Pagi tadi aku ke kedai barang haiwan peliharaan di depan rumah. Ada beberapa kedai haiwan peliharaan tapi kedai yang ini aku paling suka sebab barangnya murah dan 'tauke'nya baik. Malah seorang stafnya pernah membantu aku menyelamatkan kucing yang dilanggar dalam hujan lebat. Aku memang mempunyai aura positif dengan kedai ini.
Di pintu masuk, aku lihat anak-anak anjing jenis 'Beagle' dipamerkan untuk dijual. Sedang aku mengambil pasir untuk kucing aku, kedengaran suara anak-anak anjing itu menjerit mendayu-dayu.
"Kenapa dengan itu puppy? Menjerit-jerit?" tanya aku.
"Oh dia rindu sama mak dia" jawab staf yang melayan aku.
"Mak dia mana? Tiada kat sini ke?" balas aku.
"Mak dia kat tempat lain. Kita ada tempat 'breeding'. Lepas saja beranak kita mesti pisahkan dia dari mak dia untuk jual" jelas staf tersebut.
"Tapi dia rindu sama mak dia. Sangat sedih hati I dengar dia suara begitu" aku membalas tak puas hati.
"Itu biasa kak. Baru 2 hari dia sampai. Nanti lepas 1 minggu baru dia OK" jawab staf tersebut.
"Tak apalah. Tolong angkat itu pasir ke kereta I" arah aku kepadanya.
Sebenarnya mata aku dah berkaca, lebih-lebih lagi bila melihat anak anjing itu penat menjerit, kemudian memeluk adik beradiknya yang lain.
Kejam. Hanya kerana mereka haiwan dan kita manusia. Sedangkan haiwan lebih sayangkan anaknya berbanding sesetengah dari kita.
Adakalanya berkawan dengan haiwan lebih baik. Kasih mereka tiada hujungnya. Fitrah mereka semudah makan, tidur, membuang hajat dan membiak. Selain dari itu hanya kasih sayang dan naluri memberikan perlindungan buat keluarga mereka.
Terlalu banyak pengajaran buat kita. Hanya jika kita mahu ambil tahu.
No comments:
Post a Comment