Tuesday, 11 July 2017

Dedikasi Buat Warga Plaza Rakyat dan Ustaz Don

Cashier kedai Newsweek yang peramah dan amanah. Aku tertinggal kad ID staf dan Touch n Go semalam. Disimpannya hingga aku datang semula untuk mengambil.

Staf kaunter RapidKL yang biasa aku berurusan untuk top up Touch n Go. Jarang mereka moody dan tak senyum. Kebiasaannya peramah juga.

Pakcik kurus yang kerjanya menyapu di stesen LRT. Alhamdulillah bersih persekitaran yang kami lalui setiap hari.

Uncle Cina yang buta dan menjual tisu. Untuk RM1 sepeket, agak mahal sebenarnya. Tapi tak mengapa. Itu kamu berniaga, bukannya meminta-minta.

Pakcik Melayu bermisai yang duduk bersila di sudut berhampiran tangga. Terima kasih di atas senyuman paling manismu. Setiap hari aku bersemangat nak bekerja bila tengok senyuman pakcik itu. Pakcik juga berniaga tisu, macam Uncle Cina tadi.

Pakcik dan makcik buta yang menyanyi pada waktu petang setiap hari. Suara kalian tak sedap pun, tapi lagu pilihan kalian menghiburkan juga. Terasa meriah suasana di Plaza Rakyat. Sunyi jika kalian tiada.

Sesekali ada seorang ibu berkategori istimewa mengendong anaknya. Tangannya menadah meminta sedikit sumbangan, dengan senyuman juga. Jika tiada wang untuk diberikan, senyumlah dan doakan kesihatan dan kemudahan urusan buat mereka.

Akhir sekali buskers tempatan dan antarabangsa yang bermain muzik. Terpulang samada kita mahu menyumbang atau tidak. Ia cuma salah satu cara untuk mereka mendapatkan wang. Tak mahu beri, cukup sekadar memberi senyuman.

Terima kasih di atas kehadiran kalian setiap hari. Wajah-wajah kalian membuat aku positif dan percaya bahawa hidup perlu diteruskan, walau apapun kesusahan yang mendatang. Doa aku akan sentiasa mengiringi kalian.

Oh, sesungguhnya besar pahala Ustaz Don yang mengajar kita supaya mendoakan semua orang yang kita jumpa. Sampai sekarang aku amalkan, termasuklah untuk semua warga Plaza Rakyat ini. Semoga Allah mudahkan segala urusan beliau, Amin.

1 comment:

  1. Teringat pengalaman belajar di KL selama hampir 6 tahun. Plaza Rakyat memang selalu dikunjungi. Transit mahu ke kedai buku di Jalan TAR :) Terima kasih atas entri ini. Mengingatkan supaya doakan orang lain.

    ReplyDelete

KELANTAN TRIP (30/11/2021 – 2/12/2021)

Holla!!!!!!! Lama sungguh-sungguh tak update blog aku ini aduhai. Boleh pula menghapdet semasa pandemic Covid-19 ni, eh eh eh…. Well, Alhamd...