Saturday, 28 November 2015

Hakikat kehidupan di ibu kota

En A bekerja sebagai 'site supervisor' di ibu kota. Dengan hanya berbekalkan sijil SPM, En A hanya mampu mendapat gaji sebanyak RM1, 200 sebulan. Untuk menampung kos hariannya, En A terpaksa samada membuat 'overtime' sesi malam atau bekerja sambilan sebagai pekerja sekuriti.  Dengan kerja sekuriti itu bolehlah En A mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM1,900 sebulan.

En A pergi ke sana sini menaiki motor. Bila hujan lebat, En A mudah demam. Kasihan En A. En A suka juga beli kereta, tapi secara tunai. Kereta dari Singapura dengan geran 'total loss' katanya. Tapi kereta sebegini kadang-kadang susah nak dibawa di atas jalanraya di Malaysia atas faktor-faktor tertentu. Tapi En A tetap selesa dengan cara begini. Tanpa hutang dan dapat memenuhi minatnya terhadap kereta 'sport'.

Di sebuah tempat lain di ibu kota, En B bekerja sebagai eksekutif. Hasil penat lelah belajar di universiti bertahun-tahun, En B berjaya mendapatkan gaji sebanyak RM5,000 sebulan.

En B pergi ke kerja menaiki kereta yang dibelinya secara hutang. En B membayar sebanyak RM600 sebulan untuk keretanya. Selain itu En B telah membeli sebuah rumah dengan bayaran bulanan sebanyak RM900 sebulan. En B juga mempunyai hutang kad kredit, yang digunakannya untuk membeli belah. Cukup bulan En B buat bayaran minimum. Senang cerita.

En A perlu bekerja hampir 24 jam untuk mendapatkan RM3,100. Untung sekali bagi En B yang bekerja 8 jam sehari(selalunya) tapi bergaji RM5,000.

Tapi bila dilihat lebih mendalam kehidupan mereka, hasil akhirnya tetap sama. En A kurang berhutang sebab gajinya kecil. Kerja macam nak mati. Nasiblah ada SPM sahaja. En B pula banyak hutangnya, tapi masih boleh 'manage'. Janji tak bankrap sudahlah. Janji beliau dapat membeli aset dan menghargai dirinya setiap bulan, hasil penat lelah belajar dan bekerja.

Definisi hidup mungkin tak sama bagi setiap orang. Tapi kos seperti minyak, tol dan makanan keperluan tetap sama kesannya kepada setiap orang. Jika kos-kos ini meningkat serentak, kedua-dua En A dan B akan mengeluh. Tapi En A akan lebih terhimpit kerana gajinya sedikit. En B mungkin terpaksa melakukan kerja 'part time' pula, untuk menampung peningkatan kos dan gaya hidupnya yang tidak boleh diubah.

Pilihan di tangan sendiri. Menurut wakil Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan(AKPK) dalam sesi ceramahnya di pejabat kami, sebahagian besar klien mereka memiliki satu ciri yang sama yang menyebabkan mereka dihimpit hutang: Gaya hidup yang mewah melampau. Faktanya adalah gaya hidup merupakan sesuatu yang paling susah untuk diubah.

Tapi aku tidak sesekali menafikan ini: Kita semua sebenarnya penat juga menganalisa dan mengubah gaya hidup. Naik kereta, tol dan minyak naik. Naik LRT, tambang bakal naik minggu depan. Naik bas, jadual bas pula tak tentu. Tak perlu bernafsukan Starbucks pun dah tahap paras leher. Kena pula fikirkan nak berbisnes secara 'part time'. Yang ada isteri dan anak lagilah pening.

Apapun tetaplah terus hidup. Jangan sesekali mengalah. Pertolongan Allah itu pasti ada. Inshaallah. Cuba untuk senyum ya. Nasihat untuk diri sendiri juga.

Kenapa aku menjadi sukarelawan TFTN

Seseorang bertanyakan soalan:

"Kenapa awak 'join' NGO macamTFTN? Rajin betul awak ni".

Jawapan aku:

1) Mencari makna hidup dengan memberi

Bertahun aku hidup dengan soalan ini: Kenapa aku masih mencari dan menanti? Sejak kawan-kawanku semua berumahtangga, aku yang masih bujang harus membawa diri dan cuba mencari makna dalam hidup.

