Wednesday, 11 November 2015

Kisah solat yang tak khusyuk kerana sentap

Solat Asar aku terganggu petang tadi. Puncanya sebab aku solat semasa ustaz sedang memberi kuliah Asar. Maka suara ustaz kedengaran kuat sekali ke serata surau. Tak mengapa. Aku meneruskan solat.

Tapi aku tetap terdengar kata-kata ustaz itu. Katanya,  biasanya anak-anak yang pandai akan dihantar belajar bidang-bidang profesional seperti kejuruteraan, doktor dan sebagainya. Tapi kalau anak-anak mereka tak pandai? Mereka dimasukkan ke sekolah tahfiz. Di sekolah tahfiz sekarang pelajarnya hampir semua corot dalam pelajaran dan tak ada motivasi.

Saat ini aku betul-betul mahu menangis di situ juga. Sentap. Sedih. Sebab walaupun cara cakapnya kasar, memang ada betulnya. Aku terus terbayang anak-anak aku di Bangi. Wajah suci mereka sentiasa aku ingat. Aku sentiasa risau dengan sikap mereka yang acuh tak acuh dengan ilmu. Belajar setakat belajar. Ada yang yatim tapi ada juga yang masih punya ibu bapa. Tapi corak pemikirannya sama. Hampir setiap subjek mereka 'Fail'.

Pernah sekali aku nampak ada kontraktor sedang membuat sesuatu di siling. Bila ditanya, anak-anak menjawab:

"Sekolah takde duit nak buat siling. Pakcik tu tampal pakai plywood je".

Beberapa hari lepas kelas mereka dinaiki air. Anak-anak bergotong-royong mengemas kelas mereka.

Sudahlah di'buang' dari masyarakat kerana kurang berpotensi untuk di'perah susunya',  hendak belajar pun pelbagai dugaan pula menimpa. Ya aku tahu orang beriman itu diuji. Tapi mereka sajakah yang beriman dan diuji? Apa kita tak diuji samada hanya melihat mereka begitu atau melakukan sesuatu? Bilakah stigma kita akan berubah? Siapakah yang harus berubah dahulu? Perlukah kita bertindak sendiri? Atau kita perlu berdiri di atas platform NGO atau parti politik baru mahu bertindak?

Terbaca tentang PADU yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memastikan 'Education blueprint' tercapai misinya. Tapi aku tak pasti samada anak-anak seperti di Bangi termasuk dalam senarainya. Anak-anak yang konon kurang lestari, tak bestari, tak profesional, bakal lebai dan ustazah.

Entahlah. Aku bukan pakar pendidikan. Aku kahwin pun belum. Tak ada anak untuk dididik. Anak kucing pun gagal dijinakkan supaya mendengar arahan. Tapi entahlah.

Akhirnya aku berjaya menghabiskan solat Asar, selepas berhempas pulas mendapatkan khusyuk. Dan sekarang aku membebel panjang di 'wall' sendiri.
Peace.

No comments:

Post a Comment

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...