bukan duit aku, duit kawan aku. Apalah yang perlu dibanggakan.

Allah Maha tahu isi hati hambaNya.

Allah bekerja dengan caraNya yang tersendiri.

Jangan lelah untuk berusaha.

Jangan lokek memberi bantuan dan memudahkan urusan orang lain.

Inshaallah ada hikmahnya. Iaitu kita kenal siapa yang berkuasa ke atas setiap mahklukNya. Dan kita hanyalah seorang hamba.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...