En A bekerja sebagai 'site supervisor' di ibu kota. Dengan hanya berbekalkan sijil SPM, En A hanya mampu mendapat gaji sebanyak RM1, 200 sebulan. Untuk menampung kos hariannya, En A terpaksa samada membuat 'overtime' sesi malam atau bekerja sambilan sebagai pekerja sekuriti. Dengan kerja sekuriti itu bolehlah En A mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM1,900 sebulan.
En A pergi ke sana sini menaiki motor. Bila hujan lebat, En A mudah demam. Kasihan En A. En A suka juga beli kereta, tapi secara tunai. Kereta dari Singapura dengan geran 'total loss' katanya. Tapi kereta sebegini kadang-kadang susah nak dibawa di atas jalanraya di Malaysia atas faktor-faktor tertentu. Tapi En A tetap selesa dengan cara begini. Tanpa hutang dan dapat memenuhi minatnya terhadap kereta 'sport'.
Di sebuah tempat lain di ibu kota, En B bekerja sebagai eksekutif. Hasil penat lelah belajar di universiti bertahun-tahun, En B berjaya mendapatkan gaji sebanyak RM5,000 sebulan.
En B pergi ke kerja menaiki kereta yang dibelinya secara hutang. En B membayar sebanyak RM600 sebulan untuk keretanya. Selain itu En B telah membeli sebuah rumah dengan bayaran bulanan sebanyak RM900 sebulan. En B juga mempunyai hutang kad kredit, yang digunakannya untuk membeli belah. Cukup bulan En B buat bayaran minimum. Senang cerita.
En A perlu bekerja hampir 24 jam untuk mendapatkan RM3,100. Untung sekali bagi En B yang bekerja 8 jam sehari(selalunya) tapi bergaji RM5,000.
Tapi bila dilihat lebih mendalam kehidupan mereka, hasil akhirnya tetap sama. En A kurang berhutang sebab gajinya kecil. Kerja macam nak mati. Nasiblah ada SPM sahaja. En B pula banyak hutangnya, tapi masih boleh 'manage'. Janji tak bankrap sudahlah. Janji beliau dapat membeli aset dan menghargai dirinya setiap bulan, hasil penat lelah belajar dan bekerja.
Definisi hidup mungkin tak sama bagi setiap orang. Tapi kos seperti minyak, tol dan makanan keperluan tetap sama kesannya kepada setiap orang. Jika kos-kos ini meningkat serentak, kedua-dua En A dan B akan mengeluh. Tapi En A akan lebih terhimpit kerana gajinya sedikit. En B mungkin terpaksa melakukan kerja 'part time' pula, untuk menampung peningkatan kos dan gaya hidupnya yang tidak boleh diubah.
Pilihan di tangan sendiri. Menurut wakil Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan(AKPK) dalam sesi ceramahnya di pejabat kami, sebahagian besar klien mereka memiliki satu ciri yang sama yang menyebabkan mereka dihimpit hutang: Gaya hidup yang mewah melampau. Faktanya adalah gaya hidup merupakan sesuatu yang paling susah untuk diubah.
Tapi aku tidak sesekali menafikan ini: Kita semua sebenarnya penat juga menganalisa dan mengubah gaya hidup. Naik kereta, tol dan minyak naik. Naik LRT, tambang bakal naik minggu depan. Naik bas, jadual bas pula tak tentu. Tak perlu bernafsukan Starbucks pun dah tahap paras leher. Kena pula fikirkan nak berbisnes secara 'part time'. Yang ada isteri dan anak lagilah pening.
Apapun tetaplah terus hidup. Jangan sesekali mengalah. Pertolongan Allah itu pasti ada. Inshaallah. Cuba untuk senyum ya. Nasihat untuk diri sendiri juga.
No comments:
Post a Comment