Hinggalah aku mendapat jawapannya: Hidup ini bukan hanya menanti. Hidup ini harus memberi. Semakin banyak yang kita beri, semakin banyak yang kita dapat. Walaupun apa yang kita dapat mungkin bukan yang kita inginkan selama ini.

2) Pendidikan seharusnya melahirkan insan yang prihatin dengan nasib orang lain yang kurang bernasib baik

Alhamdulillah ibu bapa aku mampu memberikan aku pendidikan yang sempurna untuk aku sampai ke tahap hari ini. Sudah tiba masanya aku berkongsi kepakaran yang ada dengan anak-anak yang kurang bernasib baik.

Aku mempunyai kemahiran analitikal, 'public speaking', keyakinan diri, berani mati demi mencuba dan rasa simpati yang mendalam. Aku berusaha untuk mencurahkan semuanya kepada anak-anak ini.

3) Berkenalan dengan insan-insan yang menakjubkan

Di TFTN aku berjumpa dengan 'malaikat'-'malaikat' yang sanggup berkorban demi membantu orang lain. Mereka ini tak tenang hidup memikirkan masalah masyarakat. Mereka bukan leka mengejar kekayaan semata-mata. Dan profil mereka bukan calang-calang.

Contohnya, hari ini aku berkenalan dengan seorang guru yang baru berusia 26 tahun. Beliau dulunya bukan pelajar pintar. Tapi beliau berjaya lulus di luar negara dan juga telah menjejakkan kaki ke 13 buah negara. Juga sudah punya rumah dan kereta sendiri. Tetapi beliau tetap begitu risau memikirkan nasib sebahagian anak muridnya yang tiada motivasi untuk belajar. Hebat bukan? 'Humanity at its best'!

4) Duit bukan segala-galanya

Melalui aktiviti kesukarelawanan begini, aku sentiasa diingatkan bahawa duit bukanlah benda terpenting dalam dunia ini. Duit hanyalah alat atau medium. Bila aku pergi ke Fuqaha, aku menawarkan diri untuk mengambil kawan-kawan di stesen LRT dan juga UKM. Aku rasa kos minyak dan tol itu tidak mahal berbanding nilai masa yang aku dapat luangkan bersama anak-anak Fuqaha.

Bila aku nampak anak-anak teruja melihat dan mengecam aku, aku rasa macam seronok teramat-amat. Tak pernah ada orang yang begitu teruja melihat aku. Seolah aku ini macam ibu kedua mereka. Sedangkan aku mungkin hanya sekadar membantu mereka menyiapkan kerja sekolah, atau mengajak mereka bermain sambil belajar sahaja. Entahlah. Bahagia lain macam aku rasa. Dan aku sukakan rasa ini. Lebih hebat dari jatuh cinta.

Semoga aku menjawab soalan kamu. Atau mungkin soalan dari orang lain juga.

Wednesday, 25 November 2015

Pada setiap kesusahan ada penyelesaiannya

Dua minggu ini aku sibuk. Sangat sibuk hingga aku kerap terlupa atau tertinggal barang di merata tempat. Aku sibuk merancang sesi penerangan untuk 'IFRS 7 and 13 Disclosures for financial year ending 31 December 2015'. Ada antaranya memerlukan 'conference call' dengan cawangan dan subsidiari samada tempatan mahupun antarabangsa.

Kena 'booking' bilik mesyuarat. Masa inilah segala projek-projek dan audit berlangsung. Bilik mesyuarat sangat-sangat terhad. Aduhai pening aku dibuatnya.

Kena juga sedia kan 'presentation slide' untuk semua sesi. Sesi berlainan memerlukan kandungan yang berbeza. Sesi 'short briefing' memerlukan kandungan yang ringkas manakala sesi 'walkthrough' memerlukan kandungan yang lengkap dari A ke Z. Lepas itu perlu emelkan 'presentation slide' tersebut kepada staf yang terlibat dari setiap cawangan dan subsidiari yang terlibat.

