Saturday, 28 November 2015

Kenapa aku menjadi sukarelawan TFTN

Seseorang bertanyakan soalan:

"Kenapa awak 'join' NGO macamTFTN? Rajin betul awak ni".

Jawapan aku:

1) Mencari makna hidup dengan memberi

Bertahun aku hidup dengan soalan ini: Kenapa aku masih mencari dan menanti? Sejak kawan-kawanku semua berumahtangga, aku yang masih bujang harus membawa diri dan cuba mencari makna dalam hidup.

Hinggalah aku mendapat jawapannya: Hidup ini bukan hanya menanti. Hidup ini harus memberi. Semakin banyak yang kita beri, semakin banyak yang kita dapat. Walaupun apa yang kita dapat mungkin bukan yang kita inginkan selama ini.

2) Pendidikan seharusnya melahirkan insan yang prihatin dengan nasib orang lain yang kurang bernasib baik

Alhamdulillah ibu bapa aku mampu memberikan aku pendidikan yang sempurna untuk aku sampai ke tahap hari ini. Sudah tiba masanya aku berkongsi kepakaran yang ada dengan anak-anak yang kurang bernasib baik.

Aku mempunyai kemahiran analitikal, 'public speaking', keyakinan diri, berani mati demi mencuba dan rasa simpati yang mendalam. Aku berusaha untuk mencurahkan semuanya kepada anak-anak ini.

3) Berkenalan dengan insan-insan yang menakjubkan

Di TFTN aku berjumpa dengan 'malaikat'-'malaikat' yang sanggup berkorban demi membantu orang lain. Mereka ini tak tenang hidup memikirkan masalah masyarakat. Mereka bukan leka mengejar kekayaan semata-mata. Dan profil mereka bukan calang-calang.

Contohnya, hari ini aku berkenalan dengan seorang guru yang baru berusia 26 tahun. Beliau dulunya bukan pelajar pintar. Tapi beliau berjaya lulus di luar negara dan juga telah menjejakkan kaki ke 13 buah negara. Juga sudah punya rumah dan kereta sendiri. Tetapi beliau tetap begitu risau memikirkan nasib sebahagian anak muridnya yang tiada motivasi untuk belajar. Hebat bukan? 'Humanity at its best'!

4) Duit bukan segala-galanya

Melalui aktiviti kesukarelawanan begini, aku sentiasa diingatkan bahawa duit bukanlah benda terpenting dalam dunia ini. Duit hanyalah alat atau medium. Bila aku pergi ke Fuqaha, aku menawarkan diri untuk mengambil kawan-kawan di stesen LRT dan juga UKM. Aku rasa kos minyak dan tol itu tidak mahal berbanding nilai masa yang aku dapat luangkan bersama anak-anak Fuqaha.

Bila aku nampak anak-anak teruja melihat dan mengecam aku, aku rasa macam seronok teramat-amat. Tak pernah ada orang yang begitu teruja melihat aku. Seolah aku ini macam ibu kedua mereka. Sedangkan aku mungkin hanya sekadar membantu mereka menyiapkan kerja sekolah, atau mengajak mereka bermain sambil belajar sahaja. Entahlah. Bahagia lain macam aku rasa. Dan aku sukakan rasa ini. Lebih hebat dari jatuh cinta.

Semoga aku menjawab soalan kamu. Atau mungkin soalan dari orang lain juga.

No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...