Kereta meluncur dari KLCC ke pejabat kami di Pudu. Pemandu Grab petah bertutur, dengan dialek Sabah yang sangat-sangat pekat. Kawanku di sebelah melihat telefon. Aku sajalah yang melayan pemandu bersembang.
"Tahun 1990an dulu aku kerja di KL bah. Hari merdeka di masa itu tak sama dengan sekarang. Susah mahu tengok orang bawa bendera sekarang. Agaknya kenapa kamu rasa?".
"Entahlah. Saya pun tak pasti" aku memberi jawapan selamat.
"Pemimpin kita terlalu kuat berpolitik aku rasa. Bergaduh sana sini. Lepas itu aku tengok yang kaya masih lagi mahu kaya. Sampai berapa keturunan pun tak habis hartanya. Pelik aku bah".
Dia bertanya, dia juga yang menjawabnya.
"Mungkin betul lah itu. Sampai hilang semangat mahu sambut merdeka" jawabku ringkas.
Wang dihulur kepada pemandu. Kami keluar dari kereta dan menuju ke pejabat.
Mungkin saja kita keliru dengan banyak hal di negara kita. Tak mengapalah. Janji kita tak berpecah-belah. Kita yang mengharungi 'rat race' setiap hari. Jangan sampai hilang nilai manusiawi dan jati diri.
Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 60 tahun.
No comments:
Post a Comment