Selain itu kena hantar 'meeting invitation' kepada semua cawangan dan subsidiari yang terlibat.  Harus berhati-hati dengan mereka yang punya 'time zone' berbeza. Harus memberikan mereka nombor 'call in' yang terkini mengikut negara. Belum lagi yang minta 'reschedule'. Kena ulang proses mencari bilik mesyuarat pada masa berbeza pula.

Tambahan kepada segala cabaran itu adalah ini: Perlu menerangkan segala kandungan kepada mereka. Satu sesi mengambil masa selama sejam. Sehari paling kurang ada 2 sesi. Setakat ini jumlah sesinya adalah sebanyak 9 sesi. Boleh sakit tekak aku. Kebetulan aku dah seminggu batuk dan selesema.

Kenapa tak buat 1 sesi sahaja untuk semua cawangan dan subsidiari yang terlibat? Sebab pernah buat dulu, tapi kesannya mengecewakan. Sebahagian mereka hanya mendengar dan lupa. Ada yang rasa tersisih. Ada yang tak faham tapi berdiam diri. Semuanya diterjemahkan melalui 'disclosure submission' yang begitu banyak kesalahan dan melambatkan proses 'year end closing'. Sejak itu kami pecahkan kepada beberapa sesi supaya lebih fokus dan sesi tersebut bersifat 'mutual', bukan hanya 'syok sendiri'.

Mengeluh dengan kesibukan ini? Ya. Sebelum aku amati hikmahNya.

Alhamdulillah ada kawan dari jabatan kami baru dipindahkan ke tingkat 40. Boleh minta dia 'booking' bilik mesyuarat di jabatan barunya. Tadi pun aku minta bantuan dia untuk 'booking' bilik mesyuarat untuk sesi-sesi yang 'reschedule'.

Alhamdulillah permintaan untuk 'reschedule' sebenarnya memberi aku lebih masa untuk menyediakan material dan praktis.

Alhamdulillah semua staf yang terlibat berkomunikasi dengan begitu baik dan segera. Sebarang masalah boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat.

Alhamdulillah bos aku percayakan aku untuk uruskan sesi penerangan tahun ini. Sesekali dia bertanyakan jika ada sebarang isu. Hari ini bos aku meluangkan masa hampir 30 minit mendengar dan memberi komen tentang kandungan 'presentation slide' aku untuk sesi 'walkthrough' esok. Sokongan begini buat aku rasa kuat dan bersemangat.

Pada setiap kesusahan ada jalan penyelesaian. Ada pengajaran dari semuanya. Kita sebagai hambaNya hanya perlu usaha, berdoa dan bertawakal. Allah akan bantu, Inshaallah.

Semoga semua urusan kita di dunia dan akhirat lancar. Amin.

Wednesday, 18 November 2015

Bagaimana aku mengenal orang melalui kucing

Aku memang suka kucing. Aku sebenarnya 'alergik' dengan bulu kucing (baru tahu 2 tahun lepas). Doktor pernah suruh aku jangan peluk kucing seminggu dan lihat perubahan pada kesihatan aku.

Jawapan aku? 'NO WAY!'

Haha.

Semenjak aktif dengan 'Group' kucing, dah beberapa kali aku buka kucing-kucing untuk 'adoption'. Semuanya kucing jalanan yang aku tak sampai hati tengok keadaannya seperti cacat, sakit atau kehilangan mak. Olive merupakan kucing pertama yang aku 'adopt' dari orang lain secara percuma. Sanggup pergi ke Taman Permata untuk mengambil dia yang kecil masa itu.

Kucing dah memanglah sifatnya manja dan mahukan perhatian. Tapi yang aku paling hargai dari menjaga kucing adalah bila aku boleh mengenali ramai orang.

Penjaga asal Olive seorang perempuan. Cantik, agak seksi dan manja orangnya.

'Adopter' Panda seorang perempuan manis bernama Leena Asmawi. Sampai sekarang kami baik. Aku selalu doakan bisnes dia maju sentiasa. Amin.

'Adopter' K-Pop seorang perempuan comel dan ada anak bernama Linesha. Dialah Nesha M K Maran. 

'Adopter' Kikos dan Koyen aku ingat betul sebab kami sesat teruk semasa nak ke Kelana Jaya. Nampak saja Kikos dan Koyen, dia terus sarungkan rantai comel untuk mereka.

