Saat memandu menyusuri kawasan sekitar Universiti Malaya dan Kerinchi, aku terbawa oleh memori, juga emosi. Flat kos rendah kini sudah menjadi KL Gateway. Ada 'shopping mall' besar. Ada rumah mewah. Ada pejabat mungkin. Tersergam, namun mata aku tertancap pada flet-flet lain di sekelilingnya. Flet PKNS tempat aku menyewa dahulu. Kondo Vista Angkasa tempat kawan-kawan aku menyewa dahulu. Lokasi Pasar malam Kerinchi, yang dulunya tempat kami membeli makanan dan barangan keperluan.
Kerinchi sudah lain. Atas sedikit darinya adalah tempat aku dan kawan-kawan pernah membeli burger paling sedap di dunia. Kawasan setinggan, yang kini gah berdirinya Bangsar South. Kelihatan papan tanda menunjukkan masjid, tetapi tetap tak mampu merungkai emosi aku saat itu.
Berapa banyak 'shopping mall' yang kita perlu untuk memuaskan nafsu membeli-belah kita?
Adakah flet-flet yang masih ada juga akan dirobohkan untuk melengkapkan imej Kerinchi yang 'high class' sekarang?
Bahagiakah kita terlihat mewah sedang kita miskin masa? Jalan sesak setiap hari, pergi dan balik kerja.
Mampukah anak-anak kita membeli rumah di Kerinchi nanti? Atau mereka hanya mampu melihat satu-persatu unit pergi kepada 'non-Malaysian' yang memang mampu?
Adik-adik Universiti Malaya sekarang ini bagaimana? Seronokkah punya 'shopping mall', bisa lepak di kafe-kafe? Lebih dekat dengan kampus berbanding Mid Valley (zaman aku dulu kami cuma ada Mid Valley untuk shopping).
Saat Bangsar South baru dibuka dahulu, wujudlah sebuah balai polis yang dihebahkan akan memudahkan penduduk sekitar dari aspek keselamatan. Adakah selepas membangunnya Kerinchi, keadaan menjadi kurang selamat? Polis itu untuk menjaga siapa sebenarnya?
Aku rindu Kerinchi yang dulu.
No comments:
Post a Comment