Dalam kelompok masyarakat yang normal, setiap manusia harus berpasangan (kahwin) dan meneruskan keturunan melalui zuriat. Tapi zaman sekarang ramai lelaki mahupun perempuan yang hidup berseorangan. Ada yang sengaja memilih berseorangan, namun ramai juga yang pasrah dengan segala bentuk kegagalan dalam percubaan untuk berjodoh.
Aku termasuk golongan yang pasrah. Naluri ingin berkahwin itu ada, tapi segala percubaan menemui kegagalan. Tapi tak mengapa. Sebab aku boleh berkongsi pengalaman di blog ini. Mana tahu, kalian juga boleh mendapat manfaat darinya.
Pengalaman-pengalaman aku itu aku kongsikan dalam bentuk tips-tips begini:
1) Kenal dan tahu diri sendiri dan objektif hidup di dunia
Kena tahu kelebihan dan kelemahan diri sendiri. Tahu kegemaran sendiri. Tahu apa yang kita nak dalam hidup ini pada suatu masa. Contoh, pada umur 13-17 tahun kita masih belajar. Jadi kita mesti belajar. Pada umur 18-23 tahun kita membina foundation untuk kerjaya kita samada akan makan gaji atau berniaga sendiri. Harus fikir masak-masak untuk bercinta dan berkahwin pada umur sebegini. Hanya diri kita tahu samada kita sedia atau tidak. Jangan mudah mengikut trend atau pendapat lapuk yang tidak lagi relevan.
2) Lihat pencapaian orang sekeliling yang difikirkan hebat, kemudian fikir bagaimana jika kita di tempat mereka?
Tengok kawan post kebahagiaan berkeluarga di FB, kita rasa cemburu. Setiap hari ada saja post bahagia sweet macam gula. Walaupun bukan semua, ingatlah bahawa mereka yang terlihat bahagia itulah yang mungkin aktif di Whatsapp bercerita masalah rumahtangga mereka. Jadi nilai diri kita, samada itu yang kita mahukan atau tidak, OK! Lain orang lain dugaannya. Yang kita lihat mungkin bukan situasi sebenarnya. Wallahua'lam.
3) Buka hati untuk melihat dunia dari sudut berbeza
Ayat macam canggih, betul tak? Buka hati maksudnya cuba-cubalah buat sesuatu yang baru. Pergi melancong, sambung belajar, sertai kerja amal, pergi seminar-seminar dan lain-lain. Tak mesti dengan niat nak bertemu jodoh. Lagi ramai orang yang kita kenal walaupun tak rapat, lagi luas pengalaman kita. Cara kita melihat sesuatu situasi juga akan berubah menjadi lebih tenang dan matang. Percayalah.
4) Si dia juga kenal dan tahu dirinya dan objektif hidupnya
Orang cakap umur tak menentukan kematangan fikiran. Ada betulnya juga. Selagi si dia faham tanggungjawabnya kepada keluarganya, diri kita mahupun orang sekeliling, Inshaallah si dia tahu segala keutamaan dan mampu menguruskan hidupnya dengan baik. Bila kita dan si dia sama-sama fokus, Inshaallah segala cabaran akan mudah ditempuhi.
5) Jangan sesekali lupa nasihat ibu bapa
Biasanya ibu bapa kita akan memberikan komen-komen seperti begini:
"Dunia kau dan dia berbeza. Tak sesuai"
Atau begini:
"Dia tak matang. Cari yang lain"
Boleh juga begini:
"Mak/ayah tak suka dia. Tak tahu kenapa tapi rasa tak suka"
Berhati-hatilah dalam memberi hati. Mak ayah kita lebih dulu berpengalaman dari kita. Mereka boleh menilai tabiat manusia dengan sekali pandang saja.
Lagi satu, sebelum buat perkara yang tak berapa manis dengan si dia, ingatlah kesannya kepada ibu bapa kita jika tertangkap nanti. Malu mereka. Pastinya kita sayangkan mereka, bukan?
6) Tahu bila perlu keluar dari hubungan yang tiada hala tuju
Dalam sebuah hubungan, matlamat akhirnya mestilah untuk berkahwin dan membina keluarga. Kalau setakat nak isi masa lapang dan beramas mesra, percayalah, otak kita yang akan serabut dan jiwa akan jadi kacau. Antara tanda-tanda si dia tak serius:
- Mengelak bila diajak datang ke rumah
- Memberi seribu satu alasan bila disebut tentang persediaan nak kahwin
- Kita hanya dicari bila si dia bosan dan tiada kerja. Bila si dia serabut, kita disuruh keluar dari hidupnya. Katanya hanya menambah kusut di fikiran. Sepatutnya kitalah orang pertama yang dicari(selepas keluarganya, jika ada) jika si dia mahu mengadu masalahnya. Kitalah sumber inspirasi dan ketenangannya. Kalau kita hanya pilihan terakhir setiap masa, apa tunggu lagi? Silalah angkat kaki OK!
7) Faham tubuh badan sendiri dan fungsi organ seksual
Ini sangat relevan dalam zaman sekarang. Zaman teknologi canggih yang kadang-kadang membuatkan kita lupa yang mana baik dan yang mana buruk.
Tubuh badan kita dicipta dengan fungsi yang tersendiri. Payudara dicipta untuk menggoda suami dan menyusukan anak-anak. Kemaluan dicipta untuk memuaskan suami/isteri dan melahirkan anak bagi perempuan.
Tubuh badan kita bukan untuk tayangan kepada sebarangan orang. Jangan mudah memberi gambar tubuh badan kita kepada si dia. Kalau putus, mungkin si dia menyebarkan gambar kita di laman sosial. Hati manusia sukar dibaca. Mencegah itu lebih baik, bukan?
Juga, tubuh badan kita bukan untuk dikerjakan sebelum masanya iaitu sebelum pernikahan. Jagalah anggota badan kita sebaiknya. Ianya adalah amanah dari Allah. Boleh?
OK tak tips aku ini? Semoga bermanfaat. Jangan risau kalau masih membujang. Perkahwinan bukanlah segala-galanya. Allah tahu perancanganNya. Kita hanya perlu sabar(walaupun dengan air mata) dan ingat sesuatu: Kehidupan tetap perlu diteruskan, samada berkahwin atau tidak.
Adios!
No comments:
Post a Comment