'Adopter' terkini merupakan satu-satunya lelaki. Muda lagi, sangat nakal(seperti diakuinya sendiri) dan pandai 'mengayat' perempuan. Tapi melihat dia memeluk Zorro aku tahu dia memang pencinta kucing.

Pengalaman-pengalaman begini buat aku simpulkan:

1) Carilah pasangan pencinta kucing. Inshaallah mereka ini penyayang orangnya. Eh! Kempen diri sendiri sekali, boleh? Hoho.

2) Semua orang ada 'soft spot'. Tentang ini, pertama sekali aku dengar dari Dato' Fadzilah Kamsah. Tengok kaki 'clubbing' belai dan beri makan kepada kucing jalanan buat aku fikir siapalah aku ini yang walaupun tak 'clubbing', belum tentu molek perangainya. Banyak dosa samada sedar atau tidak. Kita semua sama saja di sisiNya.

3) Ada banyak ruang untuk membuat kebaikan dan menyumbang kepada masyarakat. Membela nasib haiwan terbiar adalah salah satu darinya. Pilih mana yang berkenan di hati. Inshaallah kita akan rasa diri ini berharga dan insaf dengan nasib makhluk lain.

4) Jangan mudah menilai orang yang baru kita kenali. Cuba selidik kenapa mereka berperangai sekian dan sekian. Cuba bantu mana yang perlu. Inshaallah hari lain orang pula bantu kita.

Peace!

Saturday, 14 November 2015

Percaturan Allah itu yang terbaik untuk kita

Susah nak faham percaturan Allah. Sebab akal kita memang takkan sama dengan cara kerja Allah. Umpamanya kita baru nak mulakan memahami sesuatu, Allah sudah siapkan pengakhirannya.

Kadang kita rasa cepatlah kita tahu apa akan jadi seterusnya. Tapi Allah tak beri. Allah nak kita perlahan-lahan belajar setiap langkah. Dan setiap pengalaman lalu sangat-sangat berguna untuk kita jadikan panduan dalam setiap langkah kita.

Kadang kita betul-betul nakkan sesuatu. Tapi Allah tak bagi. Tapi kita dapat benda lain. Benda lain itu pun kadang kita tak tahu kenapa kita dapat. Serius pening!

Macam lagu Elyana-Tak Tercapai Akalmu pula aku rasa. Bercampur-baur segala rasa. Cakap senanglah 'go with the flow'. Nak 'go' pun dah takut hahaha. Sahlah aku ini memang manusia biasa. Sentiasa tertakluk kepada ketentuan Allah. Semoga Allah bantu jalan hidup aku dan insan-insan lain di dunia ini. Amin.

#itsbeentoolongsinceicare
#nevergetwhatwewant
#getwhatweneed

Nasib malang haiwan di tangan manusia

Pagi tadi aku ke kedai barang haiwan peliharaan di depan rumah. Ada beberapa kedai haiwan peliharaan tapi kedai yang ini aku paling suka sebab barangnya murah dan 'tauke'nya baik. Malah seorang stafnya pernah membantu aku menyelamatkan kucing yang dilanggar dalam hujan lebat. Aku memang mempunyai aura positif dengan kedai ini.

Di pintu masuk, aku lihat anak-anak anjing jenis 'Beagle' dipamerkan untuk dijual. Sedang aku mengambil pasir untuk kucing aku, kedengaran suara anak-anak anjing itu menjerit mendayu-dayu.

"Kenapa dengan itu puppy? Menjerit-jerit?" tanya aku.

"Oh dia rindu sama mak dia" jawab staf yang melayan aku.

"Mak dia mana? Tiada kat sini ke?" balas aku.

"Mak dia kat tempat lain. Kita ada tempat 'breeding'. Lepas saja beranak kita mesti pisahkan dia dari mak dia untuk jual" jelas staf tersebut.

"Tapi dia rindu sama mak dia. Sangat sedih hati I dengar dia suara begitu" aku membalas tak puas hati.

"Itu biasa kak. Baru 2 hari dia sampai. Nanti lepas 1 minggu baru dia OK" jawab staf tersebut.

"Tak apalah. Tolong angkat itu pasir ke kereta I" arah aku kepadanya.

