Apakah itu nilai diri? Atau dalam bahasa Inggeris kita sebut sebagai self-worth. Bagaimanakah kita menilai diri kita sendiri? Adakah orang lain boleh menilai diri kita sesuka hati mereka?
Nilai diri boleh dilihat dari beberapa aspek seperti dalam lingkungan keluarga dan saudara-mara, rakan-rakan, di pejabat dan di kalangan masyarakat. Ada nilai diri yang boleh diukur dengan wang ringgit, sebagaimana yang selalu kita lihat pada pemain bola terkenal dunia. Begitu juga dengan artis, yang khidmat mereka boleh dinilaikan dengan wang ringgit setiap kali mereka beraksi di media. Nilai diri kita di mata majikan dalam bentuk gaji dan manfaat lain juga boleh termasuk dalam kategori nilai diri yang dimaksudkan.
Selain nilai diri dalam ringgit, kita juga perlu meneliti nilai diri kita yang bersifat intangible, iaitu yang tidak boleh dilihat. Nilai diri yang ini kadangkala kita panggil sebagai darjat atau martabat. Bagaimanakah orang sekeliling melihat kita? Adakah mereka senang dengan kehadiran kita? Atau mereka hanya berpura-pura senang? Adakah kita disegani di kalangan mereka?
Nilai diri kita sebagai seorang Muslim juga perlu dititikberatkan. Apakah kita sanggup melakukan perkara yang dilarang oleh Allah semata-mata untuk mencapai matlamat kita? Baik dalam mencari rezeki, lulus peperiksaan ataupun meraih cinta insan yang kita puja? Adakah itu benar cinta, atau nafsu semata-mata? Sedarkah kita, bilakah cinta bertukar menjadi nafsu? Atau kita langsung tidak peduli?
Dalam menilai diri kita, banyakkan bertanya soalan-soalan begini:
1) Siapakah kita?
2) Apakah yang kita mahukan?
3) Apakah peranan kita?
4) Siapakah pemilik kita?
5) Di manakah kita sekarang?
6) Ke manakah kita nanti?
7) Adakah apa yang kita lakukan ini betul?
8) Jika kita telah tersilap, mahukah kita membetulkannya, atau kita tidak peduli?
Semoga kita berjaya meletakkan nilai diri yang betul. Yang pasti ianya tidak murah. Allah tidak menciptakan kita secara sia-sia. Pasti ada sebabnya. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment