Siang tadi aku berdepan dengan situasi berbelah bahagi antara sentimen kaum dan harga sebuah kejujuran.
Aku singgah di kedai yang menjual jus buah-buahan segar di 'food court' kami. Pemilik kedai dan pembuat jusnya berbangsa Cina. Semasa aku menunggu giliran diambil pesanan, pembuat jus sedang melayan seorang pelanggan Cina. Tiba-tiba datang seorang kawan kepada pelanggan Cina itu menyelit di sebelah kawannya. Nampak macam dia pun nak memesan jus buah.
Aku dah rasa tak sedap hati. Jangan pembuat jus layan dia dulu sudahlah. Aku dah menunggu dari tadi lagi.
Tepat seperti yang aku jangkakan. Dia bercakap dengan pembuat jus dalam bahasa Cina, tapi aku faham dia memesan jus pilihannya. Pembuat jus membalas dengan bahasa Cina juga. "Alamak, Cina jumpa Cina, cakap Cina mesti dia layan Cina dulu" getus hati aku.
Kali ini aku silap. Pembuat jus memberi isyarat 'tunggu' kepadanya. Dia bercakap sedikit bahasa Cina tapi aku faham dia nak membuat jus aku dahulu. Aku lega bercampur kesal sebab mempunyai sentimen kaum yang agak menebal kadangkala. Sebenarnya bukan sentimen kaum pun. Bila kita tak faham bahasa mereka, kita mudah menganggap mereka bercakap perkara negatif. Ditambah pula dengan permainan perkauman yang hebat oleh badut politik di negara kita.
Hidup bercampur bangsa dan agama mengajar kita untuk 'agree to disagree', hormat dan menerima kepercayaan orang lain dan bersangka baik. Macam minggu lepas, saat aku merasa sempitnya dengan masalah duit, kawan pejabat aku bercerita tentang Pastor Joel Osteen yang suka bersedekah. Katanya bila beliau bersedekah, beliau selalu akan mendapat kemudahan dalam urusan ceramah keagamaannya.
Dalam rasa sentap aku tekan butang 'Pay' untuk sedekah online. Wallahua'lam. Ada banyak cara Allah nak menegur hambaNya. Tak salah kita belajar dari mereka tentang prinsip, integriti dan rendah diri. Kita pun tak sempurna. Hidup di dunia sementara saja. Buatlah baik kepada sesiapa pun. Mudah-mudahan Allah redha, dan kita pun boleh berdakwah dengan cara kita sendiri. Inshaallah.
No comments:
Post a Comment