Sebenarnya mata aku dah berkaca, lebih-lebih lagi bila melihat anak anjing itu penat menjerit, kemudian memeluk adik beradiknya yang lain.

Kejam. Hanya kerana mereka haiwan dan kita manusia. Sedangkan haiwan lebih sayangkan anaknya berbanding sesetengah dari kita.

Adakalanya berkawan dengan haiwan lebih baik. Kasih mereka tiada hujungnya. Fitrah mereka semudah makan, tidur, membuang hajat dan membiak. Selain dari itu hanya kasih sayang dan naluri memberikan perlindungan buat keluarga mereka.

Terlalu banyak pengajaran buat kita. Hanya jika kita mahu ambil tahu.

Wednesday, 11 November 2015

Bila rasa diri dan kerja tak dipercayai dan tak bererti

Bekerja dengan sesetengah manusia memang menyesakkan. Selepas mengerah idea dan membuat kajian berhari-hari, kerja kita diubah 100% begitu saja. Itu dilakukan tanpa memberitahu kepada kita di manakah bahagian yang perlu diperbaiki, buat pengajaran masa depan.

Bila jadi begini, senang saja kesimpulannya:
Kita tidak dipercayai dan tidak mencapai standard yang diinginkan. Dan tak akan capai standard itu sampai bila-bila.

Jadi bagaimana?
Bentaklah sementara boleh. Kecewalah dahulu. Lepas itu mulakan langkah menuju ke tempat kita akan dipercayai dan mempercayai. Senang cakap gapai impian kita sepantas yang boleh. Hentikan berkuli begini terlalu lama. Tak ada guna jika kita tiada siapa di mata mereka.

Catatan Matluthfi-Review buku peribadi

Bagi mereka yang mengikuti video-video Matluthfi, buku ini wajib berada dalam senarai 'reading bucket list'. Tak kisahlah kalau dah ketinggalan pun(macam aku haha).

Kenapakah?

Kerana selepas membacanya kita akan sedar bahawa Matluthfi bukan hanya pembikin video dengan krew-krewnya yang sama gilanya.

Matluthfi sebagai Amran? Tak pasti bagi orang lain. Bagi aku bagai langit dan bumi. Amran menggunakan elemen 'sarcasm' dan diperasakan dengan carutan dan makian yang ala-ala 'cool' dan 'in trend' bagi orang muda.

Matluthfi? Kalian kena baca dulu buku ini. Di bab-bab akhir Matluthfi ada membuat pengakuan tentang sifat sarkastiknya. Masa itu kalian boleh bandingkan Amran dengan Matluthfi dan buat kesimpulan kalian sendiri.

Buku ini pada awalnya mendatangkan keluhan kepada aku. Buat apa baca kompilasi status FB, Twitter dan blog Matluthfi sedangkan aku 'follower' dia? Tapi separuh hati aku cakap baca sajalah. Rupanya ada banyak perkara yang aku belajar sebenarnya. Buku ini lebih dari hanya kompilasi status Matluthfi. Buku ini lebih kepada mengenal pola pemikiran Matluthfi dan sebahagian golongan sepertinya. Kemudian membandingkan pula adakah kita juga punya pemikiran yang sama? Jika tidak, mengapa? Jika ya, juga mengapa?

Bagi aku, buku ini macam sebuah gunung. Dimulakan dengan bab-bab yang ringan, modal gelak ketawa. Di pertengahan hingga ke hujung kita mula melihat sisi serius Matluthfi melalui penglibatannya dalam aktiviti-aktiviti sosial dan betapa beliau mahukan masyarakat lebih banyak menyoal berbanding hanya menerima bulat-bulat.

Puisi-puisi beliau jelas menyerlahkan sisi seni dan intelek beliau yang adakalanya bernada serius. Mengakhiri buku dengan bab tentang wanita memang agak anti-klimaks bagi aku, tetapi indah. Selepas serius kini datang sisi emosi dan penghargaan.

Menunggu saat nak membaca Momen Matluthfi pula. Jom!

Kisah solat yang tak khusyuk kerana sentap

Solat Asar aku terganggu petang tadi. Puncanya sebab aku solat semasa ustaz sedang memberi kuliah Asar. Maka suara ustaz kedengaran kuat sekali ke serata surau. Tak mengapa. Aku meneruskan solat.

Tapi aku tetap terdengar kata-kata ustaz itu. Katanya,  biasanya anak-anak yang pandai akan dihantar belajar bidang-bidang profesional seperti kejuruteraan, doktor dan sebagainya. Tapi kalau anak-anak mereka tak pandai? Mereka dimasukkan ke sekolah tahfiz. Di sekolah tahfiz sekarang pelajarnya hampir semua corot dalam pelajaran dan tak ada motivasi.

Saat ini aku betul-betul mahu menangis di situ juga. Sentap. Sedih. Sebab walaupun cara cakapnya kasar, memang ada betulnya. Aku terus terbayang anak-anak aku di Bangi. Wajah suci mereka sentiasa aku ingat. Aku sentiasa risau dengan sikap mereka yang acuh tak acuh dengan ilmu. Belajar setakat belajar. Ada yang yatim tapi ada juga yang masih punya ibu bapa. Tapi corak pemikirannya sama. Hampir setiap subjek mereka 'Fail'.

Pernah sekali aku nampak ada kontraktor sedang membuat sesuatu di siling. Bila ditanya, anak-anak menjawab:

"Sekolah takde duit nak buat siling. Pakcik tu tampal pakai plywood je".

Beberapa hari lepas kelas mereka dinaiki air. Anak-anak bergotong-royong mengemas kelas mereka.

Sudahlah di'buang' dari masyarakat kerana kurang berpotensi untuk di'perah susunya',  hendak belajar pun pelbagai dugaan pula menimpa. Ya aku tahu orang beriman itu diuji. Tapi mereka sajakah yang beriman dan diuji? Apa kita tak diuji samada hanya melihat mereka begitu atau melakukan sesuatu? Bilakah stigma kita akan berubah? Siapakah yang harus berubah dahulu? Perlukah kita bertindak sendiri? Atau kita perlu berdiri di atas platform NGO atau parti politik baru mahu bertindak?

Terbaca tentang PADU yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memastikan 'Education blueprint' tercapai misinya. Tapi aku tak pasti samada anak-anak seperti di Bangi termasuk dalam senarainya. Anak-anak yang konon kurang lestari, tak bestari, tak profesional, bakal lebai dan ustazah.

Entahlah. Aku bukan pakar pendidikan. Aku kahwin pun belum. Tak ada anak untuk dididik. Anak kucing pun gagal dijinakkan supaya mendengar arahan. Tapi entahlah.

Akhirnya aku berjaya menghabiskan solat Asar, selepas berhempas pulas mendapatkan khusyuk. Dan sekarang aku membebel panjang di 'wall' sendiri.
Peace.

Thursday, 5 November 2015

The Alchemist-Paulo Coelho: Review buku peribadi

Hari ini ada sesi 'Book Club'. Sesi kali ini membincangkan tentang buku 'The Alchemist' karya Paulo Coelho.

'The Alchemist' mengisahkan perjalanan Santiago, pemuda Sepanyol yang mengembara ke Mesir demi mendapatkan harta karun. Santiago tegar menjadi pengembala kambing kerana minatnya yang suka mengembara, walaupun ayahnya menginginkan Santiago menjadi paderi.

Dari sebuah mimpi, Santiago kemudiannya didatangi dengan peristiwa-peristiwa menakjubkan yang kesemuanya menjurus kepada harta karun tersebut. Dirompak hingga tinggal sehelai sepinggang, Santiago terpaksa bekerja di kedai barangan kristal, demi mendapatkan duit yang mencukupi untuk pergi ke Mesir.

Dalam perjalanan ke Mesir, Santiago bertemu cinta sejati dengan seorang gadis bernama Fatima. Santiago hampir berpaling tadah dari mendapatkan harta karun tersebut demi cintanya kepada Fatima. Tetapi Fatima rela melepaskan Santiago demi mahukan Santiago mencapai impiannya.

Akhirnya Santiago bersama sang ahli kimia ('The Alchemist') meneruskan perjalanan ke Mesir. Ahli kimia tersebut banyak mengajarnya tentang kehidupan.

Setibanya di Mesir, mereka berpecah membawa haluan sendiri. Santiago cuba menggali harta karun tetapi tiada apa yang dijumpai. Hinggalah dia dibelasah oleh penduduk Mesir dan salah seorang dari mereka menyatakan harta karun sebenarnya terletak di sebuah gereja lama yang pernah disinggahi oleh Santiago dan kambing-kambingnya sebelum ini.

Santiago akhirnya gembira dan mendapat apa yang diimpikan, hasil dari semangat yang tinggi dan percaya kepada petunjuk-petunjuk di sekelilingnya. Santiago kini hanya mahukan Fatima di sisinya, selamanya.

Pandangan aku?

'Superb'! Bahasa yang begitu mudah difahami, walaupun ada beberapa terma yang memerlukan kita membuka kamus. Tolonglah baca buku ini OK!😍😍😍😍

Setiap orang punya impian. Kadang impian itu kita cipta. Kadang impian itu memang sedia ada.

Aku dan Santiago?

Pencinta penulisan dan pembenci nombor.

Bekerja dengan nombor setiap hari.

Gagal dalam peperiksaan nombor.

Bangkit semula setiap kali.

Sekarang cuba menulis. Tentang kehidupan. Juga tentang nombor.

Tertekan kerja, menulis.

Gagal dalam cinta, menulis.

Gembira dengan keluarga dan kawan, menulis.

Impian aku ialah menulis. Secara semulajadinya menulis bererti berkongsi. Mudah-mudahan orang lain juga dapat manfaatnya.

Jom capai impian kita!

Monday, 2 November 2015

Teguran dari Allah datang dari pelbagai cara

Siang tadi aku berdepan dengan situasi berbelah bahagi antara sentimen kaum dan harga sebuah kejujuran.

Aku singgah di kedai yang menjual jus buah-buahan segar di 'food court' kami. Pemilik kedai dan pembuat jusnya berbangsa Cina. Semasa aku menunggu giliran diambil pesanan, pembuat jus sedang melayan seorang pelanggan Cina. Tiba-tiba datang seorang kawan kepada pelanggan Cina itu menyelit di sebelah kawannya. Nampak macam dia pun nak memesan jus buah.

Aku dah rasa tak sedap hati. Jangan pembuat jus layan dia dulu sudahlah. Aku dah menunggu dari tadi lagi.

Tepat seperti yang aku jangkakan. Dia bercakap dengan pembuat jus dalam bahasa Cina, tapi aku faham dia memesan jus pilihannya. Pembuat jus membalas dengan bahasa Cina juga. "Alamak, Cina jumpa Cina, cakap Cina mesti dia layan Cina dulu" getus hati aku.

Kali ini aku silap. Pembuat jus memberi isyarat 'tunggu' kepadanya. Dia bercakap sedikit bahasa Cina tapi aku faham dia nak membuat jus aku dahulu. Aku lega bercampur kesal sebab mempunyai sentimen kaum yang agak menebal kadangkala. Sebenarnya bukan sentimen kaum pun. Bila kita tak faham bahasa mereka, kita mudah menganggap mereka bercakap perkara negatif. Ditambah pula dengan permainan perkauman yang hebat oleh badut politik di negara kita.

Hidup bercampur bangsa dan agama mengajar kita untuk 'agree to disagree', hormat dan menerima kepercayaan orang lain dan bersangka baik. Macam minggu lepas, saat aku merasa sempitnya dengan masalah duit, kawan pejabat aku bercerita tentang Pastor Joel Osteen yang suka bersedekah. Katanya bila beliau bersedekah, beliau selalu akan mendapat kemudahan dalam urusan ceramah keagamaannya.

Dalam rasa sentap aku tekan butang 'Pay' untuk sedekah online. Wallahua'lam. Ada banyak cara Allah nak menegur hambaNya. Tak salah kita belajar dari mereka tentang prinsip, integriti dan rendah diri. Kita pun tak sempurna. Hidup di dunia sementara saja. Buatlah baik kepada sesiapa pun. Mudah-mudahan Allah redha, dan kita pun boleh berdakwah dengan cara kita sendiri. Inshaallah.

Sunday, 1 November 2015

Aktiviti memvaksinkan kucing di SPCA Selangor

Semalam aku berjaya memvaksinkan 3 ekor kucing kami di SPCA Selangor. Aku senaraikan kos vaksin di sana:

1) Vaksin sahaja = RM50 seekor

2) Pakej vaksin (1st and 2nd) + mandul = RM50+RM30+RM90=RM170

3) Mandul sahaja = RM90

Sila simpan segala resit, OK. Aku difahamkan segala sumbangan kepada SPCA Selangor layak untuk mendapat pelepasan cukai. Jadi, Inshaallah kita dapat jaga kebajikan kucing, SPCA mendapat dana dan kita pula mendapat manfaat untuk pelepasan cukai. Everybody wins. Yeay!

Untuk vaksin, tak perlu buat 'appointment'. Tapi aku nasihatkan kalian untuk hubungi SPCA Selangor, hanya untuk pastikan mereka tak tutup pada hari yang kalian nak pergi.

Oh, ya. Bermula 1 November 2015, SPCA Selangor akan ditutup pada setiap hari Isnin. Paling aku suka SPCA ini adalah kerana mereka beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad juga. Tak perlu ambil cuti untuk menguruskan hal kucing, kecuali jika berlaku kecemasan.

Untuk segala 'update' tentang aktiviti, perkhidmatan dan kucing atau anjing untuk di'adopt'  bolehlah pergi ke:

Laman web: http://www.spca.org.my
FB: SPCA Selangor Malaysia
Instagram: spcaselangor

Kebelakangan ini aku kerap membaca dan mendengar kenyataan ini:

Orang bujang yang lambat kahwin selalunya mempunyai banyak kucing. Mungkin sebab mereka sunyi dan perlukan teman.

Aku 50% setuju, 50% lagi tak setuju dengan kenyataan ini. Memang kebetulan orang yang tak kahwin lagi, baik perempuan atau lelaki, ramai yang membela kucing. Tapi ramai juga yang sudah kahwin membela lebih dari 10 ekor kucing. Hinggakan kadang-kala rumah mereka pun berbau kucing.

Ramai orang yang dah kahwin tapi belum mendapat anak juga membela kucing. Sedihnya bila diberi rezeki anak, sebahagian dari mereka mengetepikan kucing yang suatu ketika dahulu pernah menghilangkan kesunyian mereka.

Kucing mengajar aku untuk bersabar. Bila terdetik hati untuk mengamuk dengan kedegilan kucing, aku pasti terfikir: berbaloikah marah hanya kerana seekor kucing yang akalnya tak seperti manusia?  Kalau kucing berak merata, berbaloikah memukul mereka, sedangkan mereka tak bersekolah macam kita? Sudahnya aku gelak sendiri dan mengemas tahi mereka sambil menutup hidung. Habis cerita. Hehe.

Allah menjadikan makhluk macam kucing dan anjing sebagai pelajaran buat kita: bukan kita saja yang mahu hidup di bumi Allah ini. Kalau mereka sakit atau didera, kitalah yang harus membantu mereka. Sebab? Sebab kita berakal dan mampu menyelesaikan masalah.

Mereka hanya tahu makan, tidur dan membiak. Mereka tak tahu bahawa mereka boleh menyebarkan penyakit atau membiak tanpa henti sepanjang tahun hingga anak-anak mereka terbiar dan dilanggar lori. Kitalah yang harus bantu mereka seadanya. Sebab itulah kita ada doktor veterinar. Ada NGO haiwan. Ada individu pencinta haiwan. Inshaallah kita cuba menjadi individu yang penyayang bukan saja kepada manusia tetapi juga kepada haiwan. Tak rugi pun berbakti kepada mereka. Inshaallah dinilai mendapat pahala oleh Allah S.W.T.

Ada sedikit gambar untuk kalian. Kali ini tiada gambar aku, hanya gambar kucing-kucing aku, yang asalnya semua adalah kucing jalanan.

Gambar 1- Buku rawatan kucing; vaksin, cacing dan lain-lain

Gambar 2-Keluarga Tiger yang comel tapi nakal yang teramat!

Gambar 3-Olive si janda mandul yang berlagak 'diva'

Membela kucing atau anjing adalah komitmen seumur hidup juga OK! Sekali kita dah ambil dan bela mereka, cubalah menjaga mereka sehingga akhir hayat mereka, ya!

Jumpa lagi di post seterusnya Inshaallah.

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...